Monday, May 13, 2013

Budak enam tahun jadi hero



KOTA BHARU 12 Mei - Tindakan pantas seorang abang berusia enam tahun membawa ketiga-tiga adiknya berusia lima, tiga dan setahun keluar daripada rumah yang terbakar berjaya menyelamatkan nyawa mereka.

Ketika kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, Afit Hadi Mohd. Hakimi, 6, sedang menonton televisyen bersama-sama adiknya, Alif Azim, 5, Aufa Imtias, 3, dan Akim Hanif, setahun di Jalan Tanjong Mas di sini.

Menurut Afit Hadi, ketika sedang menonton televisyen, dia terhidu bau hangit dan terkejut apabila mendapati api mula marak dari rumahnya itu.

"Sebaik sahaja melihat api, saya terus mendukung adik, Aufa Imtias manakala seorang lagi adik, Alif Azim membawa Akim Hanif keluar melalui pintu belakang rumah mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Ketika kejadian hanya empat beradik itu berada di rumah kerana bapa mereka, Hakimi Ismail, 37, sedang bekerja dan ibu mereka, Syarifah Sharizat Wan Idris, 37, keluar mengambil kakak sulung mereka, Alia Insyirah, 8, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chempaka.

Sementara itu, Syarifah Sharizat ketika ditemui berkata, sejurus sampai di rumah pukul 1.35 petang, jantungnya bagaikan terhenti apabila melihat keadaan rumahnya yang musnah.

Katanya, ketika itu, di dalam fikirannya hanya satu sama ada keempat-empat orang anaknya yang berada di rumah itu selamat ataupun tidak.

"Alhamdulillah, anak-anak saya semuanya selamat walaupun Afit Hadi mengalami sedikit kecederaan di bahagian lengan. Saya bersyukur anak saya selamat dan dalam masa yang sama merasa sedih kerana rumah yang didiami sejak tujuh tahun lalu musnah dalam sekelip mata," katanya.

Tambahnya, segala kelengkapan rumah, barang emas dan duit yang disimpan di rumah musnah sama sekali dan jumlah kerugian dianggarkan lebih RM50,000.

"Saya tidak tahu punca sebenar kejadian ini berlaku mungkin disebabkan litar pintas memandangkan gas di dapur rumah ketika itu sudah ditutup," katanya sebak.

Dalam pada itu, kebakaran tersebut turut memusnahkan sebuah lagi rumah yang terletak bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kota Bharu, Mohamad Sabri Ismail, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 1.57 petang.

Sumber : Utusan Malaysia
 

No comments:

Post a Comment