Kita percaya biarpun tertulis rasmi "Cuti Sekolah Pertengahan Tahun" namun kelas dalam cuti tetap berjalan. Kem, bengkel dan seminar terutama kepada calon-calon peperiksaan tetap disediakan. Nilai perihatin ini walaupun kadangnya berlaku secara izin dalam paksa sangat bermakna kepada pelajar kita. Justru timbal balas kebijaksanaan pengurusan sekolah mengatur jadual sangat penting supaya guru kita mempunyai ruang bersama keluarga menikmati makna "cuti sekolah ini". Kecaknaan pengurusan pastinya memberi impak penghormatan dan pengorbanan tinggi para guru bukan sahaja kepada pengurusan tetapi agenda pendidikan di sekolah.
Cuti Sekolah inilah masa berkualiti untuk para guru bersama keluarga. Anak-anak yang berada di asrama semua balik. Masa inilah mereka ingin bermanja dengan ayah , ibu serta adik beradik. Mereka hendak makan masakan ibu mereka yang sedap kerana pada rutin persekolahan jarang mereka dapat rasa. Mereka hanya rasa "hidangan pasar minggu" atau makanan segera. Masa ini walaupun riuh tetapi seronok. Masa ini walaupun penat tapi berbaloi. Mereka adalah anugerah Allah yang tidak boleh ditukar ganti. Maka berilah masa berkualiti untuk anak-anak kita.
Jika berpeluang bawalah mereka berjalan-jalan makan angin. Awal cuti ini kebanyakan hotel terutama kawasan pantai tidak kira berapa bintang penuh ditempah. Kedai makan, hadiah dan cenderamata juga ramai dikunjungi. Kadang-kadang "expriencing learning" ini sangat penting untuk anak-anak. Justru inilah masa yang sesuai. Banyak destinasi cantik dalam negara kita. Jumlah pengunjung dan tempahan penuh hotel adalah bukti rakyat sukakan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan. Kalau trafik jem kerana berdemontrasi siapa hendak pergi makan angin. Orang tidak keluar makan angin kalau rasa diri dan keluarga tidak selamat. Tidak tahulah pula takut ada guru kita yang suka bawa anak isteri untuk berdemontrasi dari bercuti santai bersama keluarga.
Masa begini juga sinonim dengan balik kampung dan kenduri kahwin. Tentu ramai juga kita yang merancang menghabiskan sebahagian cuti di kampung halaman sambil menjeguk orang tua dan sanak-saudara. Tentu anak-anak kita yang biasa besar di bandar akan memperolehi berbagai pengalaman baru. Apalagi jika di kampung ada pula kenduri kahwin saudara mara. Tentu seronok. Anak-anak boleh mempelajari secara tidak langsung nilai-nilai hidup bermuafakat dan bekerjasama. Saya teringat masa arwah ayah ada dulu, bila orang kampung tanya anak-anak siapa yang sihat dan comel. Arwah ayah dengan bangganya memperkenalkan cucu-cucunya. Masih terbayang riak gembira dan seronoknya pada wajah dan matanya. Al-Fatihah ayah.
Cucu-cucu ayah dah besar dan berjaya.
Apapun dalam berseronok makan angin dan bercuti keselamatan diri dan keluarga mesti diutamakan. Pandulah dengan cermat dan sentiasa bersabar. Kawal selia anak-anak terutama bila mandi di kawasan laut, sungai atau air terjun. Kalau boleh dapatkan maklumat tentang sesuatu tempat itu. Walaupun ajal maut di tangan Tuhan namun tidak salah kita berdoa dan berikthiar untuk keselamatan dan dijauhkan dari apa jua musibah. Kita tidak mahu cuti sekolah akan datang adalah hari ulang tahun mengenang tragedi pahit dalam keluarga kita.
Semoga Cuti Sekolah musim ini membawa banyak kenanagan manis dalam keluarga kita selain kita mendoakan murid-murid kita sentiasa sihat dan selamat serta tidak terus berpisah dengan buku. Selamat bercuti kepada semua sahabat guru walau di mana jua berada.
No comments:
Post a Comment