(amimasra@gmail.com)
BAHASA adalah apa yang dipertuturkan
dan dicakapkan oleh seseorang manusia. Lebih luas lagi bahasa menjadi perantara
dan komunikasi antara manusia. Bahasa yang digunakan secara meluas akan dapat
mengangkat martabat bangsa ke mata dunia. Justeru, bahasa yang maju akan
menjadi bahasa ilmu.
Di Malaysia bahasa Melayu telah
dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar ilmu
sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan
dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Bahasa Melayu berkait erat dengan proses
pembinaan negara Malaysia dan pembinaan negara bangsa. Sejarah dan asas
pembinaan negara berkaitan dengan bahasa mestilah difahami oleh semua rakyat di
negara ini.
Isu-isu yang sering diperkatakan
mengenai bahasa adalah berkaitan dengan peningkatan profesionalisme pendidik
Bahasa Melayu. Mereka ini adalah pendidik yang tentunya terlatih untuk mengajar
Bahasa Melayu di sekolah. Kaedah dan teknik yang digunakan mestilah berubah
maju dan berkesan. Asasnya merekalah yang bertanggungjawab bagi mendidik,
mencintai bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.
Memanfaatkan teknologi pendidikan
yang canggih dan mutakhir dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa
Melayu sangat penting sesuai dengan perubahan semasa. Guru-guru bahasa Melayu
seharusnya berusaha mencipta dan kemudian menggunakannya dalam P&P.
Justeru, berasaskan pendekatan
bersepadu, pendidikan bahasa diharapkan meninggalkan amalan lama dan dapat
meningkatkan kemahiran berbahasa melalui tulisan dan lisan di sekolah. Pelbagai
kursus perlu diadakan kepada guru bahasa bagi meningkatkan penggunaan bahasa
dalam kalangan murid dan pelajar.
PengantarKefahaman dan kesedaran
untuk meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan,
bahasa pengantar dan bahasa ilmu haruslah bermula di sekolah. Jika tidak mereka
tidak sedar akan peranan bahasa itu dalam kehidupan pada masa akan datang.
Kita tentu tidak mahu akan berlaku
"Hilanglah bahasa, lenyaplah bangsa" dalam kalangan pelajar dan
rakyat di negara ini. Sia-sia sahaja usaha mendaulatkan bahasa yang dilakukan
sejak puluhan tahun lalu. Kemahiran bahasa seperti mendengar, bertutur, membaca
dan menulis mestilah dipraktikkan di sekolah rendah, menengah dan menengah atas
juga di universiti.
Bahasa Melayu perlu diberi jiwa baru
melalui pendidikan bahasa di sekolah, pertuturan rasmi, melalui pembacaan yang
akan mengangkat bahasa Melayu sebagai milik semua rakyat. Ini akan dapat
memekarkan kepelbagaian budaya dan juga memperkasakan peradaban manusia.
Kempen-kempen dan slogan baharu
perlu diwujudkan di media massa bagi menjadikan bahasa Melayu berjiwa Malaysia,
hidup dan subur dalam kalangan penggunanya terutama rakyat di negara ini.
Sebagai contoh "Bahasaku adalah jiwaku" dan lain-lain lagi. Jika
pendatang asing dapat bertutur bahasa Mleayu dengan baik kenapa kita tidak
boleh? Jawapannya harus ada pada diri kita.
Ibu bapa juga harus sentiasa
memberikan galakan dan rangsangan kepada anak-anak supaya menggunakan bahasa
Melayu di rumah, sebagai bahasan pertuturan dan bahasa ilmu dengan baik.
Galakan dan rangsangan juga perlu dilakukan oleh para guru di sekolah bagi
menjadikan bahasa Melayu tidak dilenyapkan oleh bangsanya sendiri.
Memetik kata-kata Johann Wolfgang
Von Goethe, oleh sebab setiap orang menggunakan bahasa bagi berbicara, maka
setiap orang mengira dia dapat berbicara berkaitan bahasa. Oleh itu, gunakan
bahasa Melayu dalam penulisan, pertuturan dengan tepat dan betul.
Berbicara berkaitan bahasa dengan
berbicara bagi mendaulatkan bahasa iaitu dua hal yang berbeza yang seharusnya
difahami oleh semua orang. Oleh itu, bagi mengekalkan status bahasa setiap
pengamal bahasa mestilah bertutur dalam bahasa tersebut dan menulisnya dengan
baik dan berkesan.
Sementara itu menurut Samuel
Johnson, beliau sedih apabila ada bahasa yang lenyap, kerana bahasa adalah asal
daripada bangsa. Lantaran itu, setiap orang yang cinta bahasanya mestilah
mengamalkan bahasanya melalui pertuturan dan penulisan dengan baik. Di samping
itu, pengamal bahasa juga mestilah terus mendaulatkan bahasanya. Peranan badan
penulis dan pejuang bahasa juga mesti seiring dalam mendaulatkan dan
memartabatkan bahasa.
Pengekalan bahasa daripada
peribahasa, kata-kata hikmat daripada sesuatu bahasa itu sangat penting.
Menurut Bertrand Rusell, sebuah peribahasa adalah kebijaksanaan seseorang,
namun hikmah bagi semua orang.
Kebijaksanaan sesebuah peribahasa
itu adalah sejak mula diciptakan melalui renungan dan pemerhatian dalam
kehidupan bangsa. Selain itu, kebijaksanaan juga terangkum dalam makna tersurat
dan tersirat dalam peribahasa tersebut yang dapat mendidik bangsa seterusnya
dalam kehidupan. Kehebatan bahasa Melayu banyak terletak pada peribahasa,
pantun, syair, gurindam, seloka dan perbilangan adat serta bentuk bahasa yang
beragam.
Usaha mengekalkan dan memartabatkan
sesuatu bahasa itu banyak terletak kepada asas-asas pendidikan bahasa di
sekolah sama ada di sekolah rendah dan menengah. Melalui pendidikan yang
berkesan dan juga melalui P&P yang tersusun bahasa dapat dimanfaatkan
kepada generasi muda.
Setiap orang sebagai ahli dalam
masyarakat berperanan untuk mengekalkan bahasa khususnya bahasa ibunda. Bahasa
yang terus kekal akan menjadi bahasa terpenting diajarkan di sekolah, digunakan
dalam masyarakat, dijadikan saluran penyampai ilmu, dipopularkan oleh media
massa, dimartabatkan oleh kerajaan dan pemerintah.
Kepupusan sesuatu bahasa dalam era
globalisasi banyak bergantung pada pengamalnya. Jika pengamal bahasa tersebut
tidak menggunakan bahasanya dengan baik dan berkesan khususnya dalam media
baharu seperti Internet, sudah pasti lama kelamaan bahasa tersebut akan hilang
dan lenyap.
Kekuatan bahasa juga dapat melebarkan
sayapnya ke seluruh dunia sebagai bahasa ilmu dan bahasa pertuturan. Bahasa
yang baik juga dapat memancarkan sikap penutur dengan penuh budi bahasa dan
keindahan kesantunan bahasa. Oleh itu, dalam usaha menyebarkan ilmu bahasa
sangat penting dilaksanakan dan usaha ini memainkan peranannya yang tersendiri
yang boleh dilakukan oleh mereka yang minat terhadap bahasa.
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment