Friday, August 2, 2013

Renungan Jumaat : Persediaan menyambut Syawal



Sekarang kita telah pun memasuki minggu terakhir bulan Ramadan. Ini bererti umat Islam hanya beberapa hari saja lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam khususnya bagi orang-orang yang berpuasa, tetapi pada masa yang sama hati kita turut merasa sedih untuk meninggalkan bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini kerana kita belum pasti lagi akan dapat berjumpa bulan Ramadan yang akan datang kecuali jika diizinkan dan dipanjangkan umur oleh Allah Subhanahu waTa'ala.

Sebagaimana kelazimannya apabila saja hampir tiba Hari Raya Aidilfitri maka kebanyakan di antara kita akan sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya seperti menyediakan keperluan rumah, menyediakan pakaian, menyediakan makanan dan minuman dan bermacam-macam lagi persediaan, semuanya itu demi meraikan Aidilfitri yang mulia. Tetapi apa yang perlu kita ingat walau macam manapun kesibukan kita, janganlah kita lupa dan lalai kewajipan terhadap Allah Subhanahu waTa'ala khususnya di akhir-akhir bulan Ramadan ini iaitu membayar zakat fitrah kerana ia merupakan satu kewajipan dan pelengkap ibadat puasa serta penampal atau penutup kecacatan-kecacatan yang berlaku ke atas ibadat puasa yang kita lakukan.


Sebenarnya agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak mahu umatnya hidup susah kerana itu kita dinasihatkan supaya hidup sentiasa bersederhana, tidak berlebih-lebihan dan membazir, contohnya dalam menyambut Hari Raya Al-Mubarak ini, sambutlah secara sederhana dan berhemah, jangan terlalu ikut hati sehingga berbelanja lebih dari kemampuan dan menyusahkan diri, jangan jadikan sambutan Hari Raya Aidifitri untuk bermegah-megah dan bermewah-mewah sehingga berlaku pembaziran dan menjadikan kita bersifat riak. Biarlah kita menjadi umat yang sederhana yang tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam semua hal. Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Al Israa' ayat 26 - 27:

وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُ ۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًاإِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٲنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ‌ۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورً۬ا

Tafsirnya: "….Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya"
.

Perlulah kita fahami bahawa tujuan utama Hari Raya Aidilfitri adalah untuk meraikan kejayaan hamba-hamba Allah yang telah melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan, kerana itu sambutan yang dilakukan juga biarlah atas landasan ugama dan tetap menjadi ibadah. Bagi mencapai maksud tersebut ugama Islam memberikan kita bimbingan dan panduan cara sambutan yang betul untuk diikuti dan dipraktikkan, antaranya ialah :

Pada Malam Hari Raya Pertama kita disunatkan menghidupkan malam tersebut dengan laungan takbir dan terus menghidupkannya dengan bacaan Al-Qur'an, berzikir, berdoa dan sebagainya. Bukan meraikan malam tersebut dengan perkara-perkara yang membahayakan dan memudaratkan apatah lagi perkara yang mengganggu ketenteraman orang lain dan elakkan membuat persiapan di saat-saat akhir sehingga larut malam menyebabkan ada yang tidak sempat menunaikan Sembahyang Fardu Subuh dan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri kerana tidak terjaga dan keletihan.

Pada pagi Hari Raya pula, kita disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukannya mandi seperti hari-hari biasa, kita juga disunatkan memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Sebelum ke masjid untuk bersembahyang Hari Raya pula, kita disunatkan memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil, inilah yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam sebelum ke masjid untuk bersembahyang Hari Raya.


Bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri, sudah setentunya amalan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi kaum keluarga, sanak-saudara, jiran tetangga dan sahabat handai semata-mata untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri ini, elakkanlah keraian ini dari dicemari dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara’ dan berdosa, antaranya bersalaman dengan bukan muhrim, memakai pakaian yang mendedahkan aurat, menghidangkan benda-benda haram dan sebagainya. Perbuatan sedemikian tidak mendatangkan berkat, tetapi akan mencemarkan erti sebenar kedatangan Hari Raya Aidilfitri itu, di samping mendatangkan dosa dan menyebabkan kemurkaan Allah Subhanahu waTa'ala.

Akhirnya marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang ini dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam. Mudah-mudahan ibadat puasa Ramadan dan segala amal ibadat yang kita kerjakan selama ini diterima oleh Allah Subhanahu waTa'ala dan mendapat rahmat dan keberkatan serta keampunan dari Allah Subhanahu waTa'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu waTa'ala dalam Surah Ali'Imran ayat 133:

وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Tafsirnya: "Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa".


No comments:

Post a Comment