Wednesday, March 31, 2010

Laporan Aktiviti Unit Penyeliaan Sekolah Rendah Mac 2010

1. Penyeliaan dan Pemantauan Pengurusan Sekolah bagi bulan Mac
  • SK Kampung Nangka,Besut
  • SK Felda Mengkawang,Hulu Terengganu
  • SK Duyung,Kuala Terengganu
  • SK Ketengah Jaya,Kemaman
  • SK Ketengah Jaya 11,Dungun
  • SK Seberang Jerteh,Jerteh
2.   Mesyuarat Penyediaan ABM Perjawatan dan Prapebentangan ABM Perjawatan 2011
3.   Pencalonan Guru Besar Cemerlang DGA38 (KUP) 2010 seramai 31 orang
4.   Kursus Peningkatan Profesionalisme GPK 1,di Kesedar Inn,Gua Musang
5.   Kursus Merperkasakan SJKC Terengganu,di BTPN Terengganu 
6.   Taklimat  & Pengemaskinian Data E-GTukar
7.   Mesyuarat Wacana Pendidikan Kali 2
8.   Mesyuarat JK Induk dan JK Pengelola Hari Guru Negeri Terengganu
9.   Penawaran Pemangkuan Naik Pangkat DGA29 ke DGA32 GPK dan DGA32 ke DGA34 Guru Besar
10  Pertukaran GPK dan Guru Besar
11  Proses Perakuan Penghakikian Pegawai DGA32(KUP) Time Base di JPN,PPD,MSSMT dan PKK
12  Proses Perakuan DGA32(KUP) Time Base ke gred DGA32 GPK hakiki
13  Mesyuarat Penyelarasan Pembukaan SK Gong Pasir,Dungun

Kementerian Tambah Elaun Guru Pedalaman

KEMENTERIAN Pelajaran mengkaji menambah elaun guru di kawasan pedalaman kepada lima kategori, berbanding hanya tiga ketika ini selepas mengambil kira kesusahan dan kepayahan dialami mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selepas merasai sendiri keperitan guru di pedalaman khususnya di Pahang, Sarawak dan Sabah dia yakin elaun itu wajar dikaji semula.

Mohd Puad berkata, ketika ini kementerian membayar elaun petugas di pedalaman iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500 kepada guru mengikut kategori kawasan.
Menceritakan pengalaman ketika melawat di kawasan pedalaman di Pahang, Sarawak dan Sabah, baru-baru ini, beliau berkata, ada guru wanita sarat mengandung dan berkhidmat lebih lima tahun.

''Guru itu menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab mendidik anak bangsa tanpa rasa bosan dan kecewa," katanya.

“Saya juga dapat lihat rumah guru yang begitu uzur dan guru berbantalkan beg untuk tidur,” katanya.
Ketika lawatan itu juga, beliau bermalam di rumah panjang di Sarawak, manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Titom, Pahang beliau tidur di asrama untuk merasai sendiri suasana di sekolah pedalaman.

''Saya terharu dan bangga kerana guru berjaya mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah masing-masing.

“Bagi mengurangkan tekanan, sewajarnya guru bertugas di pedalaman diberi elaun lebih munasabah,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan ke beberapa sekolah Orang Asli di daerah Lipis, baru-baru ini.

Antaranya ialah SK Betau, SK Lenjang dan SK Titom.
Mohd Puad berkata, kerajaan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan membuat kajian menyeluruh menentukan elaun bagi lima kategori yang akan diperkenalkan itu.

''Kenaikan itu nanti sebagai insentif supaya guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang tersisih daripada segala kemudahan.

”Kita bangga kerana mereka cukup bersemangat dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa," katanya.

Dalam perkembangan sama, kementerian akan mewujudkan skim khas untuk mengambil lebih ramai Orang Asli dan pribumi berkelayakan menjadi guru terlatih.

Mohd Puad berkata, kementerian akan berbincang dengan Bahagian Pendidikan Guru untuk menetapkan kelulusan minimum bagi membolehkan masyarakat berkenaan memohon masuk ke institusi pendidikan guru seluruh negara.
 Sumber : perkhidmatanpelajaran blogspot

Dewan Rakyat: Muhyiddin nafi SJK dianaktirikan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan tuduhan pembangkang kononnya kerajaan menganaktirikan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta menganggap kenyataan itu sebagai berbau perkauman.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion untuk membayar gaji guru di SJK, sekali gus menafikan tuduhan dibuat M Manogaran (DAP-Teluk Intan).

Muhyiddin berkata, SJK Cina dan Tamil sudah menjadi sebahagian sistem pendidikan di negara ini, malah pengajaran bahasa Cina dan Tamil dibenarkan kerana ia menjadi sebahagian daripada legasi masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, tindakan menyamakan taraf bahasa Cina dan Tamil dengan Bahasa Malaysia (BM) adalah tidak adil kerana ia bercanggah dengan Akta Pelajaran Kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam Perlembagaan, BM adalah bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain juga boleh digunakan sebab sudah jadi sebahagian legasi, malah jika SJK Cina dan Tamil dianaktirikan, tak kan kerajaan beri duit yang banyak untuk bayar gaji guru di sekolah itu,” katanya menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat, semalam.

Manogaran sebelum itu mempersoalkan tindakan kerajaan tidak menjadikan bahasa Cina dan Tamil sebagai subjek prinsip dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain meminta dua bahasa itu turut dijadikan setaraf BM.

Muhyiddin berkata, dalam usaha memartabatkan BM seperti terkandung dalam dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), pembelajaran dan pengajaran BM di SJK ditambah dari 270 minit kepada 300 minit bagi Tahap Satu dan 180 minit kepada 240 minit pada Tahap Dua, bermula 2011 dari Tahun 1 persekolahan.
Menteri Pelajaran juga berkata, kementeriannya akan terus memperkasa pendidikan prasekolah sebagai sebahagian aliran perdana dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Sumber : Berita Harian Online

Saturday, March 27, 2010

Memperkasakan SJKC Terengganu

Seramai tiga puluh orang peserta terdiri daripada Guru Besar dan GPK SJKC Terengganu telah mengikuti Kursus Peningkatan Profesionalisma dari 25 hingga 27 Mac 2010,di BTPN Terengganu. Tujuan utama kursus kepada pengurusan sepuluh buah SJKC Terengganu adalah membentuk dimensi baru ke arah Memperkasakan SJKC Terengganu.

Adalah menjadi harapan penganjur (Unit Penyeliaan Sekolah Rendah ) kursus, melalui wacana dan wahana seperti ini Guru Besar dan GPK mampu memiliki seta memperlihatkan komitmen,iltizam dan kemahiran pengurusan manusia yang tinggi dan impaknya satu tranformasi besar bakal mewarnai SJKC Terengganu.

Menurut Ketua Unit Penyeliaan Sekolah Rendah,En.Jelani Sulong,memperkasakan SJKC dalam makna yang mudah SJKC Terengganu boleh menunjukkan ciri-ciri kemendirian yang hebat,gagah,berwibawa,meyakinkan,boleh dipercayaai,boleh diharap dan tip-top dalam semua perkara.

Beliau juga menyarankan agar Guru Besar dan GPK menjadikan diri mereka satu team pengurusan yang ampuh melalui penghayatan visi dan misi sekolah secara kolektif.Beliau juga menasihatkan Guru Besar agar menjadikan guru dan kakitangan di sekolah umpama adik-beradik dan saudara-mara kerena mereka adalah aset utama memajukan sekolah.

"Nasib generasi kita pada masa depan ditentukan oleh bagaimana cara kita mendidik mereka",tegasnya.

Talking Poit KU Rendah boleh download disini

Friday, March 26, 2010

Renungan Jumaat

PERNAHKAH terfikir bahawa sebagai orang tua, banyak perkara yang anda lakukan salah dalam mendidik anak-anak?

Pakar motivasi dan psikiatri sering mencari punca mengapa anak-anak menjadi liar, tidak mendengar kata, melawan orang tua dan pelbagai salah laku oleh segelintir anak-anak terhadap kedua ibu bapa mereka.

Dalam mendidik anak, mungkin cara ibu bapa salah. Dalam proses tumbesarannya, anak-anak pasti melalui pelbagai perkara yang mungkin boleh membuat mereka terdorong melakukan sesuatu di luar jangkaan.
Apabila melihat kelakuan anak-anak itu, semestinya ia dikaitkan dengan cara didikan ibu bapa.

Justeru, mari kita selidik kesilapan ibu bapa sehingga menyebabkan kesan negatif anak-anak. Antaranya:

1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.
2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.
3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak.
4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.
5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak.
6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan.
7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan.
8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak.
9. Kurang melahirkan kasih sayang.
10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak.
11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah.
12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan.
13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak.
14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak.
15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak.
16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca.
17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal.
18. Tidak menunjukkan contoh teladan yang baik di hadapan anak-anak.
19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak.
20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dengan anak-anak.
21. Tidak menggunakan bahasa yang betul.
22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak.
23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak.
24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat.
25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak.
26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak.
27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak.
28. Tidak menunjukkan minat terhadap aktiviti anak-anak.
29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak.
30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak.
31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak.
32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak.
33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak.
34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak.
36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan.
37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak.
38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak.
39. Tidak tegas mendidik anak-anak.
40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama.

Sumber : http://almizan.wordpress.com/2008/05/21/senarai-40-kesilapan-ibu-bapa-dalam-mendidik-anak-anak/

Wednesday, March 24, 2010

Dapatan Pemantauan Pengurusan Sekolah Bulan Mac

Hari ini adalah penutup tirai Program Pemantauan Pengurusan Sekolah Bulan Mac 2010. Pemantauan pengurusan sekolah bermula di daerah Besut dan berakhir di daerah Kemaman. Beberapa sekolah terpilih dipantau bagi tujuan membantu mempertingkat bidang pengurusaan pentadbiran,kurikulum,Hem,kokurikulum,kewangan dan PIBG.

Sekolah-sekolah ini berpeluang dan berpotensi untuk menjadi sekolah yang cemerlang berdasarkan kekuatan sumber manusia,fizikal,komuniti, semangat dan iltizam yang boleh dipugar.

Hasil pemeriksaan,penelitian dan pemantauan ini aspek-aspek berikut perlu diberi perhatian oleh pihak sekolah:
  • Terdapat Pengurus Sekolah tidak tahu dan mahir Pengurusan Kewangan dan menyerahkan sepenuh kepada Pembantu Tadbir
  • Ada sekolah yang berbelanja tidak mengikut prosidur dan garis panduan kewangan
  • Tugas-tugas asas dan dasar dalam Pengurusan Sekolah seperti penyeliaan Pengajaran dan Pembelajaran ,penyeliaan rekod-rekod dan aktiviti persekolahan tidak dilakukan dengan kemas dan sempurna
  • Pengurusan Jadual Guru Ganti juga tidak diurus secara berwibawa
  • Pengurusan PIBG terutama kewangan sangat tidak kemas dan amat perlu diperkasakan agar memenuhi piawaian asas pengurusan kewangan
  • Ada sekolah yang sangat lemah pengurusan aset. Proses pelupusan perabut rosak tidak dilaksanakan
Walau bagaimanapun terdapat sebahagian sekolah  piawaian Pengurusan Sekolah sangat kemas dan melampaui norma kebiasaan.Kemas,teratur,sistematik dan mesra pengguna. Tahniah kepada Guru Besar,GPK dan sekolah-sekolah berkenaan.
 
Kita sangat yakin dan percaya sekolah-sekolah yang dapat diurus fizikal dengan baik pasti mampu mengurus manusia juga dengan baik. Kemampuan merancang,melaksana,mengawal dan membuat penambahbaikan pasti menjadi kunci melonjakkan kecemerlangan akademik,kokurikulum dan sahsiah sekolah berkenaan.


Sunday, March 21, 2010

Calon Sekolah Berprestasi Tinggi Negeri Terengganu

Pasukan panel pemilih dan penilai di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah memilih tujuh buah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah dicalon untuk "dibantu" bagi mencapai SBT menjelang 2011 dan 2012. Sekolah-sekolah berkenaan adalah;
  1. SMK Sultan Sulaiman,Kuala Terengganu
  2. SMKA Sheikh Abdul Malik,Kuala Terengganu
  3. SMKA Tok Jiring,Kuala Terengganu
  4. SM Sains Sultan Mahmud,Kuala Terengganu
  5. SMK Lembah Bidong,Setiu
  6. SMK Mak Lagam,Kemaman
  7. SMK Tengku Mahmud,Besut
  8. SK Sultan Sulaiman,Kuala Terengganu
  9. SK Sultan Ismail,Kemaman
  10. SK Tengku Mahmud,Besut
Pemilihan sebagai calon berdasarkan beberapa kreteria seperti SKPM,pencapaian peperiksaan awam berdasarkan Gred Purata Sekolah,Kebitaraan dalam bidang tertentu,ada towering personality,mempunyai linkage dan networking dengan pelbagai insitusi pendidikan dalam dan luar negeri .

Usaha bersepadu melalui Sektor,PPD,BTPN dan pelbagai agensi akan digembeling untuk "groming" dan memperkasakan sekolah terpilih. Dan yang lebih penting dan utama kesediaan sekolah terpilih untuk sedia merebut peluang dan menyahut cabaran ini agar terbentuknya "kemenjadiaan" yang dikehendaki dalam SBT.

Walau bagaimanapun sekolah-sekolah yang tidak terpilih tidak sewajarnya "membiarkan sesuatu itu berlaku".Sepantasnya juga mereka berazam dan berusaha mencabar rakan dan keupayaan diri untuk mengapai standard kualiti sekolah SBT. Gelanggang dan peluang sentiasa terbuka.Pemenang adalah siapa yang berupaya melintasi terdahulu garis penamat setelah wisel permulaan ditiup.

Selamat Berjuang...


Saturday, March 20, 2010

Masa belajar BM dan BI dipanjangkan

Kabinet memutuskan masa pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipanjangkan mulai sesi persekolahan 2011, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan itu, yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam, adalah selaras dengan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di kalangan pelajar sekolah berikutan pemansuhan pengajian dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris tahun sudah.
Bagaimanapun beliau berkata masa persekolahan tidak akan dipanjangkan, tetapi akan diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar.

"Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan-perubahan tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Masa pembelajaran untuk Bahasa Malaysia (BM) di sekolah rendah dan menengah kebangsaan bagaimanapun akan kekal pada 240 minit seminggu tetapi bagi pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) akan ditambah kepada 330 minit seminggu daripada 240 minit yang dipraktikkan sekarang. - Bernama

Friday, March 19, 2010

Siapa Pengujung Setia Blog Unit Rendah ini ?

Hingga posting ini ditulis jumlah hits blog ini yang dilancarkan pada Rabu,25 November 2009 berjumlah 9,007 kali. Saya percaya dalam seminggu dua lagi ia akan mencapai 10,000 hit.Hit harian antara 100 hingga 200 sehari.

Persoalan utama yang bermain dalam kepala saya selaku admin dan pegawai-pegawai Unit Penyeliaan Sekolah Rendah siapakah pengujung-pengunjung ini ? Adakah mereka terdiri daripada Guru Besar & GPK Sekolah Rendah Negeri Terengganu ? Atau kalangan guru-guru Terengganu dan seluruh Malaysia.

Saya merasa tidak yakin pengunjung utama adalah Guru Besar & GPK Sekolah Rendah Terengganu walaupun sebenarnya itulah sasaran utama kami kerana apabila beberapa isu atau perkara penting seperti Permohonan Guru Besar Cemerlang,Kutipan Jadual Guru Data dan pelbagai lagi ada yang mendakwa tidak tahu. Bahkan dalam kursus GPK Pentadbiran di Kesedar Inn mereka mendakwa tidak pernah mendengarpun nama blog ini. Pada hal link blog ini telah ditulis dalam pampelat semasa Perjumpaan Pengarah dengan Pengetua dan Guru Besar Negeri akhir tahun lepas. Dicatat dalam siaran pendaftaran Murid Tahun Satu dan dimaklumkan kepada semua Guru Besar pada Taklimat ABM Perjawatan akhir tahun lepas.

Apakah Pengurus Sekolah (Guru Besar & GPK) sukar menerima perubahan dan memesrakan stail pengurusan kini dengan budaya dan gaya baru ? Jika jawapannya YA mereka akan terus ketinggalan. Kami di Unit Penyeliaan Sekolah Rendah telah terbiasa berurusan dengan bahagian di KPM hanya melalui email. Justru itu kami akan menggunakan blog,email ,sms dan surat untuk urusan tertentu dengan Penyelia di PPD dan semua sekolah rendah di negeri Terengganu.

Kami berharap selepas posting ini tidak ada lagi istilah " tidak tahu " di kalangan pengurus sekolah rendah dan guru-guru negeri Terengganu. Kita telah jauh hebat ke depan tapi biarlah dalam keadaan sedar dan bersengaja.

Link-link dibawah adalah posting terdahulu yang berkaitan


Wednesday, March 17, 2010

Keciciran Pelajar Rendah Terengganu Suku Tahun Pertama

Kepada Semua Guru Besar Negeri Terengganu dan Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD Seluruh Negeri Terengganu.

Tuan/Puan diminta menyelesaikan perkara berikut pada atau sebelum 4 April 2010 kepada PPD masing-masing


1. Keciciran Suku Tahun Pertama
2. Permohonan Penempatan Tahun 1,2011

Tuan / puan boleh download siaran dan borang berkaitan sebagaimana link berikut.
Jika tidak boleh download sila daftar
web ini secara percuma dahulu dan kemudian boleh download..Anda boleh download dalam pelbagai format fail tetapi disarankan dan format PDF atau DOC

Friday, March 12, 2010

Muhyiddin gesa tingkat usaha rapat jurang pendidikan

KINABATANGAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mahu semua pihak terbabit dalam aspek pembelajaran pelajar sekolah meningkatkan usaha merapatkan jurang pencapaian pelajar bandar dengan luar bandar.

Walaupun berpuas hati dengan peningkatan pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam, Timbalan Perdana Menteri mahu jurang yang masih besar itu dirapatkan melalui pelaksanaan strategi peningkatan pembelajaran.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau berpuas hati dengan peningkatan pelajar lulus semua mata pelajaran dalam peperiksaan berkenaan kepada 49.6 peratus tahun lalu berbanding 47.4 peratus tahun sebelumnya tetapi masih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkannya. “Saya ucapkan tahniah kepada pelajar SPM tahun lalu. Ada peningkatan berbanding 2008.

“Kita harap perlu ada usaha berterusan supaya peratusan lebih tinggi pada tahun akan datang. Masih ada kelompang pencapaian antara sekolah bandar dengan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 20 mangsa banjir di daerah ini awal tahun ini, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam 1, di sini.

Muhyiddin berkata, antara strategi Kementerian Pelajaran merapatkan jurang pencapaian ialah menempatkan guru baru dan berpengalaman bertugas di luar bandar.
“Kita perlu hantar guru terbaik di bandar dan luar bandar. Setiap guru harus bersedia berkhidmat di luar bandar,” katanya.

Selain itu, katanya, infrastruktur sekolah luar bandar yang menyebabkan pencapaian akademik pelajar rendah juga akan diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Contoh, ada sekolah di Sabah dan Sarawak yang terletak di tepi sungai sering dilanda banjir, sekali gus menyebabkan proses pembelajaran terganggu,” katanya.
Kebajikan guru di luar bandar terutama menyediakan kediaman mereka juga diberi perhatian.

Ditanya langkah mengurangkan peruntukan sekolah, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah bersetuju bil elektrik dan air sekolah dibayar kementerian.

Kursus GPK Pentadbiran Kesedar Inn

Seramai 80 orang GPK Pentadbiran Sekolah Rendah Terengganu telah mengikuti kursus Perancangan Strategik Penolong Kanan Pentadbiran bermula 11 Mac hingga 13 Mac di Kesedar Inn,Gua Musang,Kelantan.Kursus berkenaan diurusetia oleh Unit Penyeliaan Sekolah Rendah,JPN Terengganu.


Okjektif utama kursus berkenaan untuk memantapkan dan memperkasakan fungsi,tugas dan peranan GPK Pentadbiran selaku "CEO Kurikulum Sekolah ". Harapan jabatan melalui input-input kursus berkenaan sekolah mereka yang telah sedia ada dengan potensi dapat dipugar serta dilonjakkan prestasi pencapaian kurikulum khususnya pencapaian UPSR.

Penyampai kursus bukan sahaja terdiri daripada pegawai kanan Sektor Pengurusan Akademik tetapi juga daripada Guru Besar Cemerlang. Ketua Unit Penyeliaan Sekolah Rendah menutup kursus berkenaan

Semoga 80 orang GPK Pentadbiran dapat membuat sesuatu selepas kursus ini terutama sekali berkaitan peningkatan UPSR sekolah masing-masing. Kita sangat yakin jika 80 buah sekolah dapat membuat lompatan saujana UPSR 2010 sasaran JPN Terengganu untuk mencapai 20% "straight" A ,UPSR 2010 menjadi kenyataan.

Bahan Kursus GPK Pentadbiran Kesedar Inn boleh didownload di bawah. Jika ada masalah sila register secara percuma web hosting ini (klik) dengan memasukkan email anda dan cipta password sendiri.

Monday, March 8, 2010

Permohonan Guru Besar Cemerlang Gred DGA38 ( KUP)

Permohonan terbuka kepada semua Guru Besar Gred DGA34 yang memenuhi syarat-syarat berikut:
  1. Calon perlu mengisi borang permohonan GBC38/07/A
  2. Mencapai prestasi(85% ke atas) berdasar LNP Tahun 2007,2008,2009
  3. Lulus PTK (TK4) yang ditetapkan (Aras III atau IV)
  4. Bebas Tindakan Tatatertib
  5. Lulus Istihar harta
  6. Lulus Tapisan SPRM
  7. Diperaku oleh Pengarah Pelajaran Negeri
  8. Sedang berkhidmat sebagai Guru Besar Gred DGA34 sekurang-kurang 3 tahun
  9. Mempunyai sekurangnya 1 tahun lagi perkhidmatan sebelum bersara wajib pada tarikh permohonan
SEMUA PERMOHONAN YANG LENGKAP  MESTI SAMPAI:-
  • Dari Guru Besar ke PPD masing-masing pada atau sebelum 15 Mac
  • Dari PPD ke Unit Penyeliaan Rendah JPNT pada atau sebelum 18 Mac 
Catatan : Borang Permohonan dan semua dokumen hanya cukup ditebuk dan diikat dengan tali (tidak perlu binding) 

PERMARKAHAN DGA38(KUP) GURU BESAR CEMERLANG 
  • Markah LNPT 2007,2008,2009       -  40 %
  • Penilaian (Borang Permohonan)      -  30 %    -  calon mesti isi dengan lengkap
  • Pemantauan Pengurusan                  - 30%
    Sila download dokumen di bawah untuk bacaan dan tindakan.Jika tidak boleh download sila daftar
    web ini secara percuma..Anda boleh download dalam pelbagai format fail tetapi disarankan dalam format DOCX



    Perayaan Hari Guru Negeri Tahun 2010

    Hari ini telah diadakan Mesyuarat JK Induk Hari Guru Negeri Terengganu bagi tahun 2010.Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri telah mengambil ketetapan dasar bahawa Sambutan Hari Peringkat Negeri tahun ini akan diadakan dua minggu selepas Pelancaran Peringkat Kebangsaaan pada 16 Mei di Kuantan,Pahang Darul Makmur. PPD Kuala Terengganu yang dipilih sebagai tuan rumah sambutan itu dijangka akan mengadakan sambutan ini di Universiti Darul Iman Malaysia atau di Universiti Malaysia Terengganu.

    Mesyuarat juga telah mengekalkan anugerah-anugerah utama pada sambutan yang lepas di samping menggugurkan beberapa aktiviti selaras dengan aktiviti di peringkat kebangsaan. Beberapa aktiviti baru seperti Pertandingan Menulis Artikal Pendidikan Kategori Guru, Pidato Guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan beberapa lagi dimasukkan dengan harapan sambutan tahun ini lebih baik dan lebih meriah.

    Aktiviti-aktiviti akan dikelolakan oleh Sektor-Sektor di JPN,Bahagian Teknologi Pendidikan dan Majlis Sukan & Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan Terengganu dalam masa terdekat ini.

    Sunday, March 7, 2010

    Mesyuarat Prapenyerahan SK Gong Pasir 2/2010

     
    Pagi tadi saya bersama Ketua Unit Penyeliaan Sekolah Rendah dan Ketua Unit Pembangunan & Bekalan JPN Terengganu sekali lagi membuat lawatan ke SK Gong Pasir,Dungun bagi memeriksa serta melihat status kerja-kerja penyudahan sepertimana janji kontraktor dalam lawatan 1 Mac lalu.
    Guru Besar dan semua GPK yang dilantik sebagai "cantaker" pada 1 Mac telah berada di pejabat sementara di bangunan prasekolah kerana perabut untuk bilik Guru Besar & GPK belum sampai. Rombongan kami bersama Guru Besar & GPK telah membuat tinjauan dan didapati kerja-kerja penyudah atau dalam loghat Terengganu dipanggil "kerja ngutip" masih lagi banyak yang belum selesai.

     
     Selepas itu satu mesyuarat telah diadakan antara kami yang diketui oleh Ketua Unit Pembangunan & Bekalan dengan Kontraktor Induk,Sub-Kontraktor,wakil konsultan Elektrical,Guru Besar & GPK serta wakil PPD Dungun.Rumusannya pihak kontraktor berjanji menyiapkan kerja-kerja berkaitan dan jika penyerahan  berlaku pada pertengahan Mac maka pada 21 Mac setelah naik penggal sekolah akan mula beroperasi ataupun selewat-lewatnya 1 April.. Pihak JPN telah bersedia dengan guru dan murid yang akan berpindah masuk bila-bila masa sahaja bergantung bila penyerahan rasmi sekolah oleh kontraktor kepada KPM/JPN.

    Saturday, March 6, 2010

    Pengetua, guru besar sekolah bukan SBT turut nikmati insentif: TPM

    BEHRANG: Pengetua dan guru besar sekolah bukan dalam kelompok Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) akan diberi insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan mulai tahun depan sekiranya sekolah mereka cemerlang berdasarkan kriteria tertentu.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata insentif itu akan dikongsi guru dan pentabir sekolah berkenaan.

    Muhyiddin berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan warga pendidik Daerah Batang Padang di Dewan Politeknik Sultan Azlan Shah serta Program Juara Rakyat peringkat negeri Perak, di Tasek YDP Slim River, sebentar tadi.

    Guru Pukul Murid,Murid Benci Guru

    Enam murid dalam enam darjah – satu hingga enam, di sebuah sekolah rendah telah member jawapan kepada pertanyaan saya. Jawapan mereka menarik dan perlu dikaji oleh pihak – pihak berkenaan, agar tidak berlaku di sekolah, guru tampar dan maki murid.

    Di bawah ini adalah jawapan – jawapan daripada murid – murid tersebut:

    Murid darjah satu: Guru kami, perempuan, belum kahwin.Dia baik. Saya suka belaja dengan dia.

    Murid darjah dua: Saya seronok belajar pada Cikgu Kamaruddin. Saya lekas pandai. Dia baik. Dia jawab pertanyaan kami dengan baik. Kami rasa dia macam abang kami …

    Murid darjah tiga: Saya tak suka belajar pada Cikgu Bedah tu. Garang. Kami tanya dia marah. Suka pukul kami. Kami belajar tak seronok…

    Murid darjah empat: Tak seronok belajar pada Cikgu Abu tu. Dia ngantuk. Bila kami tanya dia marah – marah. Selalu pegang rotan macam nak pukul kami…

    Murid darjah lima: Jemu, jemu belajar pada Cikgu Norma tu. Suka pukul kami. Kami tanya dia marah. Dia kata kami bodoh. Kami tak suka belajar pada dia tu…Kawan saya kata dia bermadu …

    Murid darjah enam: Heee, Cikgu Hendon tua, garang macam rimau, sikit – sikit pukul kami dengan pembaris. Kami tanya dia marah …Panas baran. Kawan saya kata dia tu janda …

    Dari catatan di atas, maka kejadian guru perempuan, yang pukul dan maki murid – murid pintar, di Sekolah Rendah murid - murid tersebut dalam satu majlis yang diadakan oleh Guru Besar sekolah tersebut baru – baru ini.

    Pada peringkat awal, guru berkenaan berkeras dan sombong dengan berkata, ibu bapa boleh beritahu dan mengadu kepada siapapun, dia tak takut.

    Perkara itu disampaikan oleh seorang bapa murid yang terlibat, kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom.

    Ketua Pengarah telah mengarahkan Guru Besar sekolah tersebut mengadakan jalan damai dan aman.

    Seorang bapa murid memberitahu saya: “ Guru perempuan tu janda, patutle dia garang sangat …”. – mokhtar petah

    Thursday, March 4, 2010

    Guru berkhidmat di luar bandar diberi kelebihan

    TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya Dr. Mohd Puad Zarkashi (duduk dua dari kanan) serta Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (duduk kanan). 
     KUALA LUMPUR: Pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ganjaran itu antara bentuk dorongan baru yang sedang dikaji untuk menggalakkan guru berkhidmat di kawasan berkenaan, selain sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.

    Beliau bagaimanapun berkata, pengalaman berkhidmat di luar bandar bukan bermakna guru terbabit akan mendapat kenaikan pangkat dan ganjaran lain secara automatik, sebaliknya ia memberi mereka kelebihan dalam pertimbangan yang turut bergantung kepada faktor penting lain, seperti kekosongan jawatan, kekananan dan prestasi perkhidmatan.

    "Satu kertas kerja yang mencakupi segala aspek menyeluruh mengenai perkhidmatan guru di luar bandar dan pedalaman, termasuk dari segi pemilihan, penempatan, bentuk galakan serta ganjaran sedang pada peringkat akhir penyediaan oleh jawatankuasa yang saya pengerusikan.

    "Usaha ini dimulakan sejak akhir tahun lalu di mana kita mengambil kira, mempertimbang dan membincangkan secara teliti semua isu berkaitan serta masalah daripada keseluruhan aspek yang dijangka timbul berhubung perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

    Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, berhubung cadangan mewajibkan guru bertugas di pedalaman serta luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu.

    Muhyiddin berkata, sebagai penggalak, mereka akan diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman yang dialami sektor pendidikan ketika ini.

    Alimuddin berkata, kertas kerja yang disediakan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian itu akan siap tidak lama lagi dan akan dibentangkan pada mesyuarat pengurusan dan profesional sebelum dikemukakan kepada Muhyiddin untuk kelulusan.

    "Apabila ia diluluskan, dasar baru berkenaan boleh dilaksanakan dalam tahun ini juga sekiranya sempat atau pada sesi persekolahan baru tahun depan," katanya.

    Beliau berkata, guru harus melihat penempatan di sekolah luar bandar dan pedalaman selama tiga hingga lima tahun daripada keseluruhan tempoh 33 hingga 35 tahun perkhidmatan mereka dalam profesion itu, sebagai satu tanggungjawab sosial dan khidmat negara yang amat bermakna.

    Katanya, rata-rata tenaga pengajar di sekolah luar bandar dan pedalaman ketika ini adalah guru baru, sedangkan khidmat guru berpengalaman melebihi lima tahun juga diperlukan untuk membantu mempertingkat kecemerlangan pendidikan di kawasan itu, sekali gus merapatkan jurang prestasi antara pelajarnya dengan rakan sebaya di sekolah bandar.

    "Justeru, kertas kerja itu tidak hanya bertumpu kepada penghantaran guru baru, sebaliknya turut mengkaji kepentingan menempatkan guru berpengalaman ke luar bandar serta pedalaman untuk mengisi kekosongan berdasarkan keperluan opsyen, terutama bagi mereka yang belum pernah ditukarkan ke kawasan berkenaan.

    "Memang ada guru berpengalaman yang tidak pernah ditukarkan ke kawasan luar bandar atau pedalaman walaupun sudah hampir bersara. Maka, dasar umpama khidmat negara sebegini dipercayai akan mendorong guru berusaha mendapatkan penempatan ke sekolah luar bandar dan pedalaman lebih awal," katanya.

    Musim Pertukaran Tiba,Pelbagai Cerita Bermula

    Taklimat mengenai E-GTukar bagi semua daerah baru saja selesai.Seperti tahun-tahun sudah pertukaran guru biasa yakni bagi mereka yang tidak memegang jawatan hakiki boleh memohon terus secara online sama ada bagi pertukaran dalam daerah,antara daerah dan antara negeri.

    Sementara bagi mereka yang berjawatan hakiki seperti Guru Besar,GPK,Guru Cemerlang dan seumpamanya permohonan pertukaran antara negeri mestilah secara offline berdasarkan borang khas(boleh didapati pada ruangan "download" blog ini) dan dihantar melalui JPN untuk dipanjangkan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM). Bagi pertukaran yang berjawatan hakiki sama ada antara daerah dan dalam daerah hendaklah mengemukakan borang melalui PPD dan kelulusan hanya oleh Panel Pertukaran JPN sahaja.Perkara utama kelulusan pertukaran jawatan hakiki adalah kekosongan yang ujud. Sama ada kekosongan tersebut disebab pertukaran penyandang ke luar,bersara atau kematiaan.

    Pertukaran pemegang jawatan hakiki tidak terikat kepada musim pertukaran guru biasa 1 Jun dan 1 Jan.Ianya boleh berlaku bila-bila masa jika ada kekosongan.

    Pertukaran yang dinyatakan di atas adalah pertukaran secara permohonan. Pertukaran jenis ini bergantung kepada keperluan dan kekosongan jawatan. Mungkin ianya boleh jadi jauh atau dekat sekolah dengan tempat tinggal  pemohon. Adalah sangat penting untuk menyatakan sanggup / tidak sanggup ditempatkan di sekolah atau daerah lain dalam borang E-GTukar jika sekolah atau daerah dipohon tidak dapat dipenuhi. Jika pemohon menulis tidak sanggup maka ia akan merendahkan keutamaan untuk diluluskan pertukaran

    Satu jenis pertukaran lagi ialah pertukaran yang diarah "atas kepentingan perkhidmatan".Pertukaran jenis ini selalu menjadi isu dan polimik. Macam-macam surat iringan rayuan dari berbagai peringkat dikemukakan. Kadang-kadang mereka lupa atau buat lupa perbuatan mereka itu bercanggah dengan

    SURAT KSU KPM KP.SULIT(TT)0163 JLD.2(41) 12 JUN 2009 dan
    Peraturan 4(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 memperuntukkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh -

    “(h)  membawa atau cuba membawa ap-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan apa-apa tuntutan berhubung dengan atau terhadap perkhidmatan awam, sama      ada tuntutan itu ialah tuntutannya sendiri atau tuntutan mana-mana pegawai lain.”


    Tindakan Ekoran Menggunakan Pengaruh Luar ,PPPS, PPPLD DAN AKS di bawah KPM akan diambil tindakan PROSIDING TATATERTIB

    Pertukaran berasakan "kepentingan perkhidmatan" dengan meletakkan kepentingan murid sebagai keutamaan.Contohnya guru tidak cukup dan opsyen berkaitan diperlukan maka sesorang itu diarah bertukar bagi mengisi keperluan berkenaan.Bagi mereka yang berjawatan pertukaran atas kepentingan perkhidmatan bagi menampung kesimbangan kekuatan pasukan,masalah kesihatan,pusingan kerja dan pelbagai perkara lagi. Namun apa yang sangat mendukacita dan meloyakan kita mereka yang ditukar lebih dekat dengan tempat tinggal pun turut bising apa lagi jika jauh sedikit dari tempat asal. Kerenah tidak profesional ini sewajarnya tidak dilayan oleh mana-mana pihakpun.

    Kita sangat berharap selepas ini tidak ada lagi isu remeh temeh berhubung pergerakan dan pertukaran ini. Jika kita bersyukur dengan kerjaya kita,profesional dengan kerjabuat kita dan mengutamakan murid dalam tugas mendidik kita isu pertukaran tidak berbangkit langsung walau sekelumit...

    Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
    Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
    Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
    Dia adalah guru mewakili seribu buku;
    Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
    Semakin bererti tugasnya kepada negara

    (Allahyarham Dato'Dr.Usman Awang)


    Monday, March 1, 2010

    Pertukaran Guru Secara Online Jun 2010 (E-GTukar)

    Sebagaimana tahun lepas Pertukaran Guru Antara Negeri,Antara Daerah dan Dalam Daerah akan dilaksanakan secara online melalui Sistem E-GTukar. Sebagai persediaan menghadapi sesi pertukaran 1 Jun 2010 satu Mesyuarat Penyelarasan E-GTukar telah diadakan yang melibatkan Pegawai Pengurusan Sekolah,Sektor Khas & Swasta,Sektor Pendidikan Islam daripada Jabatan Pendidikan dan PPD Seluruh Negeri Terengganu.

    Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah,Sektor Pengurusan Sekolah,En.Salim bin Abd. Ghani turut membincang isu-isu yang berbangkit dalam pertukaran lepas serta langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan.

    En. Ibrahim bin Ismail,Ketua Adminstarator E-GTukar  Negeri dan En.Kamal bin Abdullah,Adminstrator E-GTukar Unit Rendah telah menyampaikan taklimat tentang kaedah semakan ketepatan data dan prosidur serta proses E-GTukar. Bahan taklimat untuk PPD taklimat dan sampaikan kepada pihak sekolah juga dibekalkan. Proses Taklimat E-GTukar peringkat daerah seluruh negeri kepada pihak sekolah mula dilaksanakan esok sebagai jadual berikut di bawah