Saturday, June 11, 2011

Masalah kekurangan bilik darjah selesai tahun depan

KUALA TERENGGANU 10 Jun - Masalah kekurangan bilik darjah sehingga wujudnya sistem persekolahan dua sesi di beberapa sekolah di negeri ini dijangka selesai menjelang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ia berikutan pembukaan beberapa buah sekolah baru dan pembinaan bangunan tambahan di sekolah-sekolah sedia ada.

Menurutnya, setakat ini terdapat kira-kira 10 peratus daripada lebih 200 buah sekolah di negeri ini masih melaksanakan sistem persekolahan dua sesi.

"Antara sekolah baru yang bakal dibuka pada sesi persekolahan awal tahun depan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram dan SMK Seri Tembesu di Kuala Terengganu serta SMK Merang di Setiu.

"Usaha ini bagi memastikan lebih banyak sekolah mengadakan persekolahan satu sesi supaya proses pembelajaran dan pengajaran berjalan lebih lancar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buku Negeri Terengganu 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin. 

Tambah Ahmad Razif, penyelesaian masalah sekolah dua sesi selaras dengan konsep Kementerian Pelajaran untuk menjadikan setiap sekolah satu sesi.

"Setiap sekolah yang bakal disiapkan kelak mampu menempatkan kira-kira 1,200 pelajar dan jumlah itu selaras dengan kapasiti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran dalam pengurusan sesebuah sekolah," ujarnya. 

Pada majlis itu, 18 buah buku karya 13 orang anak Terengganu turut dilancarkan seperti Mungkin Nanti tulisan Anita Aruszi, Cinta Usah Dinanti (Aimi Husna), Manisnya Alunan Rindu (Nur Hazma) dan Penderhaka (Marsli N.O).

Turut dilancarkan, buku Detik Cemas Mavi Marmara (Fatimah Syarha), Senyuman Manismu (Rania Firdaus), Memburu Rentak (Sharif Putera), Berikan Aku Rindu (Indah Hairani) dan Di Bawah Unggun Api (Rahman C.M).

Sumber : Utusan Malaysia Online 


1 ulasan:

Me said...

Semoga apa yang YB Exco katakan akan menjadi kenyataan.

Post a Comment