Sunday, June 5, 2011

RM6 bilion bina sekolah baru 2011 – Mohd. Puad

TEMERLOH 4 Jun - Kerajaan memperuntukkan RM6 bilion bagi membina sekolah baru tahun ini bagi menampung jumlah pelajar yang kian bertambah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan besar itu juga sebagai persediaan ke arah melaksanakan persekolahan satu sesi pada masa depan.

Menurutnya, ketika ini terdapat 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara tetapi hanya 8,372 sekolah mengadakan pembelajaran satu sesi melibatkan 6,888 sekolah rendah dan 1,484 sekolah menengah.
“Kementerian berusaha memastikan lebih banyak sekolah mengadakan persekolahan satu sesi supaya proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) berjalan lebih lancar.

“Pelaksanaan sekolah satu sesi sepenuhnya hanya dapat dicapai jika projek pembinaan sekolah baru dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan (SK) Lebak bernilai RM2 juta dekat sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad.

Bagaimanapun Mohd. Puad memberitahu, kementerian mengalami masalah untuk mendapatkan tapak bagi membina sekolah baru terutama di kawasan bandar dan negeri yang dikuasai pembangkang.

Sebagai contoh jelasnya, kementerian sukar mendapat tapak di Selangor kerana pemimpin negeri itu tidak menyokong pembinaan institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti awam.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, kementerian memperuntukkan sebanyak RM95 juta bagi mengambil alih dan menaik taraf Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN).

0 ulasan:

Post a Comment