Saturday, June 8, 2013

Sembang Sabtu : Kedangkalan dalam kecerdikan...

Sehari dua ini tentunya hari-hari yang paling sibuk bagi ibubapa yang masih ada anak bersekolah terutama yang tinggal di asrama. Bukan sahaja memikirkan hari dan tarikh untuk menghantar mereka balik tetapi juga menyiapkan barang keperluan mereka. Pusat membeli-belah dan kesesakan jalanraya kembali memuncak. Anak-anak lain juga sibuk tumpang sekaki untuk merebut peluang bagi mendapatkan keperluan sekolah mereka.

Sepanjang cuti persekolahan dua minggu ini mungkin anak-anak kita menempuh dan mengalami pelbagai perubahan dan pengalaman baru. Tidak kira sama ada pengalaman pahit atau manis ia adalah pengalaman baru yang terhasil dari pengalamian mereka. Pengalaman dari satu pengalamian adalah sangat bermakna kerana semuanya adalah kebenaran yang ditempuh. Bukan mengutip cerita dan sekadar seronok berkongsi dengan orang lain yang masih belum tentu kebenarannya. Budaya kita yang suka menokok tambah kadang-kadang sesuatu yang biasa menjadi terlalu luarbiasa dan lebih dasyat diakusah sebagai sesuatu yang benar.

Perkembangan media sosial baru seperti facebook, tweeter dan bermacam lagi adalah antara faktor pendorong utama menyemarakkan pemalsuan fakta dan penokoktambah yang keterlaluan. Lebih malangnya ia diterima bulat-bulat oleh mereka yang dikategori cerdik dan pandai bahkan menokok dan memanjangkan lagi. Secara psaikologinya sesuatu yang tidak benar apabila disebut dan diulang berkali-kali  lama kelamaan seakan diterima sebagai kebenaran. Apakah ini krisis dan perubahan nilai baru yang berlaku yang menjadi anai-anai atau bubuk yang memakan dalam senyap sistem nilai kita hingga si bodoh menjadi seakan cerdik dan yang sebenar cerdik telah menjadi semakin bodoh.

Apakah ini tujuan dan strategi sebenar pencipta media baru ? Menghuru-harakan pemikiran dan nilai hingga menjadikan kita seperti ikan sepat mabuk kena tuba. Bila dalam kecelaruan ini mudah untuk mereka memanipulasi. Akhirnya sistem nilai dan institusi runtuh dan mereka menjajah pula dengan nilai-nilai baru yang mengasuh kebiadapan dan kurang ajar atas nama kesejagatan dan hak manusia. "Pembrontakan" terancang ini bakal meruntuhkan penghormatan kepada ibubapa dalam institusi keluarga, penghormatan kepada pemimpin, penghormatan murid kepada guru  dan sebagainya lagi.

Jika  "pemberontakan" murid kepada guru sama ada dalam tingkahlaku harian atau dalam media sosial menjadi budaya dan wabak suatu hari nanti kita barangkali  tidak boleh menyalahkan mereka seratus peratus kerana kita sebagai guru juga telah menyumbang ke arah itu. Apa tidaknya, banyak sekali kita mendengar "pemberontakan" guru selepas pilihanraya. "Pemberontakan" itu dapat dihidu dan dibaca kerana mereka memaparkan secara jelas dan nyata di media sosial. Mana ada sebelum ini kaum guru dikaitkan dengan penentangan kepada kerajaan (majikannya) begitu rupa walaupun tidak dinafikan ada guru yang tidak menyokong kerajaan yang memerintah. Namun hari ini mereka tahu isi perut pedal kita kerana kita sendiri begitu berani membongkarkannya. Maka jika dikenakan tindakan tatatertib jangan kata PPD/JPN zalim tapi kitalah yang menzalimi diri sendiri kerana terlalu ghairah bermedia sosial ciptaan Yahudi itu tanpa batas dan had.

Justru keghairahan melampau kita lupa akar kebijaksanaan yang dipesan oleh orang tua-tua " Memukul ular, ular biar mati, tanah tidak lekuk dan kayu tidak patah". Atau "menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus, tepung tidak terburai". Begitulah juga kita merendahkan nilai intelektual kita dengan menerima bulat-bulat sesuatu perkara tanpa mempersoalkan bukti dan sumber yang kukuh. Pelikkan, semakin kita tinggi belajar dan banyak kemudahan tapi kita dilihat semakin dangkal dan kurang cerdik. Semalam dalam satu forum di sebut kerajaan telah memperuntukkan tiga ribu untuk urusan kematian anggota awam. Bahkan mengikut seorang peserta forum , JPA dalam taklimatnya mengatakan kerajaan Malaysia menyara kakitangan awamnya dari awal khidmat hingga selepas seseorang itu meninggal. Beliau hairan mengapa ada anggota kakitangan awam mengatakan kerajaan zalim.

Kononnya kezaliman kerajaan itu menjadi "zikir" kepada kakitangan awam atau sesetengah guru dalam media sosial sebelum dan semasa PRU13. Kita yang cerdik ini turut menelan bulat-bulat zikir songsang tanpa fakta dan bukti yang benar. Sementara pihak yang dituduh zalim kelu membisu tanpa hujah dan fakta. Maka jadilah soalan fitnah dan kepalsuan itu benar dan kebenaran sebenar sukar diterima sebagai kebenaran.

Oleh yang demikian kita merasakan sudah sampai masanya semua pihak kembali ke akar disiplin berhujah dan bertindak supaya kecelaruan yang merosakkan ini dapat dipulih dan dilenyapkan. Kita telah jauh melanggar fitrah umat beradab dan beragama dengan nilai-nilai unggul yang semakin terkesamping kerana serakah pemikiran dan nafsu melulu. Sekali lagi dalam catatan ini saya perturunkan petikan penyair Khalil Gibran untuk renungan agar kita tahu posisi dan peranan kita membangun ummah dan negara kita , "Raja (pemimpin) yang tidak mahu memerintah negara tidak akan maju dan rakyat yang ghairah hendak menjadi raja (pemimpin) negara akan huru-hara"


No comments:

Post a Comment