Friday, March 12, 2010

Muhyiddin gesa tingkat usaha rapat jurang pendidikan

KINABATANGAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mahu semua pihak terbabit dalam aspek pembelajaran pelajar sekolah meningkatkan usaha merapatkan jurang pencapaian pelajar bandar dengan luar bandar.

Walaupun berpuas hati dengan peningkatan pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam, Timbalan Perdana Menteri mahu jurang yang masih besar itu dirapatkan melalui pelaksanaan strategi peningkatan pembelajaran.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau berpuas hati dengan peningkatan pelajar lulus semua mata pelajaran dalam peperiksaan berkenaan kepada 49.6 peratus tahun lalu berbanding 47.4 peratus tahun sebelumnya tetapi masih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkannya. “Saya ucapkan tahniah kepada pelajar SPM tahun lalu. Ada peningkatan berbanding 2008.

“Kita harap perlu ada usaha berterusan supaya peratusan lebih tinggi pada tahun akan datang. Masih ada kelompang pencapaian antara sekolah bandar dengan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 20 mangsa banjir di daerah ini awal tahun ini, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Garam 1, di sini.

Muhyiddin berkata, antara strategi Kementerian Pelajaran merapatkan jurang pencapaian ialah menempatkan guru baru dan berpengalaman bertugas di luar bandar.
“Kita perlu hantar guru terbaik di bandar dan luar bandar. Setiap guru harus bersedia berkhidmat di luar bandar,” katanya.

Selain itu, katanya, infrastruktur sekolah luar bandar yang menyebabkan pencapaian akademik pelajar rendah juga akan diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Contoh, ada sekolah di Sabah dan Sarawak yang terletak di tepi sungai sering dilanda banjir, sekali gus menyebabkan proses pembelajaran terganggu,” katanya.
Kebajikan guru di luar bandar terutama menyediakan kediaman mereka juga diberi perhatian.

Ditanya langkah mengurangkan peruntukan sekolah, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah bersetuju bil elektrik dan air sekolah dibayar kementerian.

No comments:

Post a Comment