Monday, May 20, 2013

Mantan Pengarah Pelajaran dianugerahi sebagai Tokoh Guru Terengganu 2013

KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Mantan Pengarah Pelajaran Terengganu, Yang Berbahagia, Tuan Haji Draman bin Muda telah dianugerahi sebagai Tokoh Guru Terengganu 2013 sempena Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat negeri Terengganu hari ini.

Tokoh Guru Terengganu 2013 menerima Hadiah Wang RM5,000.00, RM1,000.00 sumbangan Bank Rakyat, hadiah iringan berjumlah RM1,500.00 dan sijil penghargaan.

Sambutan berkenaan telah diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak dan telah dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu dengan kehadiran empat ribu orang guru dan jemputan seluruh negeri.

YAB Menteri Besar dalam ucapan perasmiannya  merakamkan settinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada seluruh warga  guru Terengganu khususnya kerana sentiasa menyokong  Barisan Nasional sehingga berjaya membentuk kerajaan. Tegas beliau mandat yang diberi amat penting bagi menjayakan pembangunan pendidikan anak-anak Terengganu dan menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu. Menurut beliau lagi kerajaan negeri akan meneruskan program Anjung Ilmu dan Tranformasi pendidikan yang telah dirancang.

 YAB Menteri Besar juga menaruh keyakinan tinggi bahawa guru-guru Terengganu mampu melaksanakan amanah yang diharapkan kerajaan. Kerana keyakinan serta peranan yang mampu guru mainkanlah maka negeri Terengganu mencipta sejarah dengan pelantikan dua orang menteri dan satu timbalan menteri .YB Dato Seri Haji Idris bin Jusoh, sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 11 kerana sokongan kuat guru, tegas YAB Menteri Besar.

Menurut YAB Menteri Besar juga sebagai penghargaan kepada rakyat dan para guru kerajaan negeri akan menyediakan insentif kepada guru dan sekolah-sekolah cemerlang seperti Sekolah Berprestasi Tinggi dan Sekolah Kluster Kecemerlangan. Selain dari itu tambah beliau, sekolah elit dan primier juga akan ditambah dan sebuah sekolah imtiaz akan dibina di Setiu pada tahun 2014.

Majlis Sambutan Hari Guru dengan tema "Guru Malaysia 1 Aspirasi 1 Agenda" turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Exco Pelajaran yang baru, Yang Berhormat En Ghazali bin Taib dan mantan-mantan Pengarah Pelajaran Negeri serta Ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.

Sebelum itu En. Zakaria bin Husin, Pengarah Pelajaran  Negeri Terengganu dalam ucapan beliau menyeru agar guru-guru Terengganu sentiasa mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan supaya kualiti guru bertaraf dunia boleh dicapai. Dengan standard kualiti demikian maka sekolah dan pelajar jua mampu mencapai tahap sedemikian.  Beliau berharap semua guru memahami dan melaksanakan agenda besar pendidikan negara melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang telah dirancang dengan jelas oleh kerajaan.

Sempena Sambutan Perayaan Hari Guru Negeri pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Sembahyang Hajat, Kempen Derma Darah, aktiviti pertandingan dan pelbagai anugerah untuk mengiktiraf pelbagai bidang pencapaian guru, pengurusan dan sekolah. Pada majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru ini juga YAB Menteri Besar telah sudi melancarkan Buku Karya Penulis Guru Negeri Terengganu dalam pelbagai bidang genre penulisan.

Tahniah semua, terima kasih cikgu.

No comments:

Post a Comment