Wednesday, October 6, 2010

Pengelola Sekolah Terengganu Bersama Pengarah Pelajaran Negeri

Semalam di Sumai Inn,Kuala Terengganu telah diadakan Majlis Pengelola Sekolah-Sekolah Terengganu Bersama Pengarah Pelajaran Negeri.Tujuan utama program berkenaan diadakan bukan sahaja untuk merapatkan hubungan antara ahli Persatuan Pengelola Sekolah Malaysia Cawangan Terengganu (PPSM Cawangan Terengganu) tetapi juga sebagai meraikan persaraan Pengarah Pelajaran Terengganu (bersara wajib :10 Oktober 2010),meraikan persaraan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah selaku Penasihat Persatuan Pengelola Sekolah-Sekolah Malaysia Cawangan Terengganu (bersara wajib : 27 Oktober 2010) dan juga meraikan persaraan ahli-ahli pengelola pada tahun ini.

Majlis dihadiri oleh 80 orang ahli  termasuk semua AJK Negeri. Turut hadir meraikan ialah En.Razali bin Daud,Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri,En.Salim bin Abd. Ghani,Timbalan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan En.Jelani bin Sulong,Ketua Unit Pengurusan Sekolah Rendah merangkap Pegawai Perhubungan PPSM Cawangan Terengganu.

En. Zainudin Muda,Pengerusi PPSM Cawangan Terengganu dalam ucapan aluanya merakamkan setinggi penghargaan terima kasih di atas sokongan Pengarah dan Timbalan Pengarah terhadap kegiatan PPSM Cawangan Terengganu. Menurut beliau lagi sokongan pengurusan tertinggi JPN Terengganu terhadap PPSM Cawangan Terengganu menjadi benchmark kepada PPSM dan PPSM negeri-negeri lain.

"Tuan-tuan telah membuat saya sebagai  Pengarah merasa hebat. Tuan-tuan telah membantu saya dan saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih", kata Yang Berbahagia,Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong,Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dalam ucapan beliau. Beliau juga bersetuju untuk hadir di majlis ini kerana merasakan betapa pentingnya tugas pengelola dalam menjayakan wawasan pendidikan negeri dan negara. Tegas beliau pengelola bukan sekadar membantu tetapi kadang-kadang membuat keputusan yang besar dan penting. Beliau membuat analogi agar kita mengamalkan pengurusan sebagaimana pengurusan kedai kopi itu menyegerakan permintaan pelanggan dengan cepat dan cekap bukannya sering bertangguh.Konsep urgensi perlu dilaksanakan.Pengarah juga mengambil kesempatan memohon maaf jika semasa menjalankan tugas ada pengelola sekolah tersinggung.

Sementara itu,YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam,Ketua Sektor Pengurusan Sekolah selaku Penasihat PPSM Cawangan Terengganu merasa sangat gembira dengan majlis hari ini kerana dihadiri Pengarah dan Timbalan yang merupakan rakan karib. Beliau merasa sedikit kurang senang dengan  "situasi" yang berlaku di saat menjelang persaraan pengarah dengan pelbagai berita dan tindakan yang tidak sepatutnya disensasikan.B eliau berdoa semoga peralihan kepimpinan jabatan berlaku dengan baik dan berdoa semoga Timbalan Pengarah akan dapat mengambil tugas memimpin JPN Terengganu.Beliau merasa  bersyukur di saat akhir perkhidmatannya beliau telah sembuh dari lima tahun sakit dan banyak perkara yang tidak mampu dilaksanakan semasa sakit ingin dilaksanakan. Beliau berpesan supaya sentiasa bersihkan hati dan mencari cinta Ilahi.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil,hadiah persaraan dan bersalaman dengan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu. Persatuan Pengelola Sekolah Malaysia Cawangan Terengganu merakamkan setinggi penghargaan terima kasih dan selamat bersara kepada Yang Berbahagia,Tuan Haji Ariffin bin Haji Embong.PPSM Cawangan Terengganu juga bersedia menerima pengarah baru dan penasihat baru dan akan memberi penuh iltizam serta komitment menjayakan amanah dan wawasan pendidikan negeri.

No comments:

Post a Comment