Wednesday, May 22, 2013

Teks Ucapan Pengarah Pelajaran Terengganu Sempena Perayaan Hari Guru Negeri 2013



BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Assalamualaikum W.R.T.....salam sejahtera dan SALAM HARI GURU
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin, limpah rahmat dan kasih sayang-Nya pada hari ini kita berjaya mengadakan MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2013 bagi menghargai dan memberi pengiktirafan terhadap jasa dan khidmat bakti para guru demi negeri dan negara kita yang tercinta

Alhamdulillah, sekali lagi pemimpin yang kita kasihi, iaitu YAB Dato’ Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu dapat bersama-sama dengan warga guru pada pagi ini menjayakan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Kali Ke-42 Tahun 2013

Insya-Allah sebentar lagi YAB Dato’ Seri Menteri Besar akan menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Kali Ke-42 Tahun 2013.
Saya amat yakin dengan kehadiran YAB Dato’ Seri membuktikan kepada kita bahawa guru tidak pernah dilupakan dan jasa guru yang sentiasa relevan dihargai oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Semoga kehadiran YAB Dato’ Seri dapat menyemarakkan lagi tekad dan iltizam guru negeri ini untuk terus menabur khidmat bakti kepada anak-anak bangsa di seluruh pelusuk negeri.
Terima kasih kepada YAB Dato’ Seri atas kesudian hadir menjayakan majlis.

Saya mewakili seluruh warga guru Negeri Terengganu Darul Iman dan Warga Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada YAB Dato’ Seri atas pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu selepas kejayaan BARISAN NASIONAL dalam PRU 13 yang telah diadakan pada 5 Mei yang lalu, telah berjaya semula membentuk KERAJAAN NEGERI dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Warga guru mengucapkan SELAMAT MEMIMPIN TERENGGANU NEGERI ANJUNG ILMU.  Semoga kepimpinan YAB Dato’ Seri diberkati dan dirahmati oleh Allah S.W.T..

Yakinlah bahawa sesungguhnya guru Terengganu menyokong penuh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri.  Guru Terengganu bersama-sama YAB Dato’ Seri menjayakan Wawasan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada YB Encik Ghazali bin Taib atas pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi Dan Tugas-tugas Khas Negeri yang baru.  SELAMAT MEMIMPIN PENDIDIKAN TERENGGANU diucapkan kepada YB.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua Yang Berhormat yang telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baru.

Syabas dan tahniah juga kepada tiga Ahli Parlimen Terengganu yang telah dilantik menganggotai kabinet.  Sejarah buat Terengganu kerana buat pertama kalinya Terengganu memperolehi dua jawatan menteri, serta satu jawatan Timbalan Menteri.

YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SERI, AHLI-AHLI YANG BERHORMAT, YANG BERBAHAGIA DATO’-DATO’, TUAN-TUAN, PUAN-PUAN, DAN HADIRIN SEKALIAN

Tema Sambutan Hari Guru 2013 ialah GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1 AGENDA.

1ASPIRASI bermaksud semua guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan Sitem Pendidikan Berkualiti Bertaraf Dunia seperti yang dihasratkan dalam PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM) 2013 – 2025.

Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai ENAM ASPIRASI, iaitu BERPENGETAHUAN, KEMAHIRAN BERFIKIR, KEMAHIRAN MEMIMPIN, KEMAHIRAN DWIBAHASA, BERETIKA DAN KEROHANIAN serta BERIDENTITI NASIONAL.
1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025, iaitu ke arah Sitem Pendidikan Negara yang memastikan AKSES kepada kejayaan, KUALITI standard antarabangsa yang tinggi, EKUITI untuk semua murid, memupuk PERPADUAN dalam kalangan murid dan pelaksanaan BERKECEKAPAN tinggi.

1AGENDA pula menghuraikan semua guru Malaysia berpegang kepada satu agenda, iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013 – 2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pada kesempatan ini marilah kita sama-sama tilik ta’akul dengan penuh pencermatan gagasan pemikiran pemimpin pendidikan negara dalam mencapai MISI NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA dan TEMA HARI GURU 2013.

Menurut YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menyatakan bahawa usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien apabila kepakaran dari semua peringkat pendidikan digemblengkan secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan dalam pendidikan negara.  

Tema hari guru amat sesuai dijadikan wadah perjuangan semua guru dalam melaksanakan Pelan Transformasi Pendidikan Negara untuk melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkualiti tinggi malah mampu menjana kemakmuran negara.

Menurut Tan Sri Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pula menyatakan bahawa tema hari guru pada tahun ini menuntut semua guru melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan berlandaskan aspirasi murid seperti yang terkandung dalam PPPM 2013-2025.  

Kejayaan sistem pendidikan adalah bergantung kepada guru yang cemerlang dan profesional.  Guru yang cemerlang dan profesional dalam jentera pendidikan ialah guru di bilik darjah, pentadbir sekolah dan pentadbir pendidikan yang daya fikirnya, komitmennya dan etos profesionalnya tertuju dan tertumpu kepada usaha menyampaikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti.

Menurut Dato’ Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa para guru perlu keinginan yang kuat dan semangat yang kental untuk membentuk anak bangsa menjadi generasi insan minda kelas pertama yang bersedia menghadapi persaingan global di persada antarabangsa.

YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SERI, AHLI-AHLI YANG BERHORMAT, YANG BERBAHAGIA DATO’-DATO’, TUAN-TUAN, PUAN-PUAN, DAN HADIRIN SEKALIAN

Demi menjayakan MISI NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA, maka 1ASPIRASI dan 1AGENDA hendaklah tersebar luas, difahami, dihayati dan dibudayakan oleh semua warga guru walau pun di mana mereka berada.  

Bermula hari yang mulia dan bersejarah ini , saya menyeru dan mengajak semua sahabat guru bersama-sama kita pertingkatkan profesionalisme masing-masing, sanggup membuat perubahan paradigma minda kelas pertama, bersedia dan berani menempuh cabaran dan pertingkatkan prestasi kerja diri menjayakan PPPM 2013 – 2025.

Kita sebagai sebuah pasukan pendidikan hendaklah bersama-sama menghayati budaya  prestasi puncak  (peak performance) dalam kerja buat pendidikan dan persekolahan kita.  Menerusi budaya ini kita bersama-sama memberi penekanan kepada pencapaian akademik dan juga dalam masa yang sama kita memberi peneguhan yang kuat dalam aspek kemenjadian insan murid.  

Kita tidak mahu berbangga dengan pencapaian UPSR di peringkat rendah sahaja, tetapi bila besar jika kita tidak memperlengkapkan diri mereka dengan segala kelengkapan, maka isunya ialah murid kita tidak dapat bersaing di pentas global lebih-lebih lagi dengan dunia negara maju.  

Sekolah kita sudah pun dibekalkan dengan pelbagai sumber dan kemudahan pendidikan yang bertaraf dunia.  Penggerak utama ialah barisan kepimpinan pendidikan dan penjana utama ialah barisan guru.

YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SERI, AHLI-AHLI YANG BERHORMAT, YANG BERBAHAGIA DATO’-DATO’, TUAN-TUAN, PUAN-PUAN, DAN HADIRIN SEKALIAN

Antara faktor utama yang membantu menjayakan Transformasi Pendidikan Negara ialah GURU YANG HEBAT (SUPPER CHARACTER) dan SEKOLAH YANG HEBAT (GREAT SCHOOL).  

Jika dilihat dalam aspek penyelidikan konvensional, faktor GURU YANG HEBAT dan SEKOLAH YANG HEBAT adalah merupakan dua pembolehubah yang mempunyai korelasi yang tinggi.  Hipotesisnya ialah GURU YANG HEBAT boleh melahirkan SEKOLAH YANG HEBAT.  

Perkembangan pendidikan hari ini kita dituntut menjadi seorang GURU YANG HEBAT (Supper Character).  Menghadapi pendidikan globalisasi bertaraf dunia, maka kita tidak ada pilihan melainkan menjadi seorang GURU YANG HEBAT.

Ciri-ciri GURU YANG HEBAT (Supper Character) ialah mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS), sentiasa belajar ilmu dan kemahiran baru, berjaya meneroka isu-isu pendidikan yang baru, minda yang berani menanggung risiko, dedikasi dan jati diri.

Marilah kita menjadi seorang GURU YANG HEBAT (supper character) agar kita dapat melahirkan lebih banyak sekolah di negeri ini sebagai SEKOLAH YANG HEBAT (GREAT SCHOOL).  

Seterusnya sama-samalah kita mewujudkan kesepakatan, kebersamaan dan kesepaduan yang kental untuk terus kita dengan penuh setia memberi khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi membina masa depan pendidikan negeri Terengganu dan memastikan murid kita mendapat tempat dalam dunia Malaysia negara maju menjelang 2020.  

Dalam menjayakan usaha kita bersama-sama menyediakan peluang dan membina masa depan murid-murid kita, marilah kita melakukan perubahan minda, lonjakan berganda dan meneroka dimensi baru pendidikan abad ke-21 negara maju.

Pendidikan Terengganu pada tahun ini akan memberi fokus kepada KEMENJADIAN KEPEMIMPINAN, KEMENJADIAN GURU, KEMENJADIAN MURID dan KEMENJADIAN SEKOLAH menerusi terjemahan idealisme MESRA GURU, GURU MESRA dan GURU PENYAYANG.

Akhirnya, terima kasih diucapkan kepada YAB Dato’ Seri  atas kesudian hadir menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013.  

Terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, Pemimpin-pemimpin Negeri dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri Terengganu atas kesudian hadir Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu 2013.

Terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013.  

Ucapan terima kasih kepada mantan pengarah dan mantan timbalan kerana turut sama menjayakan majlis sambutan pada tahun ini.

Tahnian kepada sahabat guru negeri ini yang telah mencipta kejayaan dalam pendidikan yang tidak dapat saya menyatakannya secara satu persatu sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2012 sehingga hari ini.

Tahniah diucapkan kepada Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu 2013 yang telah berkerja kuat menjayakan majlis sambutan pada kali ini.

Tahniah juga diucapkan kepada insan-insan cemerlang yang terpilih untuk menerima Anugerah Tokoh Guru Negeri Terengganu Tahun 2013 dan anugerah-anugerah lain.

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Majlis Sambutan Hari Guru Negeri Terengganu Tahun 2013.

Akhir kalam, sekali lagi saya menyeru kepada semua guru supaya terus melaksanakan amanah pendidikan dengan penuh integriti berteraskan Etika Profesion Keguruan. 

Setiap institusi pendidikan di negeri ini perlu mewujudkan suasana yang kondusif bagi membolehkan murid daripada pelbagai latar belakang bangsa, etnik dan agama dapat bergaul dengan lebih mesra dan akrab untuk memantap dan mengekalkan perpaduan bangsa Malaysia.

Modal insan bertaraf antarabangsa hanya mampu dilahirkan menerusi sistem pendidikan bertaraf dunia dan guru bertaraf dunia.

SELAMAT HARI GURU. 
GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA.
TERIMA KASIH CIKGU.
Wassalamualaikum w.b.t.


1 ulasan:

Hukum Mengucapkan Selamat Natal said...

Awesome information..
Keep writing and giving us an amazing information like this..

BW gan kunjungi nyapnyap.com

Post a Comment