Wednesday, October 27, 2010

Penempatan guru agama disusun semula

KUALA TERENGGANU 26 Okt. - Penempatan warga pendidik di sekolah-sekolah agama seluruh negeri ini akan disusun semula bagi memastikan tidak wujud kalangan mereka yang disifatkan sebagai 'kayu mati'.
Timbalan Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Razali Daud berkata, ia bagi memberikan suasana baru yang lebih menyegarkan terutama bagi mereka yang berada begitu lama di sesebuah sekolah.

Katanya, selain itu, membolehkan semua guru berperanan lebih berkesan ke arah kemajuan sekolah dan kecemerlangan pelajaran dalam persekitaran baru.

"Penyusunan yang melibatkan banyak pertukaran guru-guru ini bagi memberi suasana baru kepada mereka agar lebih banyak sumbangan dan idea baru dapat digarapkan di sekolah baru," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan itu bakal menimbulkan rasa tidak senang guru-guru terbabit kerana kesan positif daripada tindakan itu tidak dapat dilihat dalam masa yang singkat.

Beliau berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Agama Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, dekat sini, semalam.

Razali berkata, mulai tahun depan, pihak JPN akan mengubah strategi pemantauan guru-guru dengan turut melihat kepada kerja-kerja yang dilakukan oleh murid mereka.

"Kaedah ini tidak menumpukan kepada kegiatan guru serta prestasi murid semata-mata, malah, ia menjurus kepada kerja-kerja yang diberikan oleh guru kepada murid di bilik darjah dan di luar bilik darjah," jelasnya.
Di samping itu katanya, JPN akan mempergiatkan usaha bagi memastikan kanak-kanak dalam kategori golongan orang kurang upaya (OKU) di negeri ini tidak tercicir daripada mendapat pendidikan di sekolah pendidikan khas di seluruh negeri.

''JPN akan turun ke akar umbi melalui kerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mengenal pasti keluarga yang mempunyai anak-anak OKU.

"Langkah yang akan bermula tahun depan bertujuan memastikan pendemokrasian pendidikan terus subur dalam masyarakat dengan peranan menyeluruh JPN memberi pendidikan kepada semua lapisan rakyat," ujarnya.

Sehingga kini katanya, seramai 1,142 orang pelajar pendidikan khas di 104 buah sekolah integrasi di seluruh negeri yang menyediakan kurikulum pendidikan khas kepada golongan ini.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, sebanyak 30 anugerah telah dipertandingkan dengan melibatkan 16 buah sekolah-sekolah agama di seluruh negeri.

Anugerah SMKA terbaik dimenangi oleh SMKA Durian Guling, Dungun dan Anugerah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) terbaik diterima oleh Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMASZA).

Bagi Anugerah Asrama Terbaik, ia dimenangi oleh SMKA Tok Jiring dan SMA Khairiah pula bagi Anugerah Landskap Sekolah Terbaik.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment