Monday, November 28, 2011

Mesyuarat JK Sekolah Kecemerlangan Negeri

KUALA TERENGGANU - Dalam usaha memantapkan lagi usaha memperkasakan sekolah-sekolah Terengganu ke arah Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi maka JPN Negeri telah menubuhkan satu Jawatankuasa Sekolah Kecemerlangan Negeri. Mesyuarat pertamanya telah diadakan pagi tadi di Bilik Mesyuarat , SK Sultan Sulaiman 1 yang telah dipengerusikan oleh En. Zakariah bin Ali, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah.

JK Sekolah Kecemerlangan Negeri dianggotai oleh beberapa sektor di JPN, PPD, Pengetua dan Guru Besar SKK dan SBT selain akan menjemput sama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri. Mengikut Ketua Sektor Pengurusan Sekolah antara strategi utama jabatan ialah memastikan SBT yang sedia ada terus mantap mempertahankan anugerah dan reputasinya sementara SKK yang sedia ada harus bergerak ke arah SBT. Sementara Pengetua dan Guru Besar SKK dan SBT mampu menjadi mentor bagi membantu calon-calon SKK dan SBT. Beliau juga berharap semua Pengetua dan Guru Besar sentiasa positif memastikan menuju ke arah SKK dan SBT kerana itulah antara piawaian sekolah terbaik pada ukuran masa kini.

Mesyuarat hari ini juga membincangkan aktiviti ke arah pencapaian strategi dan hasrat di atas selain mencadangkan penghargaan serta autonomi tertentu bagi sekolah SKK dan SBT seperti yang disarankan KPM. JPN dan PPD hendaklah sentiasa peka dan teliti dalam penempatan dan pertukaran guru ke SKK dan SBT agar reputasinya dapat dipertahan dan diperkasakan. Selain itu pelbagai bentuk promosi dan penghargaan juga disarankan bagi mengangkat sekolah SKK dan SBT dikalangan khalayak umum.

Kita berharap melalui penubuhan JKuasa Sekolah Kecemerlangan Negeri ini bukan sahaja SKK dan SBT yang sedia ada terus dimantapkan tetapi kuantiti SKK dan SBT terutama melalui slogan "Satu Daerah 1 SKK 1SBT" dapat ditambah sepertimana matlamat strategik jabatan. Bagi tujuan itu semua yang berkaitan mesti berani menggunakan "kuasa pelaksanaan" yang ada pada medan mereka.


No comments:

Post a Comment