Friday, September 6, 2013

Sokongan seimbang dan persediaan akhir calon UPSR



HAMPIR 500,000 murid-murid akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 10 hingga 12 September 2013 di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Minggu ini adalah minggu persiapan akhir untuk para pelajar melengkapkan diri sebelum ke dewan peperiksaan. Justeru, banyak aktiviti sokongan sosial telah dan sedang dikendalikan. Solat hajat dan majlis doa selamat di surau-surau kediaman menjadi aktiviti utama kebanyakan komuniti Muslim. 

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga dilihat bertungkus-lumus membantu pihak sekolah dalam pelbagai bentuk material dan non-material. Senario ini memberi gambaran kepada kita bahawa betapa pentingnya peperiksaan kepada budaya persekolahan di Malaysia. Ia adalah sebahagian acara besar bagi setiap keluarga. Keadaan ini juga menunjukkan betapa seriusnya peperiksaan dalam kehidupan keluarga di negara ini kerana peperiksaan nasional mempunyai pertalian rapat dengan laluan pendidikan menengah dan pemilihan kerjaya masa depan.

Sistem peperiksaan yang menjadi tapisan kepada laluan kerjaya masa depan adalah salah satu bentuk peluang berstruktur (structured opportunity) yang akan melebarkan lagi pilihan pendidikan menengah dan tertier. Bagi ibu bapa yang prihatin tentang masa depan pendidikan dan hala tuju kerjaya, banyak usaha telah dilakukan secara konsisten dan berhemah agar-agar anak-anak cemerlang dalam peperiksaan. 

Ia termasuklah menghantar anak-anak mengikuti kelas tuisyen, bimbingan individu, kem motivasi, kem kecemerlangan akademik dan pelbagai bentuk sokongan pembelajaran diberikan. Kesemua persediaan itu telah berlalu kerana minggu hadapan adalah medan untuk membuktikan potensi anak-anak dalam bidang akademik. 

Pada saat akhir sebegini, sokongan yang seimbang amat penting. Biarpun sokongan akademik seperti program 'pecutan akhir' yang banyak dijalankan adalah perlu, keseimbangan dalam memberi sokongan sosio-emosi pada saat ini jauh lebih penting. Kita sedar bahawa semua ibu bapa mengharapkan keputusan yang terbaik, namun sikap yang terlalu obses kepada pencapaian keputusan peperiksaan akan melahirkan tingkah laku yang boleh memberi tekanan psikologi yang kuat kepada anak-anak. 

Banyak kajian menunjukkan bahawa ketidakupayaan pelajar untuk memenuhi cita-cita ibu bapa terutama dalam pencapaian keputusan peperiksaan yang tinggi boleh mengundang padah dan gejala tidak sihat. Perkembangan fisiologi dan psikologi anak-anak yang bakal menduduki UPSR telah mempengaruhi tindak-tanduk mereka dalam keadaan tertekan. Pada masa sama, sikap tidak peduli kepada pencapaian akademik oleh ibu bapa juga boleh membawa kepada kehancuran masa depan anak-anak. 

Justeru, kesederhanaan dan keseimbangan adalah formula terbaik dalam keadaan sekarang kerana kita sebenarnya boleh menjangkakan keputusan sebenar peperiksaan anak-anak. Kita boleh membuat agakan sejauhmana pencapaian anak-anak kita dalam UPSR dengan melihat kepada pencapaian akademik di sepanjang tahap persekolahan mereka. Paling hampir, lihat sahaja keputusan percubaan UPSR yang boleh memberi satu gambaran awal kepada pencapaian sebenar UPSR. 

Keputusan ujian percubaan UPSR boleh dijadikan sandaran kepada ibu bapa tentang pencapaian sebenar UPSR. Keputusan sebenar kelak mungkin berubah lebih baik ataupun sebaliknya. Maka, apa yang penting bagi ibu bapa adalah memberi sokongan yang menyeluruh kepada anak-anak agar mereka bermotivasi tinggi untuk mencuba sebaik mungkin. Dalam keadaan UPSR kian hampir, tidak banyak bentuk sokongan pembelajaran yang boleh membantu pelajar meningkatkan pencapaian kerana penguasaan ilmu dan kemahiran dalam mata pelajaran UPSR memerlukan satu proses yang panjang. 
Adalah mustahil bagi seorang anak untuk menguasai semua subjek dalam tempoh seminggu ini. 

Ibu bapa juga perlu memahami bahawa anak-anak yang bakal menduduki UPSR kini menjadi perhatian ramai dan ini memberi satu tekanan kepada mereka. Mereka berada dalam keadaan berdebar kerana UPSR adalah permulaan kepada peperiksaan rasmi dalam hidup mereka. Dalam keadaan tekanan yang pelbagai ini, ibu bapa perlu menjadi hero dan idola kepada anak-anak agar mereka mampu menempuh peperiksaan dengan tenang. Perancangan pengangkutan di sepanjang peperiksaan berlangsung umpamanya, amatlah penting. 

Jangan biarkan sistem pengangkutan ke dewan peperiksaan menjadi punca kehilangan tumpuan dan keyakinan anak-anak. Pada saat ini, ibu bapa perlu elakkan daripada membuat perbandingan pencapaian anak-anak kita dengan pelajar lain. Tindakan sedemikian bukan sahaja gagal memberi motivasi, sebaliknya menjadikan anak-anak berasa rendah diri, tidak yakin dan 'menghina' potensi anak sendiri. 

Justeru, dalam keadaan genting ini, sokongan seimbang antara sokongan sosial, emosi dan akademik amat perlu. Motivasikan anak-anak sama ada secara intrinsik dan ekstrinsik agar mereka membuat persediaan akhir mengikut gaya pembelajaran yang disukai. Ada pepatah menyebut, "Untuk berada dalam mimpi anak pada hari esok, anda perlu berada dalam mimpi anak hari ini".

Rencana ini disiarkan di Utusan Malaysia dan tulis oleh
Oleh DR. MOHD MAHZAN AWANG
Pensyarah Pendidikan Komuniti di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.




No comments:

Post a Comment