Tuesday, June 11, 2013

Majlis JPN Terengganu bersama-sama Exco Pelajaran Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Pagi ini YB En. Ghazali Taib, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu mengadakan perjumpaan bersama-sama dengan kepimpinan JPN Terengganu , Pegawai dan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah seluruh negeri. Majlis berkenaan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Alamanda, JPN Terengganu turut dihadiri Pengarah dan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu telah menyampaikan visi dan misi pendidikan negeri Terengganu dengan memberi fokus kepada kemenjadian guru yang sebenar bagi melahirkan kemenjadian murid yang cemerlang dan terbilang. "Buah yang baik pastinya terhasil daripada pohon yang baik ", tegas beliau.

Menurut beliau lagi hasrat YAB Menteri Besar Terengganu adalah untuk terus mengembalikan kegemilangan pendidikan Terengganu dengan memastikan UPSR Terengganu mesti menjadi yang terbaik. Justru itu semua pihak sama ada JPN,PPD dan sekolah perlu berusaha keras. Semangat, komitmen dan iltizam guru perlu ditingkat dan diperkasakan.

Selain dari itu, beliau berharap urusan kenaikan pangkat dari peringkat bawah hingga tertinggi sama ada sebagai GPK, Guru Besar, Pengetua, Pegawai di PPD dan JPN bukan sahaja memenuhi kreteria asas tetapi juga disaring dari berbagai aspek agar selari dengan aspirasi dan halatuju negeri dan pusat dalam membangun pendidikan berkualiti dan bernilai pada masyarakat. Sebagai mantan GPK Hem beliau melihat kepimpinan yang berkualiti amat penting dalam usaha memajukan pendidikan negara ke arah mencapai negara maju menjelang 2020.YB Exco Pelajaran juga mencadangkan agar program pembangunan kepimpinan (groming) diadakan bagi melatih bakal pengurus sekolah dan pendidikan yang berpotensi dan berkualiti

Beliau juga berharap para guru perlu membuat perubahan atan tranformasi terutama dalam menyatakan apresiasi kepada kepimpinan semua peringkat sama ada dalam institusi pendidikan ataupun kerajaan misalnya memberi tepukan gemuruh dan sebagainya. Selain dari itu, pegawai JPN,PPD, Pengurus Sekolah mesti menampil status dan integriti tinggi selain menampilkan aura kebijaksanaan dan kemahiran serta sentiasa menjaga penampilan dan tingkahlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu juga meminta setiap bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri agar dibuat kajian impak bagi melihat kesan serta "velue of money". Tegas beliau tidak ada guna pelbagai perancangan program dibuat tetapi pelaksanaan tidak kemas dan strategik serta kurang impak keberuntungan khususnya dalam pendidikan aspek kemenjadian murid yang seimbang (JERI).

Selain dari itu beliau berharap pihak Jabatan dan PPD dapat mengenalpasti pembangunan sekolah yang perlu dan kritikal serta sekolah-sekolah dalam lokasi rendah yang mudah ditenggelami untuk difikirkan kaedah dan pendekatan yang sesuai. Beliau juga berharap Terengganu akan mendahului dan menampakkan usaha dalam melaksanakan PPPM dan kerajaan negeri akan sentiasa membantu dan  meletakkan pendidikan sebagai agenda utama.


1 comment:

  1. Salam.

    Terlebih dahulu tahniah kepada YB En. Ghazali Taib sebagi Exco Pelajaran Negeri Terengganu. Beliau adalah rakan kursus NPQEL Ambilan 1/2013 tapi berhenti setelah dicalonkan bertanding dalam PRU 13 baru-baru ini.

    Menyentuh hasrat YAB Menteri Besar Terengganu untuk terus mengembalikan kegemilangan pendidikan Terengganu dengan memastikan UPSR Terengganu mesti menjadi yang terbaik, saya melihat proses kegemilangan itu perlu diperkasa di peringkat bawahan lagi iaitu semasa murid-murid berada di Tahap 1 (Tahun 1 –Tahun 3). Bagi saya, melahirkan buah yang baik juga perlu dipantau proses awal atau peringkat kemenjadian buah itu sendiri. Justeru itu proses PdP di Tahap 1 perlu dibuat proses penambahbaikannya supaya memasuki Tahap 2 nanti tidak menjadi bebanan kepada guru-guru terutamanya yang mengajar mata pelajaran UPSR.

    Justeru itu, cadangan saya wujudkan satu peperiksaan/penilaian khusus murid-murid yang berada tahun akhir Tahap 1 dimana ujian itu mempunyai nilai setara seperti mana UPSR. Dengan kata lain diperingkat sekolah rendah akan wujud 2 peperiksaan penting iaitu UPT1 (Ujian Pencapaian Tahap 1) Tahun 3 dan UPSR Tahun 6. Cadangan ini, pasti mampu saya lakukan di sekolah saya sebagai bukti/perintis sekiranya saya mempunyai mandat sebagai pentadbir sekolah tetapi sebagai guru biasa wujud keterbatasan dalam melaksanakannya.

    Saya melihat hasil dapatan UPT1 amat penting dan berguna untuk dibuat analisis sebelum murid-murid ini melangkah masuk ke Tahap 2 bagi tujuan kecemerlangan pelajaran dan seterusnya menjana ke arah kecemerlangan UPSR itu sendiri. Mungkin nilai tambah lain boleh difikirkan untuk wujudkan satu mekanisma baru berakhirnya pembelajaran di Tahap 1 dengan matlamat menjadikan PdP Tahap 1 semegah UPSR yang hendak digapai.

    Mengakhiri kata mohon maaf jika salah bicara. Cadangan yang diutarakan juga sekadar pendapat peribadi sahaja. Hanya sebagai satu perkongsian pandangan andainya baik untuk difikirkan.

    Terima kasih.

    ReplyDelete