Saturday, June 22, 2013

Penjawat awam terima faedah pemindahan gaji 1 Julai



Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan penjawat awam akan menerima pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan kadar satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bulan depan.

Menurut jabatan itu, jumlah pemberian faedah pemindahan gaji berkenaan pada 1 Julai depan akan dikira dengan kadar satu KGT mengikut gred jawatan atau gred gaji masing-masing.
“Ia adalah eksesais pemberian faedah pemindahan gaji dan bukan eksesais kenaikan gaji,” kata jabatan itu dalam kenyataannya, semalam.


JPA juga memaklumkan, pelaksanaan eksesais itu susulan keputusan kerajaan berkaitan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan awam, landasan kerjaya dan pembetulan kepada masalah struktur gaji.

“Masalah struktur gaji akan diselesaikan sebelum 31 Disember ini, bukan disebabkan kedudukan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum pada 2012,” katanya. 

Baru-baru ini, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 JPA menetapkan, penjawat awam yang layak mendapat satu KGT itu membabitkan semua kakitangan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) bertaraf tetap, sementara dan kontrak yang dilantik sebelum 1 Julai 2013 dan sedang berkhidmat pada hari berkenaan.
Turut layak pegawai yang dipinjam atau ditukar sementara ke agensi kerajaan, pegawai yang dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta, pegawai yang bercuti bergaji penuh, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji serta pegawai yang meninggal dunia pada 1 Julai 2013.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak membabitkan pegawai yang masih berkhidmat di bawah saraan Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet (JKK) 1976 atau Sistem Saraan Baru (SSB).

Turut tidak layak pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai lantikan baru berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai yang bersara pada atau sebelum 1 Julai 2013 dan pegawai yang meninggal dunia pada atau sebelum 30 Jun 2013.

Mengikut pekeliling itu, kakitangan yang layak satu KGT mengikut gred jawatan/gred gaji masing-masing pada 1 Julai 2013 berdasarkan gaji hakiki pada 30 Jun 2013.

sumber : Berita Harian Online


0 ulasan:

Post a Comment