Nampaknya, pepatah yang berbunyi 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' sekadar tinggal pepatah kerana ia bukan sahaja tidak dipraktikkan, malah turut diperlekehkan. Kesannya amat menakutkan. Negara ini boleh musnah kerana sikap segelintir pemimpin kaum yang menolak sejarah demi kepentingan sendiri.
Sejarah adalah sesuatu yang tidak boleh diubah, mahupun dipinda. Segala fakta dan tarikh kekal begitu buat selamanya dalam lipatan sejarah. Namun, apa yang berlaku hari ini, rakyat semakin keliru apabila ada usaha pihak tertentu mahu mengubah fakta sejarah.
Menyedari kesan buruk yang bakal berlaku jika perkara itu tidak dibendung, maka langkah kerajaan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 adalah tepat sekali.
Lebih tepat lagi apabila pendedahan mata pelajaran Sejarah mula diberi kepada murid sekolah rendah menerusi pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada 2014. Bak kata pepatah, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.
Pendedahan dari usia muda yang kemudian disambung pula ke peringkat sekolah menengah akan memantapkan lagi pemahaman generasi muda terhadap sejarah.
Hanya dengan pemahaman yang jelas, maka jika berlaku kemelut berkaitan pembentukan negara ini, ia lebih mudah untuk dijernihkan.
Dengan itu, pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semalam bahawa mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib di peringkat peperiksaan SPM sebagai syarat untuk mendapatkan sijil peperiksaan itu perlu dilihat dengan positif.
Tujuannya adalah jelas iaitu untuk memahamkan rakyat terhadap sejarah negara ini. Ia penting supaya tidak timbul lagi sebarang kekeliruan yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat berbilang kaum.
Lebih daripada itu, ia penting bagi menyiapkan generasi muda untuk menjadi pemimpin pelapis yang memiliki jati diri yang tinggi, semangat cintakan negara yang tebal dan lebih bertolak ansur antara kaum.
Memandangkan penduduk negara ini berbeza kaum, budaya, agama dan adat resam, maka generasi muda mesti diberikan pendedahan melalui pendidikan agar mereka lebih memahami setiap perbezaantersebut.
Cara yang paling berkesan tentulah melalui pendidikan di sekolah. Dengan cara ini, setiap pelajar akan bertungkus lumus untuk membaca, mentelaah, meneliti, menghayati dan memahami sejarah negara ini.
Menerusi pembacaan yang agresif untuk lulus peperiksaan, maka secara tidak langsung, setiap apa yang 'dihidangkan' oleh buku sejarah termasuk keadaan negara ini pada zaman-zaman awal pembentukan kerajaan dapat difahami dengan jelas.
Bagaimana keadaan negara ini ketika di bawah penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun, kesemuanya boleh dikorek melalui pembelajaran subjek Sejarah di sekolah.
Bagaimana Inggeris memerintah dan bagaimana pembentukan Negeri-Negeri Selat pada 1826 telah membuka pintu seluas-luasnya kepada pendatang Cina dan India ke negara ini juga boleh difahami melalui sejarah.
Masyarakat India hari ini adalah satu kaum yang berasal dari keturunan mereka yang berhijrah dari India selatan semasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu.
Kebanyakan pendatang Cina di Tanah Melayu pula berasal dari China selatan, terutamanya wilayah Fujian dan Guangdong. Pada abad ke-19, kebanyakan mereka datang untuk bekerja sebagai 'buruh terikat' melalui perjanjian bertulis.. Itu adalah fakta sejarah yang tidak boleh dipinda.
Sebelum itu, pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk dari Portugis pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat Melaka. Itu juga fakta sejarah yang tidak boleh diubah.
Generasi muda juga perlu dididik dan didedahkan dengan fakta sejarah bahawa Sarawak dan Sabah telah membantu pembentukan Malaysia bersama Malaya dan Singapura pada 16 September 1963. Itu juga penting agar tidak timbul kekeliruan mengenai pembentukan Malaysia. Ia juga fakta yang terpahat kemas dalam lipatan sejarah.
Maka untuk memahamkan rakyat terhadap sejarah, sewajarnya mata pelajaran Sejarah diwajibkan lulus kepada setiap pelajar. Inilah masanya dan inilah waktu yang paling tepat untuk membangkitkan semula rakyat yang telah tertidur lama dalam memahami perjalanan sejarah dan pembinaan negara ini.
Sumber : Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment