Friday, January 17, 2014

Renungan Jumaat : Mengubati kemarahan membuak



Marah dalam situasi tertentu adalah perlu. Tetapi marah berterusan walaupun atas sebab yang kecil dan tidak munasabah adalah penyakit. Penyakit perlu diubat sebelum menjadi parah. Apalagi penyakit marah umpama api yang jika dibiarkan boleh membakar ikatan perpaduan, perkahwinan, persaudaraan dan bermacam lagi yang boleh membawa musibah kehilangan nyawa dan harta benda. 

Justru untuk mengubati penyakit marah menerusi ilmu pengetahuan, ada beberapa caranya, iaitu:

Pertama: Hendaklah anda cuba mengingatkan kembali segala anjuran-anjuran yang ditunjuk oleh syariat dalam keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf, penyantun dan menanggung perilaku buruk. Dengan jalan itu jiwa anda akan inginkan pahala yang dijanjikan kerana menolak kemarahan itu, lalu anda akan menentang keinginan diri untuk membalas dendam, maka dengan itu perasaan marah anda akan terhapus dari dalam diri.

Kedua: Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan siksaanNya, andaikata diteruskan juga sifat marah anda itu. Anda harus merenung pula, apakah anda boleh terselamat dari kemurkaan Allah Ta’ala pada Hari Kiamat kelak, meskipun ketika itu anda sangat memerlukan kepada pengampunan dan kemaafan Allah Ta’ala.

Ketiga: Hendaklah anda ingat akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan anda, kelak sudah barang tentu ia akan berusaha untuk menceroboh kehormatan diri anda. Ia akan cuba menjaja segala keburukan anda. Ia akan merasa suka, bila anda tertimpa sesuatu bencana, sedangkan anda sendiri tentu sekali tidak sunyi dari berbagai-bagai keburukan dan kecelaan diri. Dengan yang demikian, anda akan merasakan keburukan akibat marah itu di dunia, kiranya anda masih tidak mengendahkan akan akibat dosanya di akhirat.

Keempat: Hendaklah anda gambarkan bertapa buruknya rupa anda kelak bila anda marah, iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam dalam kemarahan. Bayangkanlah rupa anda yang buruk ketika itu, dengan rupa sahabat ada yang diumpamakan seperti anjing galak yang hendak menerkam, atau seekor binatang buas yang mengganas. Kemudian bayangkanlah pula seorang penyantun yang bertenang saja, yang tidak suka marah-marah, yang menurut perilaku para Nabi, para wali, para alim ulama dan orang-orang yang bijaksana. 

Pilihlah antara dua perilaku itu, mana yang lebih sesuai bagimu? Menyerupakan dirimu dengan perilaku anjing-anjing, binatang-binatang buas dan orang-orang yang tercela kelakuannya? Ataupun menyerupakan dengan perilaku para Nabi dan alim ulama dalam adat kebiasaannya, supaya jiwa anda kelak tertarik kepada perjalanan hidup mereka itu, itu pun jika ada lagi padamu sedikit otak yang boleh memikirkan baik buruknya kedua-dua perilaku tadi.

Kelima: Hendaklah anda fikirkan apa sebabnya anda ingin membalas dendam? Dan apa pula sebabnya anda tidak dapat menahan diri dari kemarahan itu? Mungkin juga syaitan membisikkan di telinga anda, bahawa sikap itu akan menunjukkan kelemahan dan kehinaan diri, dan anda akan kelihatan rendah di mata orang ramai. Ketika itu hendakkah anda menjawabnya dengan berkata: Wahai nafsu! Aneh sekali engkau ini. Engkau tak sanggup menahan penghinaan sekarang. Apakah engkau lebih sanggup menahan penghinaan di Hari Kiamat kelak? Apakah engkau tidak bimbang, kelak di sana engkau akan dihina-dinakan di hadapan Allah, para Malaikat dan pada NabiNya?

Apabila anda menahan kemarahan, maka hendaklah anda menahannya semata-mata kerana Allah. Anda menahannya juga kerana ia seperkara yang dipandang berat di sisi Allah. Jangan sampai anda terpengaruh dengan kata-kata orang, ataupun menahan kemarahan itu dengan sesuatu sebab keduniaan

Adapun cara memadamkan api kemarahan menerusi amalan, iaitu hendaklah anda mengucap Ta’awwudz dengan lidahmu begini: A’uudzu billaahi minash-shaithaanir-rajiim (Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk). Apabila kemarahan itu muncul ketika anda sedang berdiri, maka hendaklah anda segera duduk: jika sedang duduk, maka hendaklah anda baring. Orang yang sedang dalam kemarahan, sunnat baginya mengambil wudhu’ (air sembahyang) dengan air yang dingin, kerana kemarahan itu berpunca dari api, manakala api itu pula tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.


1 comment:

  1. Marahlah ujian sebenar.dalam keadaan biasa semua orang mengaku sabar.tapi bila berada dalam situasi membuat kita marah..baru tahu kita sabar atau tidak.

    ReplyDelete