TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan tuduhan pembangkang kononnya kerajaan menganaktirikan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil serta menganggap kenyataan itu sebagai berbau perkauman.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion untuk membayar gaji guru di SJK, sekali gus menafikan tuduhan dibuat M Manogaran (DAP-Teluk Intan).
Muhyiddin berkata, SJK Cina dan Tamil sudah menjadi sebahagian sistem pendidikan di negara ini, malah pengajaran bahasa Cina dan Tamil dibenarkan kerana ia menjadi sebahagian daripada legasi masyarakat.
Bagaimanapun, katanya, tindakan menyamakan taraf bahasa Cina dan Tamil dengan Bahasa Malaysia (BM) adalah tidak adil kerana ia bercanggah dengan Akta Pelajaran Kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam Perlembagaan, BM adalah bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain juga boleh digunakan sebab sudah jadi sebahagian legasi, malah jika SJK Cina dan Tamil dianaktirikan, tak kan kerajaan beri duit yang banyak untuk bayar gaji guru di sekolah itu,” katanya menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat, semalam.
Manogaran sebelum itu mempersoalkan tindakan kerajaan tidak menjadikan bahasa Cina dan Tamil sebagai subjek prinsip dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain meminta dua bahasa itu turut dijadikan setaraf BM.
Muhyiddin berkata, dalam usaha memartabatkan BM seperti terkandung dalam dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), pembelajaran dan pengajaran BM di SJK ditambah dari 270 minit kepada 300 minit bagi Tahap Satu dan 180 minit kepada 240 minit pada Tahap Dua, bermula 2011 dari Tahun 1 persekolahan.
Menteri Pelajaran juga berkata, kementeriannya akan terus memperkasa pendidikan prasekolah sebagai sebahagian aliran perdana dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment