Tan Sri Abd Ghafar Mahmud
Putrajaya:
Jumaat ini, Laporan Akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri
Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Berasaskan lima aspirasi sistem, enam aspirasi murid dan 11 anjakan, pelan itu dilihat berperanan besar, malah berkemampuan untuk memacu matlamat ke arah jaminan masa depan negara menerusi penghasilan modal insan berkualiti tinggi.
Perkara ini diakui Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abd Ghafar Mahmud yang menyifatkan PPPM sebagai pelan terbaik dan komprehensif sepanjang 35 tahun pembabitannya dalam bidang pendidikan.
Katanya, pelan itu turut disambut baik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selepas pembentangan dilakukan beliau pada Jun lalu, malah Malaysia juga dijemput beberapa negara antaranya Iraq untuk berkongsi kaedah penghasilan pelan berkenaan.
“Pelaksanaan Dialog Nasional Pendidikan Negara itu sendiri saya kira yang pertama di dunia mengambil kira pendapat rakyat menerusi sistem terbuka. Ia cukup terbuka sehingga sesiapa saja boleh mengajukan isu atau pandangan tanpa sekatan.
“Justeru dengan terlancarnya Laporan Akhir ini beberapa hari lagi, semua pihak khususnya warga pendidikan sudah bersiap sedia menggalas tanggungjawab untuk menjayakan PPPM bermula dengan Program 1Agenda,” katanya pada sidang media di sini.
Program 1Agenda adalah satu usaha bersepadu untuk menggerakkan warga kementerian bagi menjayakan 25 inisiatif PPPM di bawah Gelombang Pertama bermula tahun ini hingga 2015.
Ia memberi tumpuan kepada proses memberi kefahaman kepada seluruh warga pendidikan termasuk ibu bapa mengenai pelan itu dan bersama melaksanakannya. Ia sudah mula dilaksanakan sejak awal tahun ini.
Menurut Abd Ghafar, beliau berkeyakinan penuh PPPM boleh dilaksanakan sebagaimana dihasratkan dengan pelbagai strategi yang diatur teliti selain pembabitan agresif dan berterusan semua pihak.
“Bagi memastikan kesinambungan dan melihat tahap kejayaan pelaksanaan PPPM, laporan pelan ini akan disediakan secara dwitahun iaitu pada pertengahan dan akhir tahun. “Menerusi laporan ini, kita boleh melihat perkembangan pelaksanaan dan menggariskan apa yang perlu dibuat mengikut kesesuaian.
“Seperti contoh, jika inisiatif di Gelombang Kedua atau Ketiga dirasakan perlu disegerakan, ia mungkin dilaksanakan lebih cepat kerana pelan tidak menyekat proses. Ia mengikut kesesuaian masa dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah menubuhkan Unit Pelaksanaan dan Prestasi (PADU) yang mana barisan pemimpin khususnya ketua pegawai eksekutifnya sudahpun dilantik termasuk Lembaga Pengurus yang akan memantau perjalanan pelan.
“Bermula dengan penelitian semula terhadap sistem pendidikan pada Oktober 2011 sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri pada Februari 2012, pelan ini dilaksanakan dengan tiga objektif utama.
“Pertama, memahami prestasi dan cabaran semasa. Maknanya di sini, kita cuba telitikan sejauh mana tahap sistem pendidikan negara. Kalau bagus, setakat mana bagusnya, kalau punya kekurangan, apa yang kurangnya.
“Kedua, kita mahu hasilkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan negara dan kita pilih tempoh selama 13 tahun untuk laksanakannya. “Akhir sekali gariskan apa program, tindakan atau aktiviti transformasi untuk capai visi dan aspirasi itu,” katanya.
Abd Ghafar turut menegaskan, PPPM bukan dasar baru sebaliknya satu pelan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara yang masih berteraskan kepada Akta Pendidikan 1996.
Dengan kedudukan Malaysia sebagai negara ke-12 terbesar dalam perdagangan, PPPM dijangka dapat memaksimumkan keberhasilan murid untuk berupaya bersaing di peringkat global demi jaminan masa depan negara dan mereka sendiri.
sumber
No comments:
Post a Comment