Sunday, June 30, 2013

Mesyuarat Penyelarasan Permata Pintar Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Terengganu adalah negeri kedua tertinggi yang menyertai Ujian UKM1 selepas negeri Perlis. Jumlah penyertaan UKM1 bagi negeri Terengganu ialah 24,300 orang. Sementara bagi Permata Insan bagi murid Islam berumur 8 Tahun Terengganu mendahului negeri-negeri lain di mana 1990 murid terlibat.

Maklumat berkenaan telah dibentang oleh En. Zakaria Muda, Ketua Unit Sekolah Rendah yang menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Penyelarasan Permata Pintar Negeri Terengganu di Bilik Anjung Ilmu pagi tadi. Mesyuarat berkenaan turut dihadiri pegawai meja Permata Pintar negeri dan PPD.

Menurut Puan Siti Rohaya Mohd Nor, Pegawai Meja Permata Pintar Negeri  daripada 24,300 pelajar yang menyertai UKM1 seramai 514 orang untuk menduduki UKM2 yang akan diadakan di tigapuluh dua pusat ujian seluruh negeri akhir Julai dan Ogos depan.

Mesyuarat hari ini juga membincangkan pengurusan UKM2 dan strategi untuk tahun 2014. Negeri Terengganu mensasarkan 30,000 murid menyertai UKM1 pada tahun 2014. Tahun ini KPI ujian UKM1 satu ialah 20,000 dan telah mencapai sasaran tersebut.

Tahniah dan terima kasih kepada Pengetua dan Guru Besar seluruh negeri Terengganu. Bahagian Permata Pintar tahun lepas telah menganugerahkan laptop kepada penyertaan sekolah teramai di mana SMK Sultan Sulaiman dan SK Pusat Chabang Tiga berjaya meraihnya. Kita tungguh sekolah mana pula yang meraihnya pada tahun ini.


Saturday, June 29, 2013

Sembang Sabtu : Krisis dan salah faham komunikasi zaman siber ..



Kita selalu dan diperkatakan bahawa pada zaman siber ini semua urusan menjadi cekap, pantas dan segera. Cukup dengan satu sms, satu email atau maklumat di dinding facebook segala maklumat dapat disebar dengan cepat dan meluas Kita akui kebenaran dan kemudahan itu. Namun kadangnya kita hilang privicy kita kerana atas tuntutan tugas kita terpaksa melayan kehendak dan keperluan pelanggan sepanjang masa.

Kebiasaan dalam rutin komunikasi harian kita terbawa sama dalam penulisan teknologi komunikasi canggih sms,facebook dan sebagainya. Kalau kita suka panggil cikgu kita atau kerani kita dengan panggilan dan gelaran  manja kerana rapatnya perhubungan seumpama adik-beradik seperti “comel”, “baby”, “sayang”, “makcik”, “adik”, “abang’ dan sebagainya ianya kadang-kadang terbawa-bawa dalam penulisan sms kita dan seumpamanya . Tanpa kita sedari bahawa bahasa tulisan adalah kaku dan mati dan bila terbaca oleh seseorang yang tidak faham maka ia bakal mengundang padah dan fitnah.

Begitu juga kalau dalam kebiasaan harian kita bergurau secara kasar atau sedikit lucah atau “double meaning” maka ia juga kadangnya tanpa kita sedari terbawa-bawa dalam bahasa tulisan kita. Bahasa tulisan yang akhirnya menimbulkan masalah walau hakikat sebenar jauh daripada itu.

Kita mungkin pernah alami atau mendengar pelbagai peristiwa tentang salah faham. Mungkin kita pernah mendengar seorang isteri Guru Besar datang ke sekolah suaminya menyerang seorang guru perempuan kerana terbaca sms ‘ Esok nak pakai baju aper”. Seolah-olah guru itu tukang sibuk bertanya suaminya dan ingin tahu suaminya mahu pakai baju apa. Atau seolah-olah guru ini gundik sulit Guru Besar yang menyediakan baju untuk Guru Besar. Walhal hakikat sebenar guru itu bertanya apa yang patut beliau pakai esok jika hari Selasa adalah hari badan beruniform atau Khamis hari berbaju batik apabila  bertembung dengan sesuatu majlis.

Begitu juga pernah seorang kawan memberitahu dia terpaksa bertaklik dengan isterinya kerana untuk meyakinkan isterinya bahawa dia tiada apa-apa hubungan atau melakukan perbuatan terkutuk seperti “jika saya melakukan hubungan sex dengan mana-mana perempuan dalam dunia selain awak maka tertalaklah dengan satu talak”. Ianya berpunca dari sms seorang kawan perempuan lama yang dia dan isteri kenali . Tetapi dalam hpnya tidak ada nama perempuan tersebut. Antara dialognya kawan perempuan bertanya, ‘dok kat mana ?. Guru itu jawab, “kl”. Kawan tanya lagi, “Gi ngan sapa”. Guru ini jawab “ dengan dia”.

Apabila isterinya terbaca maka mengamuk satu dunia dengan menuduh suaminya ada perempuan lain. Walhal “dia” itu gantinama isterinya tadi. Isterinya mengamuk lagi sakan mengapa tidak tulis nama dia betul-betul. Hinggalah bertaklik baru isterinya percaya. Mungkin ramai antara kita juga bertaklik kerana stail pengurusan dan hubungan zaman moden ini banyak membuahkan prasangka dan keraguan melampaui batas.

Namun ada juga pelakuan pelik dan aneh manusia zaman siber ini. Kesibukan tugas atau urusan seringkali pasangan merasa terpinggir dan tidak dipedulikan. Satu cara bagaimana untuk menarik perhatian pasangan  ialah meminta kawan-kawan menyamar jadi kekasih dan menghantar sms cinta, ghairah dan erotik kepada  telefon mereka. Apabila suami atau isteri atau pasangan terlihat maka akan timbul perasaan cemburu. Perasaan cemburu itu bagi mereka adalah indikator bahawa mereka masih laku dan diperlukan pasangan. Teknik komunikasi dan stail provokatif sebegini memberi impak tinggi dan juga berisiko tinggi kepada pasangan atau kawan mereka. Namun bagi mereka ini pengajaran paling berkesan justru manusia secara fitrah bertindakbalas apabila haknya “dicabuli” walaupun  dalam masa sama ia mengabaikan dan membiarkan. Saya pernah menggunakan teknik ini bagi membantu seorang rakan dan saya teruk diugut suaminya tapi kerana niat baik walaupun caranya kurang sesuai, hubungan mereka yang hambar semakin rapat dan intim. 

Kadang-kadang sifat cemburu melampaui batas akan disemarakkan lagi dengan cara hidup moden ini. Seorang kawan memberitahu suami seorang guru setiap kali isterinya balik kerja akan menganalisa seluar dalam isterinya bagi mencari bukti-bukti kecurangan sang isteri. Selain itu akan memeriksa seluruh badan isteri bagi mencari tanda-tanda kecurangan seperti “love bite” dan sebagainya. Mereka seolah menganggap isterinya yang baik tiada iman selain menuduh isteri secara sambarangan dan sembrono. 

Pengalaman sendiri yang dilalui selain cerita rakan-rakan menjadi kita takut, bimbang dan risau untuk  menghantar sms kepada sahabat atau rakan perempuan apalagi lagi sms gurauan yang berbaur kelucahan, kelucuan dan sebagainya. Begitu juga hendak respone facebook, email dan sebagainya. Kadang-kadang kita rasa hubungan pengurusan secara berdepan lebih baik kerana ia berlaku pada dan ketika itu sahaja. Kadang-kadang biar orang kata kita sombong,payah nak jumpa daripada terlalu telus, baik, mudah kira kerana caragaya kita itu kadang-kadang memakan diri sendiri. Bahkan terkadang menjadi fitnah yang tidak pernah kita jangkakan.

Apapun apa yang berlaku ada hikmahnya. Setidak-tidaknya mengajar kita sedar bahawa kita tidak boleh samakan satu perkara untuk semua. One fit saiz for all. Dunia hubungan di pejabat dan di sekolah adalah lain berbanding dengan rumah. Bahasa dan gurau pengucapan tidak sama dengan penulisaan. Kita atau rakan-rakan kita tahu had dan sempadan. Tahu nak pilih dan simpan mana satu sms yang sesuai dan tidak menimbulkan salah faham. Jangan terlalu ego dan sombong dengan menganggap orang lain tidak tahu dan bodoh. Akhirnya bodoh itu kita yang terima kerana cuai dan ambil mudah dalam segala hal.

Kita berharap melalui Sembang Satu yang santai pada kali ini dapat mengajar kita berhati-hati menggunakan kemudahan teknologi. Teknologi adalah alat, yang kontrol untuk jadikannya baik dan buruk adalah diri kita. Kita mesti boleh menyesuaikan diri dengan zaman dan teknologi dengan penentuan sempadan had nilai diri kita. Kalau tidak kita hancur dalam putaran krisis dan fitnah kerana kedangkala kita sendiri.Dan bagi penerima atau pembaca sms khususnya jangan cepat melenting..yang nampak cantik tidak semesti baik dan yang nampak buruk tidak semestinya jahat.


Friday, June 28, 2013

Renungan Jumaat : Ujian itu hadiah daripada Allah



Hari terus berganti hari. Kehidupan manusia juga terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlari. Di celah-celah hari  berwarna-warni  yang di jalani dan ditelusuri, tanpa  disedari atau tidak, manusia sebenarnya  telahpun menempuh pelbagai ujian dan dugaan duniawi. Ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang diuji olah Allah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…     ( Al-Baqarah: 286)

ALLAH telah menyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. ALLAH  mengetahui kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh kerana itu  ALLAH memberikan  ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya ALLAH kepada kita sebagai hambaNya. ALLAH menguji seseorang bukan kerana ALLAH benci kepada kita tetapi percayalah  ALLAH menguji kita kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya, adakala tidak mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi ujianNya.

Hakikatnya saat ini, saat kita sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani ujian atau dihimpit pelbagai derita. Ada di kalangan  manusia di luar sana yang saat ini sedang diuji dengan kehilangan orang tersayang. Tidak kurang juga ada manusia yang diuji apabila apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi dan diberi.

“ Kenapa aku yang diuji ? “
“ Mengapa aku diuji sebegini ?”
“ Ujian ini sangat berat. Aku tak mampu…”

Mungkin ini adalah antara persoalan dan keluhan yang meniti di bibir atau berlegar di fikiran kita sebagai seorang hamba saat dihimpit dengan secebis ujian. Kadangkala  tanpa sedar dan niat  kita juga  terlanjur marah pada DIA kerana menghujani kita dengan pelbagai ujian.

Tetapi, apabila kita menenangkan diri dan bermuhasabah  kembali, tenyata sebenarnya dengan ujian yang diberi kita adalah hamba yang beruntung . Mengapa saya katakan begitu? Kerana ujian hanyalah diberi oleh Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangiNya. Dan jangan kita lupa bersama ujian itu juga ada pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). ( Al-Baqarah: 214)

Sebagai manusia biasa, kita pastinya tidak akan mampu menjangka bilakah ujian itu akan muncul tiba. Walaubagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah kudrat kita sebagai seorang hamba yang kerdil lagi penuh dosa untuk menolak ujian-ujian yang bakal menyapa  itu. Jika direnungkan kembali, kita semua pastinya pernah dan akan ditimpa ujian dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian itu tiba, mampukah kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan memandangnya sebagai hadiah pemberian Allah?

Manusia itu sifatnya pelupa, Ada masanya dalam melayari kehidupan di dunia, kita lalai dan leka pada hakikat yang nyata bahwa kita hanyalah hamba DIA yang Esa. Jadi apakah sebenarnya yang mampu membangkitkan manusia dari kelalaian dan kealpaan ini? UJIAN. Ya, Ujian. Ujian atau mehnah yang menjengah dalam kehidupan kita itulah sebenarnya yang mampu mengejutkan kita dari mimpi dunia yang panjang.

Allah Tuhan yang Maha Mengetahui. Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas oleh DIA untuk kita, kita masih lagi menjadi seorang hamba yang hanyut dan lemas dalam lautan kelalaian. Apa yang paling utama sebenarnya adalah “ hadiah ” itu dikirimkan oleh Allah bertujuan untuk menilai sejauh mana keimanan kita terhadapNya sepertimana yang dijelaskannya di dalam 
Al-Quran:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut: 2)

Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin pernah bermain di fikiran kita saat kita diuji. Inilah saatnya bagi kita, saya dan anda yang sedang membaca, merubah fikiran kita dan mula memandang ujian-ujian yang telah dan akan kita lalui sebagai sebuah ‘ hadiah’ dari Allah dan bukan lagi satu bebanan. Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita akan menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi.



Thursday, June 27, 2013

Program Coaching dan Mentoring SBT

BESUT - Minggu ini KPM bersama pegawai JPN dan PPD  bersama-sama mengadakan program Coaching dan Mentoring di SK Sultan Sulaiman 1 (24-25 Jun 2012), SK Sultan Ismail, Kemaman (26.6.2013) dan SK Tengku Mahmud, Besut (26-27/06/2012) bagi membantu mempertingkatkan pencapaian khususnya dalam akademik (UPSR) dan Band Sekolah.

Program C&M di Besut telah diurus oleh En. Anuar Adnan Ismail, KPP Sektor Pengurusan Sekolah Kecemerlangan, BPSBPSK. Pegawai dari JPN dan PPD Besut turut bersama. Sesi bimbingan selama dua hari yang diurus beliau sangat menarik. Berbagai tips dan strategi dikongsi bagi membantu guru-guru untuk melonjak prestasi murid.

Selain berintraksi dan berbincang dengan Guru Besar, GPK dan guru-guru beliau juga berkesempatan bertemu dengan calon target seramai 80 orang. Banyak tips yang diberi bagi mendorong pelajar agar berusaha keras bagi mencapai kejayaan terbilang.

SBT SK Tengku Mahmud adalah antara sekolah yang mempunyai pencapaian terbilang UPSR bagi negeri Terengganu sejak beberapa tahun lalu . Guru Besar SK Tengku Mahmud, Tuan Haji Abd Rahman Sardar yang juga Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Besut adalah seorang Guru Besar Cemerlang yang sangat dedikasi bagi membawa kejayaan kepada sekolah ini.

Kita berdoa semoga sekolah-sekolah SBT Terengganu akan terus berupaya melakar kejayaan lebih terbilang lagi pada UPSR akan datang.


Tuesday, June 25, 2013

Taklimat Guru Baharu j-Qaf Negeri Terengganu 2013

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu melalui urusetia Unit Sekolah Rendah, Sektor Pengurusan akan mengadakan taklimat berkaitan sebagaimana butiran berikut:

  • Tarikh  :  2 hingga 4 Julai 2013
  • Tempat : Perdana Beach Resort, Pantai Cahaya Bulan , Kota Bharu, Kelantan
  • Lapor Diri : Jam 2.00 petang 2 Julai 2013
 Keterangan lanjut surat,jadual,jadual perjalanan dan senarai peserta. KLIK


Majlis Jasamu dikenanag dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah mengadakan Majlis Jasamu Dikenanag dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi meraikan pesara dan bakal pesara seramai 109 orang  Tahun 2013. Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pula terdiri daripada pegawai dan anggota pelaksana di JPN, PPD serta Guru dan Pengetua yang berjumlah 82 orang.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh YB En. Ghazali bin Taib, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri Terengganu yang mewakili YAB Menteri Besar Terengganu. Majlis berkenaan telah diadakan di Taman Tamaddun Islam., Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. Pengarah Pelajaran Negeri, Timbalan Pengarah, Ketua-Ketua Sektor, PPD dan dif-dif jemputan khas diundang sama bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Tuan Haji Mohd Zawawi bin Mat Junoh, mantan Pengetua SMK Renek telah berucap mewakili pesara dan bakal pesara. Beliau melahirkan rasa syukur kerana berkesempatan merai dan menikmati makna persaraan. Sementara itu YB Exco Pendidikan Negeri Terengganu dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada pesara dan penerima APC. Beliau juga menggambarkan tentang besar dan bermaknanya peranan guru dengan memetik puisi "Guru O Guru" karya Sasterawan Negara, Allahyarham Dato' Usman Awang. 

Sebelum itu Pengarah Pelajaran Negeri dalam ucapan aluan menyeru semua pegawai dan guru agar memberi kerjasama dan sokongan kepada YB En. Ghazali Taib yang juga asalnya bekas guru untuk sama-sama memajukan pendidikan anak-anak negeri  Terengganu. Semua pesara/bakal pesara yang hadir telah menerima sijil persaraan dan jam tangan. Sementara penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang menerima sijil dan sijil simpanan premium bernilai RM1,000.00 seorang.

Kita berharap majlis seumpama ini bukan sahaja menjadi satu apresiasi yang sangat bermakna kepada rakan-rakan kita yang bersara dan juga kepada penerima APC tetapi juga sebagai motivasi kepada guru dan pegawai yang lain. Tahniah kepada penerima APC. Selamat bersara kepada rakan-rakan yang cukup tempoh khidmat. Jasa kalian tetap dikenang.



Saturday, June 22, 2013

Penjawat awam terima faedah pemindahan gaji 1 Julai



Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan penjawat awam akan menerima pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan kadar satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bulan depan.

Menurut jabatan itu, jumlah pemberian faedah pemindahan gaji berkenaan pada 1 Julai depan akan dikira dengan kadar satu KGT mengikut gred jawatan atau gred gaji masing-masing.
“Ia adalah eksesais pemberian faedah pemindahan gaji dan bukan eksesais kenaikan gaji,” kata jabatan itu dalam kenyataannya, semalam.


JPA juga memaklumkan, pelaksanaan eksesais itu susulan keputusan kerajaan berkaitan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan awam, landasan kerjaya dan pembetulan kepada masalah struktur gaji.

“Masalah struktur gaji akan diselesaikan sebelum 31 Disember ini, bukan disebabkan kedudukan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum pada 2012,” katanya. 

Baru-baru ini, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 JPA menetapkan, penjawat awam yang layak mendapat satu KGT itu membabitkan semua kakitangan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) bertaraf tetap, sementara dan kontrak yang dilantik sebelum 1 Julai 2013 dan sedang berkhidmat pada hari berkenaan.
Turut layak pegawai yang dipinjam atau ditukar sementara ke agensi kerajaan, pegawai yang dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta, pegawai yang bercuti bergaji penuh, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji serta pegawai yang meninggal dunia pada 1 Julai 2013.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak membabitkan pegawai yang masih berkhidmat di bawah saraan Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet (JKK) 1976 atau Sistem Saraan Baru (SSB).

Turut tidak layak pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai lantikan baru berkuat kuasa 1 Julai 2013, pegawai yang bersara pada atau sebelum 1 Julai 2013 dan pegawai yang meninggal dunia pada atau sebelum 30 Jun 2013.

Mengikut pekeliling itu, kakitangan yang layak satu KGT mengikut gred jawatan/gred gaji masing-masing pada 1 Julai 2013 berdasarkan gaji hakiki pada 30 Jun 2013.

sumber : Berita Harian Online


Thursday, June 20, 2013

PSS SK Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu ke peringkat kebangsaan



Pusat Sumber SK Felda Jerangau Barat , Hulu Terengganu telah tercalon ke peringkat kebangsaan Pertandingan Pusat Sumber. Penilaian PSS Peringkat Kebangsaan telah dilakukan pada hari semalam 19 Jun 2013 oleh dua orang Hakim yang begitu berpengalaman dan berwibawa  iaitu En Zakaria Hassan ( Pen Pengarah BTPN Kelantan ) dan Tn Hj Hasrimi b Mohamad ( Peg Perpustakan IPG Kampus Kota Bharu )

Alhamdulilah, semua urusan penghakiman telah berjalan lancar dan dipermudahkan segala olehNya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada dua panel hakim En Zakaria bin Hassan ( Pen Pengarah BTPN Kelantan ) dan Tn Hj Hasrimi B Mohamad ( Peg Perpustakaan IPG KKB ) di atas penilaian yang dibuat dengan penuh komitmen dan benar-benar ikhlas dalam menilai dan memberi kata nasihat serta secara tidak langsung mengajar banyak perkara khususnya berkaitan menjadikan PSS sebagai yang terbaik.

Semua pihak memberi kerjasama yang jitu sepanjang penghakiman berjalan samada di pihak panel dan juga guru, pekerja serta murid-murid skfjb. Semuanya memberi sumbangan yang amat bermakna dan membantu dalam memastikan PSS muncul sebagai juara bak kata Tuan Guru Besar " Kita berhasrat dan mempunyai impian yang tinggi untuk membawa balik gelaran JUARA PSS PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN INI DI BUMI FELDA JERANGAU BARAT ".InsyaAllah ia akan menjadi kenyataan.

Usaha telah dibuat dengan penuh semangat dan kesungguhan telah dijelmakan oleh semua pihak termasuk JPN, BTPN, PPD, PKG, GPM, PIBG, NGO,  Warga Masyarakat, Guru-guru, Pekerja, dan tidak ketinggalan murid-murid yang tidak kurang sumbangannya dalam memikat hati para hakim.

Sememangnya para hakim memuji dan mengucapkan syabas kepada pihak pengurusan dan GPM khususnya kerana berjaya menghasilkan PSS yang berjaya dan berkualiti. Segala aspek penilaian yang dikehendaki dapat dibuktikan hampir 100%. Mereka akui sukar mencari kelemahan dan hampir semua mendapat markah penuh dalam aspek-aspek yang di nilai.

Selain dari itu kekuatan yang kita ada adalah konsep warna warni yang ditonjolkan memukau dan memberi aura yang tersendiri kepada panel hakim dengan menyatakan pertama kali masuk ke pintu pagar sekolah aura itu telah dirasai dan apabila menuju jauh kedalam kawasan sekolah aura itu semakin menebal dan telah seolah-olah memahat kuatdiri  mereka sehinggakan terasa amat sukar untuk meninggalkan sekolah ini.

Tahniah, dan terima kasih sekali lagi. Kita tunggu keputusan dengan penuh harapan dan segala keputusan yang bakal diumumkan kita terima dengan redha dan berserah kepadaNya.

Kepada Semua yang terlibat dalam mendorong kejayaan ini daripada JPNT. BTPNT, PPD, PKG Hulu, GPM Daerah Hulu, Pengurus Felda. Pengurus Kilang, PIBG, Masyarakat Setempat, Guru-guru dan semua warga SKFJB  kami mengucapkan jutaan terima kasih atas dorongan anda semua.

Adapatasi sumber : http://pssskfjb.blogspot.com/