BESUT 15 Julai - Seramai 702 murid dari 11 buah sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan negeri Jerteh menerima e-Book sumbangan kerajaan negeri di sini semalam.
Ia suatu detik menggembirakan bagi mereka dengan menerima alat bantu pembelajaran yang membolehkan meneroka alam pendidikan dengan kemudahan teknologi maklumat di peringkat awal usia.
Pengagihan e-Book bagi murid tahun lima itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh di Dewan Majlis Daerah Besut yang turut dihadiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Baharuddin Ibrahim.
Berucap pada majlis itu Idris berkata, pemberian kerajaan negeri itu harus diterima dengan rasa syukur kerana ia berteraskan usaha untuk terus mengangkat kecemerlangan akademik anak bangsa.
Katanya, komputer dan internet beliau berkata, boleh memberikan manfaat yang besar jika pelajar dapat menggunakannya dengan cara yang betul.
"Cuma elakkan terlalu asyik dengan laman sosial seperti Facebook dan Tweeter yang mungkin akan melalaikan para pelajar dan mengganggu pembelajaran mereka," katanya.
Idris yang juga Pengerusi Mara berkata, empat aspek yang diberi nama 'i-buk' saling berkait antara satu sama lain dan perlu ada dalam diri setiap pelajar.
''Ia berkait dengan ilmu, berdikari, usaha dan kreativiti merupakan antara aspek utama yang perlu diamal dan menjadi budaya di kalangan pelajar jika mereka inginkan kejayaan sebenar dalam bidang pelajaran dan kehidupan," katanya.
Katanya, bermula dengan ilmu setiap pelajar perlu cintakan ilmu dan bukannya bersikap belajar sambil lewa kerana hasilnya nanti tidak akan membawa apa-apa makna kepada mereka.
"Sikap berdikari pula penting kerana jika seseorang pelajar sentiasa mengharapkan bantuan dan perhatian daripada orang lain khususnya kerajaan mereka akan menempuh kekecewaan, "katanya.
Dua aspek lagi iaitu usaha dan kreativiti akan menjadikan pelajar lebih mantap dan mampu menghadapi cabaran untuk meraih kejayaan di samping mempunyai rasa bersyukur di atas segala pemberian.
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment