Wednesday, March 31, 2010

Kementerian Tambah Elaun Guru Pedalaman

KEMENTERIAN Pelajaran mengkaji menambah elaun guru di kawasan pedalaman kepada lima kategori, berbanding hanya tiga ketika ini selepas mengambil kira kesusahan dan kepayahan dialami mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata selepas merasai sendiri keperitan guru di pedalaman khususnya di Pahang, Sarawak dan Sabah dia yakin elaun itu wajar dikaji semula.

Mohd Puad berkata, ketika ini kementerian membayar elaun petugas di pedalaman iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500 kepada guru mengikut kategori kawasan.
Menceritakan pengalaman ketika melawat di kawasan pedalaman di Pahang, Sarawak dan Sabah, baru-baru ini, beliau berkata, ada guru wanita sarat mengandung dan berkhidmat lebih lima tahun.

''Guru itu menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab mendidik anak bangsa tanpa rasa bosan dan kecewa," katanya.

“Saya juga dapat lihat rumah guru yang begitu uzur dan guru berbantalkan beg untuk tidur,” katanya.
Ketika lawatan itu juga, beliau bermalam di rumah panjang di Sarawak, manakala di Sekolah Kebangsaan (SK) Titom, Pahang beliau tidur di asrama untuk merasai sendiri suasana di sekolah pedalaman.

''Saya terharu dan bangga kerana guru berjaya mewujudkan persekitaran kondusif di sekolah masing-masing.

“Bagi mengurangkan tekanan, sewajarnya guru bertugas di pedalaman diberi elaun lebih munasabah,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan ke beberapa sekolah Orang Asli di daerah Lipis, baru-baru ini.

Antaranya ialah SK Betau, SK Lenjang dan SK Titom.
Mohd Puad berkata, kerajaan meminta Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan membuat kajian menyeluruh menentukan elaun bagi lima kategori yang akan diperkenalkan itu.

''Kenaikan itu nanti sebagai insentif supaya guru lebih bersemangat menjalankan tugas di pedalaman yang tersisih daripada segala kemudahan.

”Kita bangga kerana mereka cukup bersemangat dan menunjukkan kesungguhan mengharungi kesukaran untuk memberi pendidikan kepada anak bangsa," katanya.

Dalam perkembangan sama, kementerian akan mewujudkan skim khas untuk mengambil lebih ramai Orang Asli dan pribumi berkelayakan menjadi guru terlatih.

Mohd Puad berkata, kementerian akan berbincang dengan Bahagian Pendidikan Guru untuk menetapkan kelulusan minimum bagi membolehkan masyarakat berkenaan memohon masuk ke institusi pendidikan guru seluruh negara.
 Sumber : perkhidmatanpelajaran blogspot

No comments:

Post a Comment