Saturday, May 18, 2013

Sembang Sabtu : Terima kasih Cikgu, Cikgu tetap dihatiku.

Hangatnya Sambutan Hari Guru masih terasa terutama bagi guru-guru yang berada di sekolah. Suasana meriah dengan pelbagai aturcara masih tergambar dalam ruang ingatan. Guru dan murid bersantai,bersukan,menyanyi dan menunjukkan bakat. Tiada lagi murid degil, murid bodoh dan murid cerdik. Yang adalah murid cikgu yang merayakan Sambutan Hari Guru.Hari menghargai jasa dan pengorbanan guru. Hari melahirkan rasa kasih sayang. Hadiah yang bertimbun itu tanda pernyataan kasih sayang murid padamu cikgu.

Aku sudah kehilangan detik dan suasana itu. Sudah bertahun lamanya meskipun di pangkal nama tetap dipanggil "Cikgu".Tapi tiada lagi hadiah dari seorang yang bernama murid. Aku tumpang seronok dengar cerita rakan-rakan. Seorang guru merasa begitu teruja kerana baru pertama kali bergelar guru tapi hadiah dari murid agak luar biasa. Mungkin kerana dia guru baru kataku. Tapi ada lagi guru baru tapi tidak dapat hadiah macamnya.Mungkin ada sesuatu yang istimewa membuatkan murid suka padanya.

Seorang Guru Penolong Kanan yang baru beberapa bulan dilantik di sebuah sekolah memberitahu begitu terkejut kerana menerima hadiah yang banyak dari berbagai jenis murid. Ada yang menulis sayang cikgu kerana cikgu baik dan cantik. Beliau begitu terharu. Aku bertanya apa yang cikgu lakukan kepada murid. Beliau memberitahu memanggil muridnya sayang. Kadang memeluk dan mencium murid seperti anak sendiri. Saya berkata, mungkin itu kuncinya. Murid kampung yang kurang perhatian dan kasih sayang diaprisiasi begitu rupa hingga menyentuh hati kecilnya. Mereka rasa dihargai,dikasihi dan disayangi. Konsep Guru Penyayang teramal dengan baik dan berkesan. Saya kata cikgu akan hidup dalam hati anak murid cikgu sampai bila-bila.

Demikianlah antara cebisan pengalaman guru yang hebat dan tersanjung dalam jiwa muridnya. Sesungguhnya mereka adalah guru-guru biasa tetapi menjadi hebat dan luarbiasa kerana sifat-sifat kemandirian yang tulen dan sejati. Mereka ikhlas, penuh cakna dan melimpah kasih sayangnya. Aku masih ingat guru-guruku seperti Miss Yeo, Cikgu Sabri, Ustazah Khadijah dan beberapa orang lagi biarpun hampir 40 tahun berlalu. Aku teringat Miss Yeo beberapa kali membalut dan membubuh ubat dilututku yang melecet dan berdarah kerana terjatuh di jalan raya. Dengan lembut,senyum dan kata penuh nasihat di saat aku meringgis kesakitan.

Cikgu Sabri yang kurus tinggi yang mengajar Seni Perusahaan tetapi setiap Sabtu mengajar Kelas Tambahan Matematik secara percuma. Bersungguh-sungguh benar. Tetapi kerana kebodohan kami kerap juga ada antara kawan yang kena lempang tetapi selepas melempang kami Cikgu Sabri akan menangis dan memeluk kami seperti adiknya sendiri.Kami tidak pernah berdendam malah amat menyayanginya. Begitu juga ustazahku yang baru balik dari Mesir , Ustazah Khadijah. Beliau terkial-kial mencari pelajar untuk mewakili sekolah sebagai peserta syarahan. Kerana kesian aku menawarkan diri. Beliau seakan mahu menangis kerana aku bersedia menyelesaikan masalahnya. Beliau melatihku bersyarah. Berkat latihan itu aku akhir menjadi seorang pemidato dan pembahas yang berjaya.Terima kasih ustazah.

Aku juga tidak akan lupakan pada hari pertama persekolahan 1978, Cikgu Abas memintaku mengetuai perhimpunan pertama sekolah. Membaca ikrar dan memberi arahan kepada semua murid. Mungkin Cikgu Abas mengesan bakat kepimpinanku. Bermula dari situ aku dilantik sebagai Pengawas Sekolah walaupun berpindah ke sekolah lain dan kemudian menjadi Exco Perwakilan Pelajar. Aku juga tidak  akan lupa jasa Allahyarham Dato' Razali Ismail yang mengajar aku seni teater semasa beliau menjadi pensyarahku. Latihan keras berjalan tanpa kasut di aspal dan berbagai latihan psaikodramatik  melatih jiwa menghayati sesuatu secara mendalam dan penuh makna. Alfatihah untuk arwah guruku yang telah kembali mengadap Ilahi.

Sebahagian nama guruku yang kesebut dan tidak terupaya ku sebut dalam ruang terbatas ini masih hidup dan mekar dalam ingatan biarpun sebahagiannya sudah tidak lagi berada di sini. Sentuhan-sentuhan kasih sayang, keperihatinan dan asuhan laut pengalaman yang luar biasa itu sangat mengesan dalam jiwa dan sanubari dan tidak akan mati sampai bila-bila. Mereka adalah guru biasa yang mempunyai jiwa penghayatan guru yang luarbiasa. Dan apabila aku menjadi guru, ku cuba mengikut denai mantan-manta guruku. Alhamdulillah aku masih dikenang bekas muridku walaupun aku tidak lagi berada di sekolah. Itulah harga yang sangat bererti bagi seorang guru.

Sempena suasana Hari Guru yang masih hangat ini marilah sahabat guru kita bermuhasabah dan berintrospeksi menilai diri kita sendiri. Apakah kehadiran kita memberi erti dan kesan pada jiwa anak didik
kita. Adakah titisan ilmu yang kita titipkan menyubur jiwa keinsanan mereka untuk menjadi manusia yang mengenang budi dan berbuat jasa. Tahu berterima kasih dan bersyukur.

"Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru bukan kepalang ajar
Dapat ilmu perkasakan budi."


No comments:

Post a Comment