Tuesday, June 28, 2011

Guru siswazah sekolah rendah terpinggir

2011/06/28

SEBAGAI guru, saya berterima kasih kepada kerajaan kerana banyak membantu meningkatkan tahap profesionalisme pendidikan negara. Tidak dapat dinafikan banyak insentif diberi kepada pendidik sejajar dengan bebanan yang digalas mereka.

Kerajaan juga membuka ruang cukup luas kepada pendidik meningkatkan tahap kualiti modal insan masing-masing dengan menggalakkan mereka menyambung pelajaran hingga dapat menggenggam segulung ijazah.
Terlalu ramai guru yang menyahut cabaran ini dan amat berbangga apabila dapat menamatkan pengajian. 
Namun, disebabkan sistem kenaikan pangkat yang pincang, mereka terus teraniaya. Amat malang guru ini yang berada di gred DG41, malah ada yang bergred DG44 di sekolah rendah, dinafikan peluangnya untuk menjadi pentadbir sekolah, seolah-olah pengalaman dan ilmu mereka langsung tidak ada nilainya dalam perkiraan jawatan itu.

Kementerian Pelajaran hanya menawarkan guru penolong kanan sekolah rendah kepada guru DG32 saja, maka berebutlah golongan ini mengisi borang. Guru berijazah di sekolah rendah hanya mampu menggigit jari saja sedangkan mereka jauh lebih senior.


Lebih mencelarukan lagi apabila guru penolong kanan bergred DG32 menyambung pelajaran ke peringkat ijazah tidak pula diturunkan menjadi guru penolong, malah diserapkan terus kepada DG41 dengan jawatan sama.


Ini membuktikan guru penolong kanan di sekolah rendah boleh dijawat oleh orang yang bergred DG41 ke atas.
Jadi mengapa guru yang asalnya bergred DG41 masih terus teraniaya dengan tidak ditawarkan jawatan berkenaan sedangkan mereka lebih senior. Adakah surat tawaran itu tidak boleh diubah?

Semoga cerdik pandai di Kementerian Pelajaran dapat melihat kepincangan ini dan menanganinya dengan penuh hikmah, agar tiada lagi diskriminasi kepada guru penolong DG41 di sekolah rendah.


GURU IJAZAH TERPINGGIR,

Kuala Terengganu.




Ulasan kami;
  1. Isu naik pangkat sekolah rendah ini telah diterang dan ditulis banyak siri di sini 
  2. Perjawatan hakiki sekolah rendah ( di menu kanan bawah blog) ini bagi Guru Besar Gred Hakiki ialah DGA32 (SKM) dan DGA34 ( Bagi Sek Gred A,B dan SKM A). Ini dasar KPM maka sebab itu DG41 ke atas tidak boleh ditawar jadi Guru Besar dan GPK  kerana gred mereka lebih tinggi dari gred hakiki pentadbiran sekolah rendah
  3. Mereka yang memiliki DG41 ke atas layak ditawarkan Guru Besar dan GPK sekolah rendah jika dasar gred hakiki perjawatan sekolah rendah diubah oleh kerajaan atau KPM
  4. Guru Besar atau GPK yang menyambung pelajaran boleh terus kekal di atas jawatan berkenaan dengan diberi DG41 KUP bukan DG41. Maksud KUP(Khas Untuk Penyandang) ada diterangkan dimenu kanan sebelah bawah blog ini. Sila baca dan faham.
  5. Laluan Naik Pangkat Guru DG41 Sekolah Rendah masih ada sama ada secara Time Base dan Guru Cemerlang. Peluang untuk menjadi pentadbir juga ada jika dasar gred hakiki jawatan Sekolah Rendah dipinda oleh kerajaan . Harapan ke arah itu memang ada bila mana hampir tiada lagi guru yang dilantik di sekolah rendah dari DG29.
  6. Kepada Guru Ijazah Terpinggir lebih baik kemukakan pandangan dan cadangan melalui kesatuan-kesatuan guru kerana perjuangannya lebih praktikal dan realistik.

No comments:

Post a Comment