Tuesday, August 27, 2013

TPM mahu penjawat awam dahulukan kepentingan rakyat



PUTRAJAYA 27 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penjawat awam meneruskan prestasi kerja cemerlang menerusi kecekapan tadbir urus dengan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

"Penjawat awam menghadapi pelbagai isu dan cabaran dalam melaksanakan tugasan harian, sehubungan itu, budaya cepat, tepat dan berintegriti perlu dijadikan amalan dalam menawarkan perkhidmatan cemerlang kepada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 Kementerian Pendidikan kepada 614 warga kementerian hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sangat prihatin terhadap kebajikan penjawat awam dan telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka antaranya ialah peruntukan tiga tambahan kenaikan gaji tahunan dalam jadual gaji minimum-maksimum dan peningkatan kadar kenaikan gaji di antara 7 hingga 13 peratus yang telah pun berkuatkuasa pada 1 Januari lepas.

Selain itu, pemberian satu kenaikan gaji tahunan pada Julai lepas serta honorarium RM500 sempena sambutan Aidilfitri merupakan pengiktirafan kerajaan kepada usaha dan kerja keras penjawat awam, katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, semua warga kementerian perlu bersedia membuat anjakan paradigma supaya setiap perubahan yang dilaksanakan dapat memberi impak yang tinggi kepada peningkatan kualiti pendidikan negara.

"Transformasi yang kementerian lakukan ini diharap dapat memenuhi kepuasan pelanggan, mencapai atau setidak-tidaknya setanding dengan pencapaian di negara maju," katanya.
"Sistem penyampaian kementerian harus ditambahbaik dari semasa ke semasa dalam memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat dan ia perlu dilaksanakan berdasarkan kepada sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan kementerian.

Dalam pada itu, beliau berkata, transformasi pendidikan yang sedang dijalankan mampu melahirkan generasi baharu yang memiliki minda kelas pertama dan berupaya memacu kemajuan negara dan menguasai kepakaran teknologi serta mengamalkan nilai-nilai murni.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kesemua penerima anugerah berkenaan telah menunjukkan prestasi kerja yang mencapai tahap terbaik dan diharapkan mereka akan meneruskan prestasi kerja cemerlang menerusi kecekapan tadbir urus dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud. - BERNAMA

Sumber : Utusan Malaysia online


0 ulasan:

Post a Comment