Saturday, August 10, 2013

Sembang Sabtu : Raya, raya jugak pelajaran jangan lupa sayang!

Rasanya belum terlambat untuk kita ucapkan " Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin" kepada pembaca tidak kira di mana jua berada. Hari Raya Ketiga masih lagi hangat dengan suasana raya apalagi rancangan raya di pelbagai saluran tv bertali arus macam sungai musim banjir. Cuma kita bimbang anak-anak kita yang bakal menduduki peperiksaan turut tenggelam dan dibawa arus yang sama..

Cuti perayaan yang panjang ditambah dengan siaran hiburan raya tv yang pelbagai ini tentunya merisaukan guru dan ibu bapa yang perihatin. Guru dan ibu bapa yang tidak perihatin kita tak payah kita ceritalah. Mereka tentu bimbang jika anak murid atau anak mereka yang dah hampir mantap untuk persediaan UPSR menjadi longgar balik skru ingatan akibat tune dan momentum yang berubah. Mereka sedia maklum berdasarkan pengalaman lepas mereka perlu berusaha dua tiga kali ganda untuk memulihkan anak didik mereka seperti sedia kala.

Saya ingin berkongsi satu pengalaman bekas anak murid saya yang pernah menuntut di Institult Al-Quran, Padang Midin. Beliau pernah memberitahu saya bahawa jika beliau ke bandar dan tidak jaga penglihatan seperti melihat perempuan atau maksiat bila balik ke Institut, Quran yang telah hafalpun akan lupa. Terpaksalah berlipat ganda usaha untuk mengingatkan kembali ayat-ayat yang telah dihafal.

Saya tidak mengatakan anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan tidak boleh berhari raya dan tidak boleh menonton tv. Tidak. Tapi biarlah secara terkawal. Sebagai ibu bapa kita perlu ingat dan galakkan mereka tentang pelajaran mereka. Setidak-tidaknya mereka masih pegang buku atau buat latihan sejam sehari dalam musim seronok ini agar mereka tidak lupa dan bakal menikmati keseronokan sepanjang hayat bila mereka berjaya dalam pelajaran mereka.

Selain dari itu, elakkan mereka menziarahi rumah rakan secara berkumpulan dengan kenderaan seperti basikal atau motosikal. Biarlah kita bersusah menghantar ke mana mereka hendak pergi daripada kita dan anak kita bersusah menghadapi peperiksaan jika mereka ditimpa kemalangan sekarang. Bukan kita minta tetapi kita perlu menjangka sesuatu dengan situasi jalan yang amat sibuk sekarang ini.

Begitu juga perlu mengawal makan-minum mereka dalam keadaan sekarang. Juadah hari raya yang pelbagai disertai dengan kemaruk kerana berpuasa sebelum ini menjadikan mereka tidak terkawal hingga boleh menjejaskan kesihatan . Maklumlah UPSR hanya tinggal lebih kurang sebulan sahaja lagi. Sebulan tu sama dengan 30 hari. 30 hari adalah zon masa kritikal bagi calon peperiksaan yang ingin berjaya tetapi bagi yang malas esok lusapun masih dianggap lama.

Semoga catatan ringkas ini akan mengingatkan kita keutamaan dalam perjuangan hidup kita dan jangan kita terlepas akibat inginkan keseronokan sementara. Sambutlah Hari Raya secara sederhana dan berhemah menggunakan masa cuti yang panjang. Masa yang berlalu tidak akan mampu diulang. Ia telah menjadi sejarah. 

Selamat Berhari Raya untuk anak-anak....Raya,raya jugak,pelajaran jangan lupa sayang...

  

No comments:

Post a Comment