Tuesday, July 13, 2010

Lawatan dan Pemantauan SK Pulau Redang oleh Ketua Sektor Sekolah

Sektor Pengurusan Sekolah JPNT diketuai oleh Ketua Sektor, YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam, telah mengadakan Program Pemantauan Pengurusan Sekolah bertempat di SK Pulau Redang, Kuala Terengganu pada 12 Julai 2010. Turut menyertainya ialah Ketua Unit Sekolah Rendah dan dua orang pegawai dari unit yang sama.

Semasa sesi penutup program pemantauan ini, YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam, sengaja meminta pihak pengurusan sekolah melibatkan semua guru. Beliau menyatakan tujuan utama kedatangan beliau ke sekolah ini untuk melihat dari dekat dam mendapat gambaran tepat tentang guru-guru dan pengurusan sekolah dari semua aspek. Beliau cuba mengelak daripada tersalah membuat andaian yang boleh disimpulkan sebagai “jahat khabar daripada rupa”. Iaitu memperihalkan tentang sesuatu lebih buruk dan lebih teruk daripada hal atau keadaan yang sebenar.

Di awal ucapannya juga, YM Tengku Anuar menegaskan bahawa kumpulan guru yang mengajar di SK Pulau Redang ini BUKAN kalangan guru-guru yang terpinggir. Persepsi itu sama sekali tidak tepat kerana pihak Jabatan Pelajaran Negeri tidak pernah merestui istilah ini digunakan. Malah penempatan guru-guru mengambil kira keperluan opsyen dan perjawatan yang diluluskan. Beliau member penekanan perkara ini supaya tidak wujud persepsi negatif di kalangan guru-guru di SK Pulau Redang.

Seterusnya beliau menyampaikan pesanan yang amat penting kepada semua guru supaya sengaja mewujudkan CABARAN dalam kerja utama mereka. Cabaran yang dimaksudkan ialah sentiasa memikirkan apa yang patut dibuat bagi meningkatkan amalan pedagogi dan pendragogi di bilik darjah. Hasil daripada pemikiran yang berterusan ini perlu diikuti dengan perancangan yang mengharuskan peningkatan boleh berlaku.



Gaya pemikiran begini perlu disuburkan di kalangan guru-guru kerana merekalah pejuang sebenar di medan pendidikan. Hanya guru-guru yang berfikiran sentiasa ingin memajukan murid-murid selayaknya digelar pejuang tulen.

Paling penting bagi seseorang guru ialah memahami dengan sejelas-jelasnya MATLAMAT pembelajaran setiap mata pelajaran yang diamanahkan kepada mereka. Andai tidak berapa jelas, atau sudah kian lama dilupai, maka seseorang guru itu WAJIB membaca dan menelitinya semula. Ini kerana setiap mata pelajaran telah digarapkan objektif yang berbeza-beza mengikut umur murid-murid.

Bagi menjadikan pengajaran guru berkesan, guru perlu menguasai secara menyeluruh sesuatu mata pelajaran yang diajarnya. Ini sudah tentu menuntut pengolahan strategi pengajaran yang berkesan yang akan menzahirkan ‘The Art of Teaching’ sebagai medium kepada tahap ‘The great teacher inspire’, sebagaimana selalu disebut-sebut oleh Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu. Itu panduan sebenar untuk menjadi seorang guru yang ‘hebat’.

1 comment:

  1. Selamat Datang Ke SK Pulau Redang :) , ada rezeki dan ada umur datang lagi... :)

    ReplyDelete