DUNGUN - Semasa bujang dan menyewa dengan rakan-rakan di Paka (sekarang rumah sewa tu sudah tiada) saya yang melaksanakan praktikum guru peringkat pertama di SK Kampung Nyiur merasakan sekolah-sekolah SKM yang berada di hulu Dungun amat teruk. Apa tidaknya, bila melihat Cikgu Anuar yang mengajar di SK Minda Talong berulang-alik dengan motosikal honda cup penuh dengan selut. Rambutnya panjang dan pakaian tidak pernah bergosok.
Berlainan pula dengan Cikgu Waza yang mengajar di SK Paka yang sentiasa bersih dan kemas. Maka dalam kepala saya membuat andaian sekolah hulu Dungun (SKM) tentu teruk jauh terpencil dan guru-guru bebas nak sampai pukul berapa dan nak pakai apa. Mungkin ya mungkin tidak. Wallahualam. Namun setelah beberapa kali memantau sekolah-sekolah SKM di Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu apa yang saya tanggap hampir 30 tahun dulu ibarat bumi dan langit. Bahkan saya rasa kagum dan sangat menghargainya.
Begitulah juga hari ini saya dengan Ketua Unit Sekolah Rendah sempat membuat pemantauan di SK Lintang, Dungun dan merasa kagum dengan guru, murid dan ibubapa SK Lintang biarpun buat pertama kali berada di sekolah ini. Biarpun jauh ke dalam dari bandar Dungun tetapi keseluruhan operasi persekolahan dan iklim persekolahan sangat baik dan menenangkan. Walaupun En. Husin Guru Besar SK Lintang masih baru di SK Lintang tetapi inisiatif dan sifat proaktif beliau pasti merangsang semangat guru, ibubapa dan pelajar untuk mencapai kejayaan.
Saya teringat bila buat kali pertama ditempatkan sebagai Guru Besar yang jauhnya 50 km sehala dari rumah namun kepenatan terubat bila mana semangat guru,ibubapa dan murid sangat membara untuk cari kecemerlangan. Semangat itulah kita subur dan nyalakan dan akhirnya mencipta kejayaan terbilang UPSR (1996) yang hingga kita masih belum mampu dipecahkan atau diatasi. Saya lihat potensi besar ada di SK Lintang jika Guru Besar mampu memugar potensi itu secara optima dan strategik.
Kita juga kadangnya merasa dukacita bila SKM yang hebat prestasinya masih sukar mengubah status kerana dasar pengredan lebih tinggi yang terikat dengan beberapa kreteria terutama keramaian murid. Barangkali dalam era tranformasi pendidikan ini sekolah-sekolah SKM yang mempunyai murid 80 orang ke atas wajar dinaikkan ke gred B sekurang-kurangnya, supaya nikmat perjawatan Guru Besar hakiki dan GPK Hakiki dapat ditingkatkan di samping beban tugas guru di SKM dapat dikurangkan.
Kita amat bersimpati dan merasai akan beban mengajar dan tugas guru di SKM dan kita merasa amat kagum dalam kekangan tugas itu mereka mampu menjaga operasi sekolah, fizikal sekolah dan prestasi murid-murid dengan cemerlang. Kadang-kadang dalam dapatan pemantauan kami, pengurusan SKM yang serba kekurangan jauh lebih baik dari sesetengah sekolah gred A dan B.
Kami di Unit Sekolah Rendah akan sentiasa membantu sekolah-sekolah SKM terutama dari segi bekalan perjawatan guru dan perjuangan melalui saluran yang ada agar tranformasi status gred dan perjawatan pengurusan serta guru SKM dapat ditingkatkan. Tahniah Guru Besar, GPK, guru-guru, ibubapa dan murid SK Lintang . SK Lintang berpotensi menyaingi SK Tepus untuk bergerak ke arah SKK.
No comments:
Post a Comment