Thursday, July 15, 2010

100,000 lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran setiap tahun

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kira-kira 100,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 'tercicir' daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi setiap tahun, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, 'keciciran' itu berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti tidak lulus dalam SPM, lulus tetapi keputusan kurang baik dan tidak minat untuk belajar, selain kurang bernasib baik.

"Setiap tahun, kira-kira 100,000 pelajar SPM terkeluar daripada sistem pendidikan negara. Terkeluar dalam konteks ini adalah berhenti belajar setakat umur itu (17 tahun) dan memasuki pasaran kerja tanpa apa-apa kemahiran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Program Pengukuhan Kolej Komuniti di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menyedari perkara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan melalui Kolej Komuniti memberi peluang kedua kepada golongan tersebut apabila memperkenalkan program latihan jangka pendek.
Beliau berkata, latihan bersifat modular yang terkandung dalam program pengukuhan institusi itu dengan kos pengajian hanya RM10 sebulan.

"Melalui inisiatif ini, sijil kemahiran yang diiktiraf pada tahap Sijil Kemahiran Malaysia dua dan tiga boleh diperolehi dalam masa antara tiga hingga enam bulan sahaja, berbanding tempoh pengajian dua tahun sebelum ini.

"Pengambilan akan dibuat setiap tiga bulan dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia tidak kira umur dan pengambilan pertama seramai 25,000 orang pelajar telah bermula semalam," jelasnya.

Ditanya berapa ramai jumlah tenaga kerja yang tidak berkemahiran mampu dikurang melalui program Kolej Komuniti itu, beliau tidak dapat menjelaskan tetapi memberitahu institusi itu mampu menyediakan 80,000 peluang pengajian setiap tahun.

Terdahulu, ketika berucap Mohamed Khaled berkata, penawaran program jangka pendek yang berasaskan kerja sebenar itu akan menjimatkan masa pelajar dan hanya memberi pengkhususan kepada bidang tertentu.
Katanya, di peringkat permulaan, terdapat 47 jenis kursus modular ditawarkan yang merangkumi sembilan sektor antaranya Servis Penyejukan dan Penyaman Udara, Akuakultur, Servis Kenderaan Ringan, Pemasangan Elektrik, Penyelenggaraan Bangunan dan Menyelenggara dan Membaiki Bot.

Sumber: Utusan Malaysia Online

0 ulasan:

Post a Comment