Monday, November 21, 2011

Wang bantuan RM100 perlu diberikan sepenuhnya - Muhyiddin




BANGI 21 Nov. - Pihak sekolah perlu mengagih-agihkan pemberian bantuan kerajaan sebanyak RM100 kepada pelajar sepenuhnya, tanpa membuat sebarang pemotongan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan sudah dikeluarkan dan langkah itu bagi merealisasikan apa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2012 bulan lepas, dapat dinikmati rakyat.

"Mudah saja, tiap-tiap pelajar yang berada dalam sistem pendidikan negara, sama ada dalam sekolah kerajaan atau swasta, semua layak dapat.

"Tanggungjawab guru, jangan soal, beri RM100 bagi tiap-tiap pelajar kepada ibu bapa. Itu saja. Dan saya sudah beritahu dan arahan, jangan ada pemotongan dan jangan buat taksiran pelbagai. Serah dulu RM100.

"Jika ada cita-cita lain nak beri PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) atau nak buat itu ini, itu soal kedua tetapi untuk menunjukkan bahawa apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri dalam bajet bahawa itu benar-benar berlaku, maka sekolah yang bertanggungjawab mesti sampaikan jumlah yang disebutkan, RM100 tidak lebih dan tidak kurang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Ilham Desa peringkat Kebangsaan di sini hari ini. - Bernama


No comments:

Post a Comment