KUALA LUMPUR 20 Julai - Pemimpin pendidikan perlu berani mengurus perubahan dalam usaha menjana modal insan yang mampu bersaing di persada global, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keengganan dan ketakutan pemimpin atau pendidik untuk menongkah arus perubahan mengakibatkan sistem pendidikan bersifat statik.
"Kualiti dan kecemerlangan hari ini tidak menjamin kualiti dan kecemerlangan pada hari esok kerana ukuran kualiti dan kecemerlangan sentiasa berubah.
"Oleh itu, pemimpin tidak seharusnya berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi organisasinya hari ini, sebaliknya perlu berani melaksanakan perubahan dan pembaharuan secara proaktif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi sempena perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-17 di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, dekat sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, kepimpinan seseorang tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan pencapaian yang membolehkan sistem pendidikan dinilai oleh masyarakat secara menyeluruh dari segi kuantitatif dan kualitatif.
Katanya, menjadi kebiasaan pemimpin yang ingin membuat perubahan akan berhadapan dengan pelbagai rintangan dan sekiranya mereka ingin mengurus perubahan secara berkesan, mereka hendaklah bersedia menghadapi cabaran itu.
"Jika enggan dan takut menongkah arus kecemerlangan, maka hasrat negara untuk menjana modal insan yang mampu bersaing di persada global hanya akan tinggal impian,"katanya.
Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa contoh amalan kepimpinan yang efektif dan berprestasi tinggi yang boleh merubah kebiasaan. - Bernama
No comments:
Post a Comment