TANJUNG MALIM 20 Sept. - Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tidak akan menambah beban
tugas guru.
Sebaliknya, beliau yang juga Menteri
Pendidikan berkata, PPPM merupakan tanggungjawab kepada guru dalam melaksana
dasar pendidikan dengan lebih baik.
"Mungkin ada golongan pendidik
yang menganggap PPPM ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung lebih banyak
tugasan.
"Tetapi, PPPM hanya menambah
tanggungjawab golongan pendidik demi melahirkan anak bangsa yang berkualiti,
jadi guru harus memahami matlamat PPPM ini," katanya.
Beliau berucap dalam majlis
Perjumpaan Khas dengan Warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini
hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.
Kadir.
Muhyiddin menegaskan, bagi mencapai
matlamat PPPM, pihaknya hanya akan memilih kalangan bakal guru terbaik bagi
memastikan setiap rancangan di bawah dasar itu yang sudah dikenal pasti dapat
dilaksana sebaiknya.
"Kita akan memilih guru
daripada mereka yang ada minat mengajar supaya hasilnya nanti PPPM ini akan
melahirkan anak bangsa yang berkualiti," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap
hasil pelaksanaan PPPM akan dapat dicapai pada tahun pertama dilaksanakan iaitu
tahun ini.
Menurut beliau, satu pasukan 'task
force' telah ditubuhkan sebagai badan penggerak sepenuh masa di bawah
pelaksanaan PPPM.
"PPPM akan dilaksanakan dalam
tiga gelombang dengan gelombang pertama memberi penekanan kepada menambah baik
sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.
"Saya berharap petunjuk
prestasi utama (KPI) tahun pertama pelaksanaan PPPM ini akan dapat dicapai
sepenuhnya," katanya.
sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment