Sunday, July 4, 2010

16 resolusi mantap prasekolah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 resolusi bagi memantapkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dicapai pada Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan yang berakhir, semalam bagi mewujudkan sistem pendidik prasekolah bertaraf antarabangsa.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSPK diperkenalkan bagi memastikan pendidikan prasekolah disampaikan secara sistematik dan berkualiti.

“Apa yang termaktub dalam KSPK perlu dilaksanakan sepenuhnya supaya matlamat yang kita kongsi bersama dapat dicapai. Ini juga selaras dengan salah satu teras yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu memberi keutamaan untuk menyediakan pendidikan terbaik bermula daripada peringkat asas atau prasekolah

“Sebagai rakyat Malaysia, kita bangga kerana berjaya mewujudkan sistem pendidikan dan kurikulum prasekolah yang bermutu tinggi hingga menerima pujian serta pengiktirafan pada peringkat nasional atau antarabangsa,” katanya ketika menutup Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Khair Mohamad Yusof.

Antara kandungan resolusi itu ialah latihan berterusan, penambahan guru, pemeriksaan kesihatan, etika pakaian, jaringan kerja, pemantauan berkala dan kurikulum.

Alimuddin berkata, kejayaan Malaysia menyediakan sistem pendidikan dan kurikulum bermutu tinggi menggambarkan kepercayaan dunia kepada kebolehan negara.
“Kita mampu meningkatkan lagi pencapaian serta perlu berani mengolah langkah, bekerjasama, bersifat inovatif ke arah pembinaan modal insan yang akan membawa negara kita ke mercu kejayaan,” katanya.

Katanya, pendidikan prasekolah adalah pemangkin kepada prinsip pendidikan seumur hidup, budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa di  negara ini.
Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment