Saturday, May 11, 2013

Sembang Sabtu : Kakitangan awam yang tidak mendokong aspirasi kerajaan



Sebuah kerajaan yang kuat
perlukan kakitangan yang kominted dan setia

Pilihanraya ketiga belas (PRU13) telah selesai. Gabungan parti dalam Barisan Nasional kekal memerintah di peringkat pusat dan sembilan negeri. Kerajaan Persekutuan Malaysia dan sembilan kerajaan negeri dapat dibentuk oleh Barisan Nasional. Sementara selebihnya oleh Pakatan Rakyat.

Walaupun sudah hampir seminggu pilihanraya selesai namun bahangnya masih terasa. Ada seribu satu macam cerita pahit maun, suka duka dan sebagainya. Sembang Sabtu dalam diskusi kali ini bukan untuk membicarakan soal pilihanraya tetapi peranan di bawah sedar oleh kakitangan awam khususnya oleh kaum guru dalam gelombang pilihanraya.

Ramai orang berkata, banyak orang mengadu bahawa dari Putrajaya ke pantai timur, dari Sabah hingga Perlis kakitangan awam “menyokong” dan “mengundi pembangkang”. Menyokong dan mengundi pembangkang adalah dua perkara berbeza. Mengundi mana-mana parti politik adalah rahsia dan menjadi amalan dalam sistem demokrasi. Tidak salah dan tidak menjadi masalah kerana kita sebagai rakyat menunaikan hak sebagai warganegara.

Walau bagaimanapun kakitangan awam yang menyokong parti politik boleh jadi salah dan boleh jadi tidak salah. Seseorang kakitangan awam atau guru akan dianggap menyalahi peraturan dan boleh dikenakan tindakan tatatertib jika memegang apa-apa jawatan dalam parti  atau terlibat secara langsung melalui perbuatan,percakapan dan penulisan berkempen menyokong pembangkang tanpa kebenaran daripada Ketua Perkhidmatan.Ini bermakna seseorang guru boleh terlibat aktif dalam parti pembangkang atau kerajaan dengan adanya kebenaran khas tersebut. Itu adalah sumber kuasa atau lesen yang membolehkan kita aktif.

Namun apa yang berlaku dalam keghairahan PRU13 lalu sama ada di pejabat atau di sekolah, di dalam media sosial, di tempat penamaan calon dan dalam tempoh kempen dan pengundian ada kakitangan awam khususnnya guru tanpa segan silu menyatakan sokongan kepada pembangkang sama ada secara perbuatan,percakapan dan penulisan.Ada yang mendakwa terdapat juga pegawai di JPN, PPD dan juga guru terlibat langsung dengan kempen politik terutama pembangkang. Seorang guru mendakwa dari sebuah sekolah di Kuala Terengganu guru dengan sewenang berkempen di kantin sekolah termasuk Guru Besar yang dikenalpasti sebagai penyokong pembangkang.

Seorang pembantu tadbir dihantar dengan menaiki kereta yang ada bendera parti seolah-olah mereka datang bekerja di pejabat parti berkenaan. Dalam facebook tidak payah ceritalah bermacam sokongan dan komen mengutuk kerajaan. Kerajaan yang dia sendiri bekerja  di dalamnya. Kerajaan yang diberi gelaran "kera" kepada kakitangan dalam satu ceramah pembangkang  dan ditentang oleh kesatuan-kesatuan guru.

Persoalannya adakah mereka yang dikenalpasti ini mempunyai kebenaran Pengarah Pelajaran Negeri untuk melaksanakan fungsi dan tugas demikian? Kalau ada oklah  tidak ada masalah. Tetapi jika tiada maka tentunya kita telah bersedia untuk menghadapi apa jua tindakan. Kita bukanlah orang-orang yang bodoh untuk memahami ruang lingkup peraturan yang membatasi kita sebagai pegawai awam.

Ironinya bila tindakan tatatertib dikenakan kerana melanggar peraturan kita akan menuduh orang lain atau ketua jabatan menzalimi kita. Walhal kitalah yang telah sewenangnya menzalimi diri kita sendiri kerana meletakkan status diri kita sebagai kakitangan awam di tempat yang orang boleh persoalkan integriti kita. Banyak kali kita sebutkan kalaulah dasar-dasar Goverment On The Day tidak secocok dan sebulu dengan pendirian kita jangan menjadi kakitangan kepada kerajaan itu. Jangan ambil gaji tetapi bersara atau berhenti daripada terus menjadi pengkhianat. Kalau kita ada maruah dan ada harga diri kita tentunya tidak akan bersama dalam tempayan budu yang kita anggap kotor dan busuk.

Selain kita mematuhi order goverment kita juga hendaklah mematuhi setiap arahan Ketua Perkhidmatan kita sama ada lisan atau bertulis. Seruan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia agar guru tidak terlibat dengan politik tetapi tumpuan kepada PnP tidak dipedulikan. Ingatan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian berkaitan larangan dan pematuhan prosidur berpolitik kakitangan awam juga diremehkan. Surat-surat arahan Pengarah Pelajaran Negeri untuk mereka menghadiri program dipertikaikan. Seolah-olah mereka mempunyai  majikan lain yang maha besar dan tinggi dan tidak berkhidmat sebagai kakitangan awam Malaysia.

Lebih memualkan lagi golongan yang kita anggap cerdik membangun insan terbilang rupanya mudah dipergulakan oleh politikus untuk tawaran bermacam elaun dan menghapus pbs dan sebagainya. Seolah mereka yang berada jauh dari dunia dan rencah pendidikan lebih faham dan mengerti pahit getir guru dan dunia pendidikan dengan tawaran picisan dan ditelan bulat-bulat oleh kaum guru seolah-olah sengsaranya hidup berkerjaya sebagai seorang guru. Apabila disebut kerajaan zalim, rasuah,menindas rakyat dan sebagainya maka kitapun gatal ingin bertanya ramai manakah rakyat yang kebuluran tidak makan, ramaikah rakyat yang hidup dalam reban kerana tidak mampu beli rumah, sukarkah rakyat nak beramal ibadah dan sebagainya. Kita minta kakitangan awam khususnya para guru celik minda dan celik mata adakah kehidupan berkualiti kita semakin mengundur ke arah yang tidak baik atau kepada yang lebih baik.

Sesungguhnya konsep wasatiah atau kesederhanaan adalah ajaran Islam sangat indah. Maka juga jika dalam berpolitikpun konsep ini diamalkan maka perpecahan dan kebencian dapat dielakkan. Kerajaan juga mesti peka dengan pelbagai isu perkhidmatan awam yang dibangkit dan cuba dimanipulasikan hingga menyebabkan segelintir kakitangan awam kelabu mata perlu di bawa ke makmal untuk dikaji dan dinilai. Bai’ah kesetiaan kakitangan awam dengan kerajaan perlu dimantapkan dan mana yang sudah tidak boleh dibangun kesetiaan perlu dinyahkan dengan cepat dan pantas.

Kita sangat percaya masih ramai kakitangan awam dalam pelbagai sektor perkhidmatan bersikap profesional dan sentiasa mendokong aspirasi kerajaan. Kejayaan dasar-dasar kerajaan adalah kerana kesetiaan dan kominted mereka melaksanakan amanah rakyat dan kerajaan dengan sedar dan bersengaja.Kita tentunya tidak mahu sesuatu yang bertentangan dengan dasar dan aspirasi berlaku dan dibiarkan subur yang memberi gambaran seolah-olah kita memberi restu pengkhianat membocorkan kapal yang sama-sama kita naiki dan menunggu masa untuk tenggelam.

Kita berharap kerajaan yang baru ditubuhkan mengambil inisiatif memperbetulkan salah tanggap sesetengah kakitangan awam tentang konsep parti, kerajaan, mengundi, menyokong aktif, goverment on the day, peraturan berpolitik pegawai awam. Adalah satu kezaliman menghukum orang jahil. Berikan ilmu dan kefahaman dan jika mereka sedia faham tapi masih khianat maka wajar dihukum setidak-tidaknya mengajar mereka untuk “berterima kasih kepada makhluk dan bersyukur kepada Allah”.


4 comments:

  1. ada 'info' yg menyatakan skrg guru tidak perlu dapatkn kebenaran ketua jabatan utk aktif dlm politik. mohon pencerahan dr tuan. t.q.

    ReplyDelete
  2. TAJUK: LARANGAN MENGAMBIL BAHAGIAN DALAM AKTIVITI POLITIK

    KANDUNGAN HEBAHAN:

    Dengan hormatnya saya diarah menarik perhatian tuan/ puan kepada peringatan oleh YBhg. Dato’ KSU berhubung larangan penglibatan warga KPM dalam aktiviti politik.

    2. Sebagaimana tuan/ puan sedia maklum, berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa, pegawai awam persekutuan dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah dilarang untuk bergiat aktif di dalam bidang politik. Sebagaimana dinyatakan di dalam Peraturan 21(1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A)395/1993], adalah menjadi suatu kesalahan sekiranya pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional didapati mengambil bahagian dalam aktiviti politik, memakai lambang parti politik dan melakukan antara perkara-perkara berikut:

    (a) berkempen bagi pihak parti politik;
    (b) mengedar risalah parti politik;
    (c) merayu undi bagi menyokong calon mana-mana parti politik;
    (d) bertindak sebagai ejen pilihanraya/ tempat mengundi;
    (e) bertanding apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik; atau
    (f) memegang jawatan dalam parti politik.

    3. Walau bagaimanapun, selaras dengan Peraturan 21(2A), P.U.(A)395/1993, pegawai skim Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 sehingga DG48 yang tidak melaksanakan tugasan pentadbiran dibenarkan untuk bergiat aktif di dalam politik setelah mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia.

    4. Selain itu, berdasarkan Peraturan 21(2), P.U.(A)395/1993, pegawai Kumpulan Pelaksana yang dibenarkan untuk bergiat aktif di dalam politik perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada sama ada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (pegawai gunasama) atau Ketua Setiausaha Kementerian (pegawai bukan gunasama).

    5. Larangan untuk bergiat dalam aktiviti politik ini bertujuan bagi memastikan pegawai awam sentiasa mengamalkan prinsip neutrality dan impartiality dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Penjelasan lanjut boleh dirujuk dalam peraturan/ pekeliling berikut:

    (a) Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993: Mengambil Bahagian dalam Politik;
    (b) Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1996: Permohonan Oleh Pegawai-Pegawai Awam Untuk Mengambil Bahagian Dalam Aktiviti Politik;
    (c) Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 Tahun 2010: Permohonan Mengambil Bahagian Dalam Aktivitt Politik Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 Hingga DG48 Yang Bertugas Di Institusi Pendidikan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM); dan
    (d) Surat Pekeliling Perkhidmatan Kementerian Pelajaran Malaysia (SPK KPM) Bilangan 2 Tahun 2010: Garis Panduan Pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2010 (Permohonan Mengambil Bahagian dalam Aktiviti Politik Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 Hingga DG48 Yang Bertugas Di Institusi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia).

    6. Tuan/ puan juga diingatkan supaya mematuhi peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa.

    Sekian, terima kasih.

    Bahagian Pengurusan Sumber Manusia

    ReplyDelete
  3. Berdasarkan arahan di atas:

    Kumpulan Pengurusan Profesional (Pentadbiran)TIDAK DIBENARKAN KECUALI Pengurusan dan Profesional (DG41 -48) tidak pegang jawatan serta Kumpulan Pelaksana (17 - 40) perlu dapat KEBENARAN BERTULIS.

    ReplyDelete
  4. terima kasih atas penjelasan tuan.

    ReplyDelete