Thursday, August 22, 2013

Taklimat Pengemaskinian dan Verifikasi Maklumat Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana Dalam Modul e-OPERASI



GUA MUSANG - Selesai Permohonan Perjawatan 2014 yang dibuka di peringkat sekolah pada bulan Julai 2013 yang lepas, kini pihak Unit Pengurusan Sekolah di PPD dan JPN Terengganu bertemu bagi melaksanakan tindakan seterusnya. Proses kerja yang dinamakan Taklimat Pengemaskinian dan Verifikasi Maklumat Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana Dalam Modul e-OPERASI bermula pada 20 hingga 22 Ogos 2013 dipimpin oleh En. Mat Lin bin Mohd Nor, Penolong Pengarah Pengurusan Data dan ABM SR. Taklimat yang diadakan di Kesedar Inn, Gua Musang, Kelantan ini melibatkan Pengurusan Guru dan Pengurusan Murid di PPD dan juga di JPN. Setiap PPD diwakili oleh kedua-dua cabang pengurusan yang saling berkaitan ini.

Turut terlibat ialah Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan khusus untuk verifikasi Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) bagi Permohonan ABM Perjawatan 2014. Sektor Pengurusan Maklumat dan ICT juga terlibat menjayakan taklimat bagi verifikasi data guru dan data AKP di seluruh negeri Terengganu berdasarkan data dalam sistem EMiS di bawah kawalan sektor ini. Proses verifikasi kali ini menjadi lebih mudah kerana Sektor Pengurusan Sekolah menggunakan sepenuhnya data online e-OPERASI buat julung kali menggantikan DOSR.

Taklimat kali ini juga turut membuat Semakan Kelulusan ABM Perjawatan 2013 sebagaimana arahan terkini yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KPM melalui surat yang diterima pada 20 Ogos 2013. Bagi pengurusan murid, Kutipan dan Verifikasi Data Murid dilaksana berdasarkan enrolmen murid dalam Modul e-OPERASI dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM). Bagi kutipan data murid, mesyuarat dipengerusikan oleh En. Wahab bin Mohammad, Penyelia Kanan Pengursan Murid.

Para pegawai dari Sektor Pendidkan Islam, Sektor Pengurusan Akademik, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan dan Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas turut serta menjayakan taklimat ini khusus bagi mengesahkan guru-guru di bawah kawalan sektor masing-masing. Tidak ketinggalan ialah Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Prasekolah yang juga melaksanakan verifikasi data guru Prasekolah dan perjawatan guru Prasekolah 2014.

Dalam ucapan pembukaan, Ketua Unit Pengurusan Sekolah Rendah selaku Ketua Aktiviti Rendah JPN Terengganu merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua ahli mensyuarat dari pelbagai sektor dan PPD yang sentiasa member komitmen penuh menjayakan mesyuarat yang dikelolakan oleh Unit Pengurusan Sekolah Rendah. Kerjasama yang erat sebegini sudah pasti memberi gambaran kekuatan yang ada di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Ketua Unit mengalu-alukan keterlibatan Pegawai baru dari Sektor Pengurusan Maklumat dan ICT (En. Zulkifli) dalam taklimat ini dan mengharapkan beliau dapat membantu proses verifikasi ini setepat yang mungkin.

Ketua Unit juga merakamkan ucapan tahniah kepada Penyelia Kanan di PPD kerana telah berjaya menyelesaikan tugasan Permohonan ABM dan pengemaskinian data pada bulan Ramadan yang lalu. Beliau turut mengharapkan Penyelia Kanan di PPD minimumkan masalah lapuk guru-guru tidak ingat ID dan kata laluan untuk login e-OPERASI. Beliau juga amat berharap supaya masalah remeh berkait dengan pengurusan data dan permohonan ABM di peringkat sekolah tidak lagi timbul sama ada di pihak guru atau pihak pengusan sekolah. Adalah amat memalukan kerana masih ada segelintir pihak pengurusan sekolah rendah di Terengganu bersikap ‘acuh tak acuh’ setiap kali operasi online digerakkan. Alasan mengatakan terlalu banyak sistem online dalam pendidikan tidak boleh diterima kerana era pengurusan pendidikan hari ini sudah tidak boleh dipisahkan dengan cara ini. 

Selain itu, Ketua Unit berharap agar data yang akan diverifikasi kali ini merupakan data yang sahih dan benar, terbaik dan yang paling penting ialah tidak merugikan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dari sudut kelayakan buka kelas, perjawatan guru dan perjawatan AKP.

Laporan disediakan oleh En. Kamal Abdullah, Penolong Pengarah Guru, USR.

 

No comments:

Post a Comment