Monday, November 14, 2011

Lihat Dengan Mata, Pandang Dengan Jiwa

Manusia sebenarnya boleh melihat dengan berbagai cara. Pertama, dengan mata kepala. Kedua, dengan mata akal. Ketiga, dengan mata hati. Tetapi jarang seseorang itu dapat melihat dengan ketiga-tiga mata ini. Mata kepala melihat dengan perantaraan cahaya, benda dan material. Mata akal melihat dengan perantaraan fikiran. Tetapi mata hati melihat dengan perantaraan rasa.

Kalau seseorang itu melihat hutan belantara dengan mata kasar atau mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu hutan yang tebal dan menghijau. Kalau dia melihat dengan mata akal, maka dia akan nampak balak dan kayu kayan yang boleh dijadikan bahan kekayaan. Kalau dia melihat dengan mata hati, dia akan nampak keagungan dan kehebatan Tuhan dan hikmah yang terkandung di dalam ciptaan hutan tersebut. Terasa di hatinya betapa hebatnya Tuhan.

Kalau seseorang itu melihat laut dengan mata kepala, maka itulah yang dia nampak iaitu air yang luas dan membiru serta ombak yang tidak henti-henti memukul pantai. Orang yang melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang boleh ditangkap dan dijual. Orang yang melihat dengan mata hati pula akan nampak kehebatan Tuhan dan hikmah dalam ciptaan laut yang begitu luas dan dalam, yang siapa-siapa pun tidak tahu apa rahsia yang tersimpan di dasarnya. Terasa betapa kerdilnya dia di hadapan Tuhan.

Siapa yang melihat dataran bumi dengan mata kepala, maka itulah sahaja yang dia nampak iaitu tanah dan batu-batan. Siapa yang melihat dengan mata akal akan nampak minyak, emas, intan berlian dan segala macam logam yang terkandung di dalam perutnya. Siapa yang melihat dengan mata hati pula akan nampak hebatnya perbuatan Tuhan yang telah menghamparkan bumi ini untuk dihuni oleh manusia di mana manusia boleh hidup dan mengabdi diri kepada Tuhan. Terasa di hatinya betapa pemurah dan pengasihnya Tuhan.

Mata hati bersifat maknawiyah. Ia ada pada makna tetapi tidak ada pada rupa. Ia mampu melihat benda-benda yang batin atau ghaib. Ia membaca hikmah di sebalik ciptaan dan perbuatan Tuhan.

Namun demikian, kebanyakan manusia buta mata hatinya. Mereka hanya nampak apa yang menguntungkan dan yang boleh memuaskan kehendak nafsu mereka sahaja. Mereka hanya terangsang dengan nilai dunia yang ada pada sesuatu ciptaan itu. Mereka tidak nampak Tuhan di sebalik ciptaanNya. Alam tidak membawa mereka kepada Tuhan. Alam tidak mengajar mereka tentang Tuhan.

2 comments:

  1. Sebab tu Allah Taala adakan syurga dan neraka...rambut sama hitam..hati pelbagai citarasa...maka untuk menilai sesorang lihatlah dengan mata hati supaya penilaian kita teliti...lihat dengan mata kasar tomahan kita sering tersasar...

    ReplyDelete