Bila sebut "pertukaran" macam-macam cerita dan tanggapan dibuat. Tidak kiralah sama ada ia melibatkan pertukaran guru,Guru Penolong Kanan dan Guru Besar ianya sentiasa 'sensasi" dan "panas" sama ada orang yang terlibat secara langsung atau secara tidak langsung.
Jarang kita melihat dari dimensi yang berbeza kerana seting biasa minda kita bila berlaku pertukaran atau perubahan selalu dikaitkan dengan perkara negatif.Antaranya dianggap sebagai hukuman,balas dendam,tanda benci,pilih kasih kroni dan sebagainya.Kadang-kadang dukacitanya ia datang daripada mereka yang terlibat dan telah berakar umbi hingga menjadi "kayu mati" di kerusi jawatan yang diduduki.Lebih dasyat lagi,menghasut pula gerombolan pengikut yang amat selesa dengan stail dan gaya kepimpinannya bagi terus mengekalkannya "bertakhta" di situ dengan pelbagai cara.
Sedikit sangat yang kita jumpa, melihat pertukaran itu sebagai pengukuhan dan pemantapan organisasi serta pecutan ke arah yang lebih terbilang serta kebajikan kepada mereka yang terlibat.Mengapa kita tidak melihat pertukaran dan perubahan kepimpinan sebagai satu proses dalam perkhidmatan yang mesti diterima akur dengan senang hati.Kalau kita hendak beri sebab mengapa seseorang perlu bertukar banyak sebabnya. Ianya mungkin berkait dengan prestasi,kebajikan,masalah kesihatan,keselamatan dan berbagai lagi. Namun semua itu dapat kita rumus dalam terma perkhidmatan barangkali seperti berikut mengapa seseorang Guru Besar atau GPK perlu bertukar:-
1. Layak tapi tidak sesuai
2. Layak tapi kurang sesuai
3. Layak dan sesuai
4. Tidak layak tidak sesuai
Kita juga sedia maklum bahawa pertukaran guru biasa hanya dua kali setahun.Manakala pertukaran Guru Besar dan GPK bila-bila masa sama ada 1 haribulan atau 16 haribulan.Justru itu semua pengurus sekolah sepatutnya mengurus tugas dengan kemaskini atau "up to date" supaya bila berlaku pertukaran tidak timbul urusan-urusan yang tidak selesai. Urusan-urusan tidak selesai ini juga adalah petunjuk prestasi yang lemah dalam pengurusan kita dan akan memberi kesan kepada masa depan kerjaya kita.
Kita berharap dengan penjelasan ringkas ini tidak timbul lagi spekulasi negatif berkaitan pertukaran terutama Guru Besar dan GPK terutama di kalangan guru-guru. Sepatutnya Guru Besar dan GPK yang bertukar kita iringi dengan doa semoga ilmu dan kehebatannya dapat dimanafaat di sekolah baru yang lebih memerlukan sementara kita berlapang dada menerima Guru Besar atau GPK baru dan siap siaga menyokong visi dan misi mereka. Sepatutnya kita merasa beruntung menerima idea dan stail baru sebagai mempersiapkan diri untuk menjadi Guru Besar atau GPK yang hebat bila tiba masanya.Kita barangkali tidak mahu guru kita memanggil kita Guru Besar atau GPK 'cap ayam' sebagaimana kita pernah panggil kepada mantan Guru Besar atau GPK kita suatu masa dahulu...Namun ingat keadilan dan balasan Allah amat nyata dan benar.
No comments:
Post a Comment