Saturday, May 25, 2013

Ceramah Motivasi Kecemerlangan

KEMAMAN - Pagi tadi dalam siri pejalanan mesyuarat di Kuantan dan Kuala Lumpur pada minggu ini saya dengan izin Allah berkesempatan singgah di SK Teluk Kalong, Kemaman untuk menyampaikan ceramah selepas beberapa kali undangan daripada Tuan Haji Sabri Abidin , Guru Besar, SK Teluk Kalong tertangguh justru kesibukan tugas. Siri Pertama  Ceramah Motivasi Kecemerlangan kepada semua murid Tahun 6 sekolah ini telah diadakan di Marang Village pada bulan lalu.

Siri Kedua Ceramah Motivasi Kecemerlangan mensasarkan ibubapa, guru-guru dan semua murid Tahap 2. Saya sangat suka dapat bertemu dengan ibubapa kerana pengalaman kita mendidik anak dapat kita kongsi terus. Sebagai ibubapa kita mempunyai harapan amat tinggi untuk anak-anak kita berjaya dengan cemerlang. Persoalannya adakah cukup dengan hantar anak ke sekolah mereka boleh menjadi cemerlang? Bertahun-tahun anak kita ke sekolah dari Tahun 1 hingga Tahun 6 tetapi adakalanya masih tidak pandai dan tidak bijak.

Apakah peranan kita sebagai ibubapa yang sebenar ? Inilah muhasabah yang perlu kita buat. Apakah kita memainkan peranan dan tugas utama kita bagi menyediakan persekitaran fizikal, emosi, sosial yang merangsang ke arah kecemerlangan dan keterbilangan. Kita mungkin telah memberi wang ringgit dan menghantar mereka ke kelas tambahan dan tuisyen. Sudah beli buku dan peralatan sekolah secukupnya. Namun semua itu tidak mencukupi kalau kehidupan keluarga kita kucar-kacir, anak bersikap negatif seperti malas, suka bertangguh dan sebagainya.

Kita sebagai ibubapa boleh menangani isu-isu berkaitan melalui pengawasan, dorongan, perhatian, ketegasan dan bimbingan berterusan. Kita ibubapa perlu menjadi contoh tauladan dalam semua aspek kehidupan. Biar kita menjadi model ikutan anak-anak dalam semua perkara. Biar kita menjadi ibubapa yang kuat aura
untuk melindung dan meruntun mereka di bawah kawalan dan perlindungan kita. Kita percaya jika setiap ibubapa dapat memainkan peranan sebenar mereka , anak-anak akan terdorong dan terarah terhadap apa yang kita talakan. Insyaallah jiwa anak-anak akan terbangun dengan kehendak kendiri untuk cemerlang dan berjaya.

Pendidikan informal di rumah yang baik dan dapat disepadukan dengan pendidikan formal di sekolah yang mantap pasti dapat melahirkan murid yang bijak dan kaya dengan nilai positif sebagai prasyarat untuk cemerlang dan terbilang. Saya bangga dengan peranan PIBG, SK Teluk Kalong dalam menyokong pendidikan setempat. Inilah kunci kejayaan sekolah sebenarnya. Kerja jihad pendidikan adalah kerja secara bersepadu antara semua steackholder yang berkepentingan dalam masyarakat.


1 comment:

  1. Terima kasih dan Tahniah! Saya rasa cikgu telah menyampaikan program motivasi pagi tadi dengan jayanya.

    ReplyDelete