Monday, June 17, 2013

Pelajar Negeri Terengganu Antara Penerima Anugerah Pandu Puteri Raja



KUALA LUMPUR - Seorang pelajar negeri Terengganu, Nurul Harina Nadiah binti Mat Lazim telah menerima  pengiktirafan tertinggi Pandu Puteri apabila dianugerahi Pandu Puteri Raja oleh DYM Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong baru-baru ini. Pelajar Tingkatan Lima Sains dari SMK Seri Payong, Marang itu adalah antara lima pelajar Melayu dari tiga puluh satu penerima Anugerah Pandu Puteri Raja seluruh negara pada tahun ini.

Majlis gilang gemilang itu telah diadakan pada 26 Mei 2013 di J.W Mariot Hotel, Kuala Lumpur. DYM Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri agung telah sudi mencemar duli bagi menyampaikan anugerah berkenaan.

Pengiktirafan sebagai Pandu Puteri Raja yang merupakan pengiktirafan berprestaj menjadi idaman kepada setiap ahli Pandu Puteri. Walau bagaimanapun ia tidak semudah disangkakan. Banyak dugaan dan cabarannya. Calon Pandu Puteri Raja wajib menyelesaikan sebelas buah buku log, menyediakan satu projek khidmat masyarakat selama tiga bulan serta lulus pelbagai ujian khas yang ditetapkan. Selain itu mereka perlu meyakinkan panel penilai dengan keyakinan dan ketrampilan komunikasi dan pelbagai ilmu serta kemahiran kepanduan.

“ Hanya mereka yang benar-benar sabar, kuat semangat dan beriltizam tinggi sahaja akan mampu mengharungi cabaran meraih Anugerah Pandu Puteri Raja”, kata Puan Mastura Kamarulzaman, Guru Pemimpin Pandu Puteri SMK Seri Payong sewaktu diminta pandangan beliau. Pn Mastura Kamarulzaman  juga adalah Timbalan Pesuruhjaya Pandu Puetri Daerah Marang dan AJK Pandu Puteri Negeri Terengganu.

Kita berharap kejayaan adik Nurul Harina Nadiah akan menjadi pendorong kepada para pelajar SMK Seri Payong dan pelajar-pelajar yang terlibat dengan kegiatan Pandu Puteri seluruh negeri. Selain itu pengalaman, ilmu dan kemahiran melatih calon-calon ke arah Pandu Puteri Raja yang ada pada guru-guru pemimpin Pandu Puteri perlu dikongsikan bersama dan kalau boleh diujudkan panduan latihan standard Anugerah Pandu Puteri Raja kepada semua sekolah. Kita amat yakin dengan strategi yang tersusun dan lebih kemas kita mampu meramaikan lagi penerima “Anugerah Pandu Puteri Raja”.

Sumber : Blog Berita Web JPNT

No comments:

Post a Comment