Friday, July 2, 2010

Empat inisiatif tingkat sistem pendidikan

PUTRAJAYA 1 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan empat inisiatif utama yang perlu dilaksanakan dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, empat inisiatif itu meliputi kajian semula sistem persekolahan, menstruktur semula kementerian dan tadbir urus, meningkatkan kualiti guru dan kepemimpinan sekolah.

''Dalam hubungan ini, sebagai individu yang bertanggungjawab untuk memastikan semua usaha yang dilaksanakan berjalan lancar, maka saya amat mengharapkan komitmen yang tinggi daripada semua warga kementerian dalam menjayakan perancangan pembangunan pendidikan ini.

''Ia juga selaras dengan Gagasan 1Malaysia yang menuntut penjawat awam supaya sentiasa menghasilkan idea kreatif, inovatif dan meningkatkan penggunaan teknologi maklumat bagi memantapkan sistem penyampaian kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2009 Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
Pada majlis itu, seramai 424 orang warga Kementerian Pelajaran di sini menerima APC masing-masing.
Sehubungan itu, Muhyiddin memberitahu, semua pemimpin kementerian perlu mengaplikasikan budaya pemikiran terbuka serta dinamik dan mengamalkan syura atau bermesyuarat.

Ini kerana, beliau menambah, selaku pemimpin, mereka harus bersedia mendengar dan menerima pandangan orang sekeliling selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip atau matlamat yang ingin dicapai demi kebaikan bersama.

''Selain itu, pengamalan Budaya Kerja Cemerlang di kalangan penjawat awam penting bagi memastikan perubahan yang ingin dilakukan mampu memberi impak positif di kalangan rakan sejawat atau orang bawahan,'' katanya.
Sumber: Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment