UPSR baru sahaja tamat atau selesai. Stress para guru , ibu bapa dan juga murid-murid Tahun 6 mungkin telah menjunam turun. Sesetengahnya merasa lapang dan lepas. Bebas merdeka kata mereka. Namun bagi kebanyakan guru besar yang perihatin UPSR akan terus menghantui mereka kerana di situlah soalah-olah kayu pengukur prestasi dan reputasi kepimpinannya. Keputusan UPSR jugalah sebagai penentu kepada band sekolah dan juga pengukur untuk mendapatkan bai'ah. Selagi keputusan belum keluar mereka tentu tidak akan lena dan tenang.
Gambaran pernyataan perasaan "merdeka" di facebook sesetengah murid atau guru-guru kadang-kadang membimbangkan kita. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa apabila UPSR telah tamat maka tamatlah segala-galanya. Seolah-olah pengajaran dan pembelajaran tidak perlu serious dan dilaksanakan seperti sebelum UPSR lagi. Bagi ibu-bapa pula bila lepas UPSR segala pantang larang kepada anak-anak mereka sebelum UPSR akan halal dan ditarik balik. Segala yang tidak boleh dibuat sebelum ini seakan dibolehkan. Sementara bagi murid-murid Tahun 6 mungkin mereka merasa tidak perlu hadir sekolah atau kalau hadir tidak payah masuk kelas dan boleh lepak di mana-mana di kawasan sekolah dengan rakan-rakan kerana masa belajar kuat telah tamat atau alasan cikgu tidak masuk kelas.
Fenomena sebagaimana seperti di atas nampak semakin "mesra" dengan budaya persekolahan kita. Kalau sebelum ini kita hanya melihat perkara ini berlaku kepada calon-calon PMR tetapi akhir-akhir ini ia mula membudaya kepada calon-calon UPSR. Ini adalah perkara tidak sepatutnya berlaku apabila kita meletakkan penilaian atau peperiksaan sebagai sebahagian daripada sistem persekolahan kita bukan sebagai penyudah atau penutup kepada sistem persekolahan.
Kita dapati kebanyakan pihak sekolah menyediakan program Selepas UPSR bermula minggu depan hingga peperiksaan akhir tahun. Persoalannya sejauh mana program yang dirancang dilaksanakan. Atau ianya hanya tinggal sebagai perancangan indah di atas kertas sahaja. Sedangkan dalam mengejar kecemerlangan UPSR banyak perkara yang kita terlepas pandang terutama pembangunan aspek kepimpinan, pembinaan sahsiah, bakat dan kebolehan, kemahiran dan ketrampilan komunikasi dan sebagainya. Sewajar inilah masanya kita membina semula peluang itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti seperti debat, syarahan, kursus kepimpinan, latihan komunikasi, lawatan berfokus dan sebagainya...
Pelaksanaan program lepas UPSR bagi memberi peluang pelajar memperolehi "softskill" perlu disokong dengan ketegasan ibu bapa memastikan bahawa kedatangan sekolah anak-anak mereka selepas UPSR secara mandetori. Sewajarnya ibu bapa perlu menaruh kebimbingan apabila anak-anak mereka lepas UPSR tidak hadir ke sekolah bukannya menyokong atau menggalakkan mereka untuk "membayar hutang" setelah berpenat lelah menghadapi UPSR seperti bangun lewat dan membiarkan mereka beraktiviti tanpa kawalan. Banyak kes-kes salahlaku sosial dan perlanggaran nilai berlaku dalam tempoh sanggang " bulan madu" ini. Kata seorang ustaz jangan kita memusnahkan anak yang kita didik bertahun-tahun hanya dalam sebulan dua sahaja. Justru itu adalah lebih afdal kita ibu bapa meneruskan disiplin diri dan pembelajaran anak-anak sebagaimana sebelum UPSR dengan memastikan rutin kehadiran seperti biasa dan segala perancangan program selepas UPSR yang pihak sekolah rancang dapat dilaksanakan secara optima.
Kita juga mengharapkan keperihatinan komuniti sama ada PIBG, JKKK, Pasukan Keselamatan, NGO dan sebagainya agar dapat memantau kegiatan anak-anak lepas UPSR ini di cybercafe, pusat beli belah dan sebagainya. Jika pada waktu persekolahan kedapatan anak-anak yang sepatutnya berada di sekolah tetapi berada di tempat yang tidak sewajarnya perlu ditangkap atau dinasihat atau diambil tindakan pencegahan sewajarnya. Kata orang mencegah adalah lebih baik dari mengubatinya. Kita bimbing tempoh pendek ini jika tidak berupaya dikawal mereka bakal terjebak dalam pelbagai budaya negatif atau menjadi rekrut pelbagai sendiket yang merosak.
Kita sangat sayang anak-anak kita lepasan UPSR ini kerana mereka adalah pewaris masa depan kita. Jangan kita rosakkan mereka dengan pernyataan kasih sayang yang boleh merosakkan masa depan mereka dengan kaedah dan cara yang salah.. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
No comments:
Post a Comment