Tuesday, June 14, 2011

Ucap utama Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu di Majlis Taklimat Profesional Guru Besar Terengganu


KOTA  BHARU - Seramai 87 orang Guru Besar terpilih dari seluruh negeri Terengganu telah mengikuti Taklimat Profesional Guru Besar Terengganu di Perdana Resort ,Kota Bharu mulai 13 hingga 15 Jun 2011.Mereka ini terdiri daripada gabungan barisan Guru Besar yang baru dilantik dan juga kalangan yang telah lama memimpin sekolah. 

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu,En.Razali bin Daud semasa menyampaikan ucap utama  melahirkan rasa bersyukur kerana wujudnya kerjasama yang amat erat antara Majlis Guru Besar Terengganu dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu sehingga program taklimat ini berjaya diadakan. 

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta kerana terpilih menyertai taklimat ini yang julung kali dirancang oleh MGB pada tahun ini. Seterusnya beliau berasa yakin bahawa semua Guru Besar yang terlibat mengikuti taklimat ini akan menunjukkan kesediaan dan kesanggupan untuk meneruskan kecemerlangan sekolah. 

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu mengajak para Guru Besar membuat pengakuan ikhlas bahawa kerja Guru Besar tidak terlepas daripada menerima kegagalan khususnya pada ketika mula-mula melaksanakan kerja dalam bidang pengurusan. Ini merupakan lumrah kerana tidak ada individu biasa yang dilahirkan lengkap dengan pakej diri sebagai pemimpin. Aspek kepimpinan perlu dipelajari dan dihayati. Konsep yang harus ada pada diri seorang pemimpin ialah ‘attitud’ yang tepat dan nilai yang positif dalam mencapai hasil produk yang tinggi.

Beliau juga menegaskan bahawa dalam kepimpinan pendidikan di sekolah, pemikiran seorang Guru Besar harus berfokus kepada kepentingan pendidikan negara dan dasar-dasar kerajaan. Sebagaimana sasaran NKRA yang turut dipikul oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Program LINUS semestinya menjadi agenda utama di sekolah. Kedudukan data LINUS Tegar juga membimbangkan kepimpinan di jabatan. Oleh itu Guru Besar perlu memikul Program LINUS ini secara jujur dan bertanggungjawab. Aspek pengajaran guru-guru di dalam bilik darjah (kepimpinan instruksional) perlu dijadikan keutamaan pengurusan di sekolah.

Pengarah Pelajaran juga menjelaskan bahawa  faktor kepimpinan Guru Besar merupakan nadi kecemerlangan sesebuah sekolah. Seorang Guru Besar bukan menjadi ‘bos’. Sebaliknya menjadi ‘leader’ yang ada kuasa untuk mempengaruhi orang lain menuruti visinya dan disegani oleh orang bawahannya. Selain itu, seorang pemimpin juga perlu menjadi pakar rujuk dalam semua aspek kerja di sekolah. Tidak kurang penting ialah pemimpin perlu bijak menguruskan perubahan semasa. Oleh itu, seorang Guru Besar yang baru dilantik hendaklah mendalami aspek kepimpinan. Paling mudah dalam meletakkan asas kepimpinan yang berkesan, Guru Besar perlu mengutamakan tiga aspek berikut:-

a)    Pengurusan sumber manusia – Guru Besar perlu bangunkan kumpulan proaktif. Tangani kumpulan ‘alienated’ secara berhikmah.

b)    Pengurusan Kewangan – Guru Besar perlu belajar membina kemahiran mengurus kewangan dan akaun secara ‘legal’. Contoh paling klasik ialah prosedur pembelian dan pembayaran menggunakan wang kerajaan. Buku Tatacara Pengurusan Kewangan perlu dijadikan rujukan.

c)    Pengurusan Produk – Guru Besar perlu mempertingkatkan ‘hasil’ daripada kerja buat  tahunan. Contoh yang dikemukakan ialah jabatan mensasarkan Gred Purata Sekolah 2.0, maka sekolah perlu membetulkan sasaran GPS masing-masing agar seiring dengan sasaran jabatan.

Lima Cabaran Tugas Guru Besar

a)    Memperbaiki ‘Delivery System’ di sekolah bagi melahirkan bangsa Malaysia.

b)    Melahirkan modal insan yang beriman dengan cara membangunkan ketenangan hati dan emosi para pelajar.

c)     Menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak-anak dengan menyesuaikan dengan era kecemerlangan. Cemerlang bermaksud melampaui sasaran.

d)    Banyakkan perbincangan bersama Guru Penolong Kanan dan guru-guru kanan mata pelajaran dengan cara mempraktikkan QTT (quality thinking time) bersama mereka.

e)    Usahakan inovasi dalam pemikiran dengan berfikir secara destruktif dan analitikal.
 

No comments:

Post a Comment