Thursday, September 30, 2010

Dakwaan Jawapan Bocor UPSR Terengganu..kah..kah..kah



Tiap tahun ada saja dakwaan tentang soalan UPSR bocor di Terengganu. Terbaharu ada pula dakwaan "jawapan UPSR" bocor di Terengganu. Sesekali terasa amat panas dan sakitnya hati dan telinga bila mendengar dakwaan-dakwaan yang tidak berasas ini.Soalah-olah masa dan tenaga yang dicurahkan oleh para pendidik siang-malam untuk kecemerlangan pendidikan Terengganu tidak berguna langsung.Apalagi dakwaan terbaharu mengatakan "jawapan bocor" yang dilakukan oleh JPN sendiri. Masyaalah seolah-olah pegawai-pegawai di JPN telah awal-awal membuka kotak soalan kemudian menyediakan jawapan untuk diberi kepada murid supaya dapat menjawab bagi mempertahankan keputusan dan kecemerlangan UPSR Terengganu.Seolah-olah integriti pegawai JPN tiada sama sekali walaupun telah bersumpah dan menandatangani Akta Rahsia Rasmi.Begitu juga seolah-olah Ketua Pegawas dan pengawas peperiksaan yang juga menandatangani Akta Rahsia Rasmi turut bersekongkol melaksanakan agenda penipuan besar-besaran.Masyaalah!

Kita kadang terasa serba salah untuk menjelaskan. Namun kalau tidak dijelas dengan analitik diam membisu seakan dikatakan benar kerana fahaman budaya bahawa "diam" itu setuju. Kalau dijelaskan nanti orang kata sombong,bongkak dan nak "nyohor". Apapun kita rujuk kepada kumpulan manusia berikut untuk dijadikan asas dan pertimbangan:
  • Tidak tahu bahawa dia tidak tahu - orang gila
  • Tahu bahawa dia tidak tahu - orang ini perlu belajar
  • Tidak tahu bahawa dia tahu - orang alpa perlu diperingatkan
  • Tahu bahawa dia tahu - orang yang bijak dan perlu dicontohi
Berasaskan kategori di atas kita letakkan sepesis manusia yang suka mendakwa bocor-bocor ini dan yang sewaktu dengannya dalam kategori kedua dan ketiga. Mereka perlu diajar dan belajar supaya lebih bijaksana dan bijaklaksana.

Setiap tahun kerjaan negeri Terengganu melalui Program Terengganu Terbilang telah menyediakan peruntukan yang besar untuk Aktiviti Kecemerlangan Peperiksaan Awam (UPSR,PMR,SPM,STPM) Aktiviti-  aktiviti Kecemerlangan Peperiksaan Awam termasuklah pembinaan modul kurikulum peperiksaan,pembinaan soalan ujian bulanan,percubaan dan tambahnilai,program bimbingan kelas intensif dan kem-kem menjawab soalan dan motivasi pelajar dan ibubapa dan pelbagai lagi.

Bahan-bahan ini dibina khas oleh pasukan guru yang mempunyai kepakaran dalam mata pelajaran,pengajaran-pembelajaran,pemeriksaan kertas peperiksaan yang dipanggil Angkatan Kerja Rajin Dan Mulia (AKRAM) bagi semua peringkat peperiksaan UPSR,PMR ,SPM dan STPM.Bahan-bahan bukan dibina secara "cut and paste" tetapi digubal berdasar kurikulum dan parten soalan-soalan UPSR terdahulu.Berasaskan JPU yang ketat serta aras keupayaan pelajar atau murid. Soalan yang seiras UPSR ini diberi penudingan dan latihtubi dengan volume kerja yang besar supaya murid mahir. Pencapaian mereka diaudit berasaskan OTI (Operational Target Incremantel).Setiap murid diuji untuk mendapat TOV (Take Of value).Memperolehi TOV yang sebenar murid dinilai dengan lima cara termasuk ujian soalan UPSR sebenar dan juga pemerhatian guru.Dari TOV inilah murid dipecut pencapaian melalui operasi yang dikenali OTI.

Sebelum OTI setiap murid telah ada TOV dan berasaskan TOV itu ditentukan target atau ETR (Expected Target Result) Selepas OTI dilaksanakan  dilihat pula ATR (Actual Target Result) sama ada capai atau tidak ETR. Jika tidak mencapai ,analisis item soalan dibuat untuk melihat di bahagian mana murid lemah supaya dapat diberi bantuan berfokus.Inilah strategi UPSR Terengganu yang jarang orang di luar pendidikan tahu. Mereka hanya mahu result tapi mereka tidak tahu bagaimana proses dilaksanakan. Justru kalau kita tidak tahu lebih baik diam daripada bercakap yang menampakkan kedangkalan kita sendiri.

Harus diingat pasukan guru AKRAM adalah mereka yang pakar tentang kurikulum peperiksaan,pengubalan soalan dan juga sebagai pemeriksa. Adalah normal bila soalan yang digubal mempunyai piawaian dan standard soalan peperiksaan sebenar dan jika soalan hampir-hampir sama keluar adakah itu dikatakan soalan"bocor" ataupun teknik penulisan berdasarkan soalan yang mereka gubal disusun atau dihafal murid dan digunakan bagi menjawab soalan yang hampir tepat ramalannya dianggap sebagai jawapan yang "bocor". Kalau fenomena begini dierti serta dimaknakan sebagai BOCOR eloklah "Iqra" dengan banyak dan mendalam lagi.

Setiap tahun negeri-negeri seluruh negara sangat mengingini soalan-soalan ujian bulanan,percubaan dan tambahnilai dari negeri Terengganu. Kalau mereka tidak mempercayai keupayaan dan integriti kita buat apa mereka mahu soalan kita dan datang melawat serta berguru kepada sipenipu.Adakah peningkatan pencapaian calon 5A UPSR yang 100% anak Terengganu dalam PMR di sekolah premier,elit,smka juga kerana soalan bocor dan jawapan bocor atau kerana mereka memang dididik dengan sempurna dalam sistem pendidikan dan peperiksaan  .Ataupun sememang disengajakan "dibocor" mulut mereka membuat dakwaan sedemikian kerana agenda tertentu. Hanya Allah jua yang tahu akan niatnya.

Saya percaya pegawai-pegawai di JPN,pemimpin sekolah dan guru-guru mata pelajaran peperiksaan dan guru-guru AKRAM dan semua guru Terengganu telah muak dan "kalih" dengan dakwaan dangkal seperti ini dan ianya tidak sedikitpun melemahkan semangat serta dayajuang para pendidik untuk mendidik anak bangsa kerana kita sedar merekalah pewaris kita pada masa hadapan.Kita pasti mahu meninggal pewaris yang menjuarai dalam pelbagai bidang sesuai dengan fitrah dan misi kemenjadian diri mereka sendiri bukannya meninggalkan juara-juara yang kalah untuk menjadi abdi kepada kaum penipu.

Apakah pandangan guru-guru Terengganu  kita ?

*Ini adalah pandangan penulis (admin) bukan pandangan JPN Terengganu.Penulis pernah menjadi guru subjek,mengajar kelas peperiksaan,menjadi ketua pengawas dan menjadi guru gpk dan guru besar.






MESYUARAT PENILAIAN PERANCANGAN PENGURUSAN 2010 DAN PERANCANGAN 2011 SEKTOR PENGURUSAN SEKOLAH

Bermula 27 hingga 29 September 2010, Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) telah mengadakan Mesyuarat Penilaian Perancangan Pengurusan 2010 dan Perancangan 2011 bertempat di Rumah Peranginan Persekutuan, Pulau Sah Besar, Tasik Kenyir. Mesyuarat selama 3 hari ini telah dipengerusikan sendiri oleh Tuan Ketua Sektor, YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam. 

Kesemua empat unit di SPS terlibat dalam mesyuarat penting ini. Pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun 2010 dinilai semula dan dibuat pengubahsuaian berdasarkan pelaksanaan sebenar. Manakala perancangan tahun 2011 dirangka dalam sesi perbengkelan yang dipecahkan mengikut unit.

Selain daripada itu, setiap orang pegawai diwajibkan merangka 3 Key Performance Indicator (KPI) yang akan menjadi instrument ke arah mencapai Sasaran Kerja Tahunan. Mesyuarat ini juga dihadiri oleh 2 orang pegawai dari setiap PPD dan mereka juga turut terlibat dalam perbengkelan merancang aktiviti tahun 2011 di peringkat masing-masing.

Yang berbahagia Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu turut serta bersama Tuan Ketua Sektor menyampaikan ucap utama pada slot pertama mesyuarat. Dalam majlis yang juga berupa pertemuan rasmi terakhir warga SPS bersama Tuan Pengarah ini, kesempatan digunakan oleh kedua-dua pemimpin ini untuk mengimbau kembali sejarah zaman mereka bergelar pelajar dan mahasiswa. Tidak ketinggalan laluan kerjaya masing-masing dikongsi bersama dengan ahli mesyuarat yang disampaikan dalam bentuk renungan dan dorongan kepada semua warga SPS.

Antara pesanan penting yang disampaikan oleh Pengarah ialah:
1.       Menyeru kepada semua warga SPS sentiasa berada dalam arus perdana. Tindak tanduk sengaja mengelakkan diri daripada terlibat secara bersungguh-sungguh dalam tugas utama dan sampingan pada heirarki tugas dan fungsi masing-masing bakal menggagalkan keberkesanan jabatan.
2.       Sentiasa meletakkan diri masing-masing untuk melaksanakan tugas dan fungsi sebagaimana dinyatakan dalam Fail Meja setiap pegawai.
3.       Mengingatkan semua warga SPS bahawa semua kerja dan tugas yang dilaksanakan bakal berdepan dengan rintangan atau cabaran.
4.       Sentiasa mengamalkan tindakan yang betul dengan cara yang betul.
5.       Sentiasa menjunjung maruah organisasi  jabatan pelajaran, Sektor Pengurusan Sekolah dan unit masing-masing.

Manakala Tuan Ketua Sektor begitu bersemangat menyampaikan mutiara pesanan yang diterjemahkan daripada hasil pemikiran tajam beliau. Lalu mesyuarat kali ini menjadi medan bagi beliau menggarapkan kembali strategi dan gaya  pengurusan SPS di bawah pimpinannya. Melatari ruang ucapannya, prinsip taqwa dan berserah kepada Allah s.w.t dijadikan medium ucapannya. 

Beliau membuka minda semua warga SPS dengan maksud CINTA ALLAH yang sepatut-patutnya dicari oleh semua orang dalam melaksanakan tugas. Semua ini dilontarkan kepada semua ahli mesyuarat  hasil daripada pemikiran mendalam beliau selama tempoh menerima ujian daripada-Nya. Tidak lupa mengajak kepada semua anak buahnya supaya mengamalkan budaya berfikir. Berfikir tentang nikmat yang Allah kurniakan. Menurut beliau, berfikir sehari lebih baik daripada beribadat setahun. 

Beliau juga tidak putus-putus menzahir rasa bersyukur kepada Allah s.w.t kerana diberi para pengikut atau pegawai yang amat kuat member sokongan khususnya semasa sakit tidak lama dulu. Mengimbau kembali sejarah perkhidmatan selama lebih 34 tahun dalam dunia pendidikan dan memegang pelbagai jawatan, falsafah mudah yang dititskan ialah ‘be the best, do the best’.


Dicatat oleh:
En.Kamal bin Abdullah
PP Guru,Unit Pengurusan Sekolah Rendah

Sunday, September 26, 2010

Program Hari Bertemu Pelanggan Dan Sambutan Hari Raya,JPN Terengganu

Hari ini bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah mengadakan Program Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Raya.Sambutan telah diadakan di lobi jabatan dan dataran perhimpunan jabatan.Knopi telah dipasang di sepanjang dataran untuk diletakkan juadah dan juga tempat makan tetamu.

Suasananya sungguh meriah kerana tuan rumah,iaitu pegawai dan kakitangan jabatan memakai baju kebangsaan dan baju raya. Suasana sambutan warna-warni ini juga dimeriahkan lagi dengan persembahan lagu-lagu hari raya oleh kakitangan jabatan dan penyanyi jemputan terdiri dari para pelajar yang berbakat.

Pelbagai kuih-muih serta masakan tradisi seperti nasi dagang,nasi minyak,sate,nasi goreng disediakan sama ada ditempah oleh unit atau sektor yang ditugaskan atau disediakan terus oleh sekolah yang berkebolehan yang dijemput.Para tetamu setengah dapat menikmati makanan panas dan segar dari gerai-gerai yang disediakan.

Pengarah Pelajaran Negeri,Timbalan Pengarah,Ketua-Ketua Sektor dan Pegawai-pegawai jabatan menerima kunjungan tetamu .Tetamu yang dijemput dan hadir adalah terdiri daripada Ketua Jabatan atau  pegawai-pegawai pelbagai jabatan persekutuan dan negeri.Selain itu pesara-pesara pendidikan dari tahun 2007,2008 dan 2009 turut dijemput . Mereka terdiri bekas pengetua,guru besar dan juga pegawai di jabatan atau ppd. Selain dari itu pengetua,guru besar,wakil guru serta wakil PIBG sekolah daerah Kuala Terengganu turut dijemput.

Pengarah Pelajaran Negeri juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada para pelajar dan kanak-kanak yang hadir.

Sesungguhnya Program Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Raya tahun 2010 sangat berjaya besar ertinya khususnya dalam konteks komitment pegawai dan staf jabatan bersatu tenaga,mengeratkan tali persaudaraan sesama warga jabatan dan rangkaian rakan strategik pendidikan selain terus mengukuhkan jaringan warga pendidikan sama ada yang masih berkhidmat dan yang telah bersara.Tahniah dan terima kasih.

Taklimat dan Penempatan GSST Program Khas Pengsiswazahan Guru Sekolah Rendah

"Anda sepatutnya bersyukur dapat ditempatkan di Terengganu kerana semua sekolah boleh dihubungi dengan jalan darat kecuali sekolah di pulau,punyai kemudahan air dan elektrik serta kemudahan pembelajaran yang mencukupi" kata En.Jelani Sulong, Ketua Unit,Penyeliaan Sekolah semasa menyampaikan Taklimat Penempatan kepada Guru Sandaran Siswazah Terlatih(GSST) Program Khas Pengsiswazahan Guru Sekolah Rendah kepada sepuluh orang guru baru di Permai Inn Hotel pagi tadi.

Guru-guru tersebut semuanya opsyen Bahasa Inggeris ditempatkan sama ada di sekolah luar bandar,sekolah pedalaman atau sekolah yang sukar menempatkan guru.Majoriti mereka adalah dari luar negeri Terengganu.Beliau juga mengingatkan bahawa "tiada sekolah yang tidak sesuai untuk para guru kerana semua sekolah diujudkan untuk mendidik murid". Beliau juga amat yakin para guru baru ini mampu menjadi guru yang baik dan terbilang kerana latihan perguruan yang panjang dan mantap.

Sebelum itu En.Kamal bin Abdullah,PP Guru  telah menyampaikan taklimat pengurusan kepada guru-guru ini terutama berkaitan pelaksanaan Program Orientasi Guru Baru serta tatacara penilaian dan penyediaan pelaporan untuk dipanjangkan kepada KPM.Beliau memaklumkan bahawa program ini penting bagi menyediakan asas dan kefahaman mengenai iklim,budaya dan bidang pengurusan sekolah.

Sementara itu,En.Mat Lazim Noor,Penyelia Kanan Cemerlang telah menyampaikan taklimat berkaitan perkhidmatan dan motivasi. Beliau mengingatkan guru supaya sentiasa peka dengan urusan perkhidmatan mereka terutama berkaitan temuduga,pelantikan dan pengesahan jawatan agar mereka dapat ditauliahkan sebagai pegawai awam yang mampu menikmati apa sahaja kemudahan yang disediakan sebagai kakitangan awam. Beliau juga menerangkan tugas guru bukan hanya sekadar mengajar tetapi juga sebagai pemupuk nilai dan pembina tamaddun.Mereka perlu mematuhi setiap arahan dan pekeliling supaya integriti,maruah dan nama baik perkhidmatan awam sentiasa terpelihara.

Beliau juga mengingatkan para guru baru agar bijak menangani cabaran dan perlu sentiasa bertindak secara profesional dalam menyelesai atau menghadapi masalah. Mereka hendaklah menjadi contoh ikutan atau ikon sebagai "great teacher" yang mampu membawa perubahan positif organisasi dan meningkatkan mutu pendidikan di sekolah.

En.Jelani Sulong,Ketua Unit Rendah telah menyampaikan surat penempatan dan surat pelantikan GSST.Kebanyakan mereka telah memberi reaksi yang positif terhadap lokasi sekolah penempatan dengar semangat berkobar-kobar untuk memulakan khidmat sebagai guru. Mereka kemudian diperkenalkan kepada Penyelia Kanan PPD masing-masing.Tahniah,Selamat Datang dan Selamat Berkhidmat di negeri Terengganu Anjung Ilmu.

Saturday, September 25, 2010

Mesyuarat Redeployment

Pada 25 dan 26 September 2010,Unit Penyeliaan Sekolah Rendah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu mengadakan Mesyuarat Redeployment (25 September 2010) dan Taklimat Penempatan Guru Program  Pengsiswazahan Guru Sarjana Muda Pendidikan (26 September 2010) di Hotel Permai Inn,Kuala Terengganu.

Mesyuarat dan taklimat ini dihadiri oleh para pegawai dari Unit Penyeliaan Sekolah Rendah dan semua Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD seluruh negeri serta sepuluh orang guru baru.

Redeployment (penempatan semula) sangat perlu dilaksanakan terutama bagi guru-guru yang berada di sesebuah sekolah  melebihi lima belas tahun  agar mereka memperolehi suasana,budaya dan iklim kerja yang baru dengan harap supaya potensi guru berkenaan dapat terus dipertingkatkan lagi.Selain dari itu redeployment perlu dilaksanakan segera jika berlaku kekurangan opsyen di sesebuah sekolah apalagi jika sesebuah sekolah dalam daerah atau antara daerah mempunyai kelebihan opsyen .En. Kamal Abdullah,Penolong Pengarah Penguruasan Guru,Unit Rendah sekali lagi menyampaikan pesanan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah kepada semua Penyelia Kanan Pengurusan Sekolah PPD supaya dapat melaksanakan proses redeployment dengan cekap dan segera.

En.Mat Lin Mat Nor,Penolong Pengarah Data & ABM telah menyampaikan taklimat berkaitan peruntukan redeployment.Kementerian telah menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan redeployment dalam daerah dan antara daerah.Sementara data bagi guru setiap daerah yang berada lima belas tahun di sesebuah sekolah telah berada dalam makluman PPD.Pelaksanaannya akan dilaksanakan selepas UPSR dan selepas e-gtukar.

Sementara En.Jelani Sulong,Ketua Unit Sekolah Rendah memaklumkan bahawa kemungkinan pertukaran tahun ini dijangka dilaksanakan pada
1 Disember oleh itu beliau berharap redeployment guru dapat dilaksanakan lebih awal dari pertukaran supaya penempatan masuk guru tidak akan terganggu.Dasarnya ketetapan pelaksanaan redeployment dalam daerah akan dilaksanakan pada 16 November 2010 dan antara daerah selepas tarikh berkenaan.Keutamaan dari segi opsyen bagi proses redeployment ialah guru-guru yang mempunyai opsyen dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,Bahasa Inggeris dan Agama Islam.

Sehubungan dengan itu,En.Jelani Sulong berharap proses redeployment ini tidak akan menjadi isu atau tidak perlu diisukan kerana konsep ini telah lama diperkenalkan KPM,pekeliling serta peruntukan kewangan telah ditetapkan oleh KPM.Oleh yang demikian,mana-mana guru yang terlibat dengan redeployment perlu terbuka dan bersedia menerima arahan perkhidmatan  demi kepentingan peningkatan kerjaya guru itu sendiri dan impak perkhidmatan mereka bagi memajukan pendidikan anak bangsa.

Friday, September 24, 2010

MRSM buka permohonan kemasukan Isnin ini

KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan membuka pengambilan pelajar tingkatan empat sesi 2011 bermula Isnin ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Ibrahim Ahmad.

Beliau berkata, sebanyak 3,232 tempat disediakan di 43 MRSM seluruh negara.

"Permohonan boleh dibuat secara talian dengan percuma," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ibrahim berkata, pemohon perlu mendapatkan no PIN daripada semua pejabat Mara atau MRSM berdekatan dengan membawa salinan keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 dan salinan kad pengenalan yang telah disahkan serta angka giliran PMR.

"Pemohon-pemohon yang membawa keputusan percubaan PMR mestilah menunjukkan mereka memenuhi syarat iaitu lulus Matematik dan Sains.

“Bagaimanapun syarat kemasukan masih sama iaitu sekurang-kurangnya pemohon mendapat 6A 2B dan mendapat gred A dalam Matematik dan Sains," katanya.

Tawaran kemasukan ke MRSM itu bagaimanapun tidak dibuka kepada pelajar yang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI).
Tarikh tutup permohonan menerusi talian ialah pada 21 Oktober ini manakala bagi permohonan melalui borang dan dokumen berkaitan, tarikh tutup ialah pada 26 Oktober.

Pemohon turut dinasihati supaya membuat permohonan lebih awal dan tidak menunggu sehingga tarikh tutup bagi mengelak kesesakan talian.
Untuk maklumat lanjut pemohon boleh layari laman web Mara di http://www.mara.gov.my. - Bernama

Renungan Jumaat - Puasa Enam Hari di bulan Syawal

Rasulullah SAW bersabda (yang artinya) : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun” (Hadis Riwayat Imam Muslim. Kitab Puasa).

Hadis ini menjadi hujjah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal setelah menunaikan puasa bulan Ramadhan sebulan penuh.
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesehatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan beristirahat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari sesudahnya, apakan lagi amalan masyarakat kita suka mengadakan kenduri pada musim-musim perayaan. Pada hari raya, ia mencerna pelbagai jenis makanan mulai dari ketupat rendang sampai nasi yang mengandung minyak. Oleh karena itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk beristirahat dan bertugas secara berangsur-angsur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba Allah SWT, alangkah baiknya apabila amalan puasa yang diwajibkan kepada kita di bulan Ramadhan itu kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun hanya enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahwa kita tidak melakukan ibadah puasa semata-mata karena ia menjadi satu kewajiban tetapi karena rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Bukankah ibadah puasa ini menurut hadis sebenarnya mengekang nafsu syahwat ?

Di dalam hadis di atas, Rasulullah SAW menyatakan bahwa puasa enam hari setelah bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama menguraikan rahasia di balik ganjaran tersebut dengan menyampaikan dalil bahwa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali lipat. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, sedangkan puasa enam hari di bulan Syawal juga diganjari dengan 60 hari. Jika diperkirakan jumlahnya 360 hari, jumlah ini hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360-365! Subhanallah. Dan sesungguhnya Allah berhak untuk memberikan ganjaran sebanyak yang dikehendakiNya.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa yaitu puasa qadha’ dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu? Syeikh Atiyyah Saqr, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar ketika ditanya tentang persoalan ini menyatakan bahwa sudah cukup bagi seorang yang ingin melakukan puasa qadha’ dan puasa enam dengan berniat puasa qadha’ dibulan Syawal, dan ia akan diganjari dengan dua ganjaran sekaligus seandainya dia bertujuan demikian dengan syarat dia perlu mendahulukan niat puasa qadha’ terlebih dahulu. Ini adalah karena puasa qadha’ adalah wajib sedangkan puasa enam adalah sunat.

Kebanyakan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha’ sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, tetapi pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berniat kedua-duanya. Di dalam kitab As-Syarqawi ‘Alat Tahrir yang ditulis oleh Syeikh Zakaria Al-Ansori dinyatakan bahwa jika seseorang berpuasa qadha’ yang tertinggal di bulan Ramadhan atau bulan selainnya, atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, maka ia akan tetap diganjari dengan pahala puasa enam sekalipun ia tidak berniat bahkan jika ia tidak mengetahui sekalipun tentang puasa enam. Ini adalah karena ia telah memenuhi maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal. Namun, pahala yang diperolehi tentulah kurang daripada orang yang berniat kedua-duanya sekaligus. Beliau mengambil contoh salat tahiyyatul masjid, jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan salat fardhu bersama jemaah atau sendiri, maka dia akan diganjari dengan dua pahala sekaligus yaitu bersama pahala salat tahiyyatul masjid. Ini adalah karena maksud salat tahiyyatul masjid ialah seseorang bersalat begitu memasuki masjid sebelum ia duduk.

Namun, kebanyakan ulama berpendapat bahwa sekalipun pahala puasa enam bersama puasa qadha’ akan diganjari bersama-sama puasa yang satu, seseorang yang melakukan kedua-duanya secara terpisah tetap akan mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT. Ini adalah karena sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyak amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajiban dengan yang menjadi anjuran tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba mencari rida Tuhannya.

Persoalan selanjutnya, bagaimanakah jika seseorang khususnya wanita ingin berpuasa secara terpisah di antara puasa enam dan puasa qadha’, yang manakah yang sewajarnya didahulukan? Adakah di dalam kasus ini kaedah mendahulukan yang wajib dipakai? Syeikh Jaafar Ahmad Tolhawi, salah seorang ulama al-Azhar, menyatakan, puasa enam seharusnya didahulukan karena ia hanya boleh diamalkan di dalam bulan Syawal saja.

Adapun puasa qadha’, seseorang itu bebas melakukan di dalam waktu 10 bulan berikutnya sebelum tibanya bulan Ramadhan yang akan datang. Ini bertepatan dengan amalan Ummul Mukmin Aisyah RA yang berpuasa qadha’ di bulan Sya’ban dan diakui oleh Rasulullah SAW dan dikira sebagai sunnah taqririyyah. Namun, jika ia menggabungkan kedua-duanya sekaligus, ia juga diharuskan.

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama melakukan ibadat puasa enam yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ini. Apakah ingin menggabungkan puasa enam dengan puasa yang lain atau ingin melakukannya secara terpisah, itu terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan yang ada pada diri kita. Yang penting ialah kita ingin ia menjadi saksi di hadapan Allah SWT nanti sebagai tanda bahwa diri ini benar-benar ingin mencari dan memburu keridaanNya. Semoga kita dimasukkan di dalam golongan orang-orang yang mendapat keberhasilan di dunia dan di akhirat kelak. Amin.

Sumber : http://www.jaring.my/weblog/

Wednesday, September 22, 2010

23,533 calon Terengganu duduki UPSR di 371 pusat peperiksaan



Ragam calon UPSR dari SK Paya Bunga menduduki peperiksaan itu semalam di dalam sebuah kelas. Sekolah yang terletak di tengah bandar raya Kuala Terengganu itu hanya terdiri daripada 82 murid dari tahun 1 hingga tahun 6.



KUALA TERENGGANU 21 Sept. - Seramai 23,533 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menduduki peperiksaan yang bermula hari ini di 371 buah pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong berkata, sebanyak 359 pusat adalah sekolah rendah kebangsaan dengan calon seramai 22,813 orang manakala 11 pusat lagi adalah di Sekolah Jenis Kebangsaan China (472 calon) dan sebuah sekolah swasta (248 calon).

Menurut beliau, terdapat dua calon terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kerana menerima rawatan disebabkan demam.
Beliau memberitahu, bilangan calon yang menduduki peperiksaan itu kali ini sedikit berkurangan berbanding 23,945 calon tahun lalu.

UPSR yang dijalankan serentak di seluruh negara akan berakhir Khamis ini.
Katanya, hasil lawatan dan pemantauan pegawai pelajaran daerah dan penyelia kawasan di seluruh negeri, peperiksaan pada hari ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Ariffin menjangkakan Terengganu akan terus mencatatkan pencapaian yang cemerlang dalam UPSR sebagaimana tahun-tahun sebelumnya sejak sembilan tahun lalu.

''Lebih 27 peratus daripada jumlah calon yang menduduki peperiksaan tersebut mendapat 5A dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini,'' katanya

Menurut beliau, berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan itu, pihaknya menjangkakan anak-anak negeri ini berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 20 peratus atau kira-kira 4,500 calon UPSR mendapat 5A tahun ini.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Sunday, September 19, 2010

Majlis Sambutan Hari Raya Unit Sekolah Rendah ..

Telah menjadi tradisi walaupun hari raya telah seminggu berlalu namun majlis sambutan hari raya atau rumah terbuka akan terus diadakan sehingga berakhirnya Syawal.Begitulah uniknya sambutan hari raya di negara kita sama ada oleh individu,syarikat,ngo ataupun pejabat di pelbagai peringkat.

Hari ini,kami di Unit Penyeliaan Sekolah Rendah juga mengadakan majlis Sambutan Hari Raya secara sederhana bersama rakan-rakan Sektor Pengurusan Sekolah yang lain serta rakan-rakan sejabatan. Pelbagai kuih-muih raya disediakan yang kebanyakannya dibawa oleh kakitangan Unit Penyeliaan Sekolah Rendah. Selain itu ada juga sate,laksa dan lain-lain.

Turut memeriahkan sambutan hari raya unit kami ialah kehadiran Pengarah,Timbalan Pengarah ,Ketua-Ketua Sektor,Pegawai dan staf dari pelbagai sektor . Walaupun sederhana tetapi meriah.

Kepada yang tidak sempat atau terlepas pandang jemputan kami memohon berbanyak maaf. Jangan lupa Majlis Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Raya Peringkat Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu pada 26 September 2010 nanti.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Friday, September 17, 2010

Keputusan UPSR dijangka terbaik


KUALA TERENGGANU 15 Sept. - Terengganu percaya ia mampu mencatatkan pencapaian kemuncaknya dalam tempoh 10 tahun bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila lebih 27 peratus daripada 22,799 calon pada tahun ini mendapat 5A dalam ujian percubaan baru-baru ini.Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia merupakan pencapaian ujian percubaan UPSR tertinggi sejak 2007 iaitu sebanyak 21.46 peratus calon mencapai 5A.

Katanya, hanya 18.11 peratus calon UPSR mencapai 5A dalam ujian percubaan bagi 2009 manakala 19.08 peratus pada tahun sebelum itu.

Menurut beliau, berdasarkan keputusan ujian percubaan baru-baru ini, pihaknya menjangkakan anak-anak negeri berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 20 peratus atau kira-kira 4,500 calon UPSR mencapai 5A tahun ini.

''Keputusan UPSR tahun ini dijangka merupakan yang terbaik dengan lebih 6,000 calon UPSR mencapai 5A dalam ujian percubaan.

''Insya-Allah dengan keputusan itu, kita berharap dapat mengekalkan kejayaan yang dicapai sebelum ini iaitu pencapaian keputusan terbaik berbanding negeri lain sebanyak sembilan kali berturut-turut," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai selepas kerajaan negeri melaksanakan beberapa program tambahan dalam bidang pendidikan termasuk pelaksanaan penggunaan komputer bimbit e-Book di sekolah rendah.

''Semua perancangan kerajaan negeri dalam bidang pendidikan terutama program e-Book kini membuahkan hasil. Keputusan UPSR ini akan menunjukkan segala usaha kerajaan negeri bukan sia-sia kepada rakyat.
Kerajaan negeri juga sedang merangka beberapa program baru dalam meneruskan meningkatkan pencapaian dalam semua peperiksaan utama pada tahun depan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga menjangka bakal mencatatkan kecemerlangan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Tambahnya, ini kerana mereka yang mencapai kecemerlangan dalam UPSR pada 2007 akan menduduki pula PMR pada tahun ini.

''Para pelajar yang sama juga akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi yang akan membolehkan Terengganu mencatatkan pula kejayaan cemerlang dalam peperiksaan itu.
''Dengan kejayaan ini, Kita akan terus mencapai kecemerlangan dalam SPM buat kali ketiga berturut-turut," katanya.

Justeru, katanya, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri dalam bidang pendidikan dengan memberi penekanan dari sekolah kini membuahkan hasil.

''Melalui pendekatan ini, dengan kecemerlangan dalam bidang pendidikan, kita yakin dapat mempercepatkan usaha mengubah sosioekonomi rakyat Terengganu,'' ujarnya

Sumber : Utusan Malaysia Online

Monday, September 13, 2010

7 Tips Persediaan Menghadapi Peperiksaan

Mulai minggu hadapan iaitu 21 hingga 23 September 2010 akan bermula peperiksaan UPSR bagi tahun ini.Kemudiaan diikuti dengan PMR,SPM dan STPM.Kemungkinan juga UPSR dan PMR tahun ini adalah tahun terakhir dilaksanakan jika kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan tersebut.

Ketakutan,kegusaran dan tekanan menghadapi peperiksaan adalah situasi yang normal bagi calon atau pelajar yang akan menduduki peperiksaan walaupun mereka telah membuat persediaan yang cukup.Pastinya telah banyak petua dan panduan yang telah diberi oleh para guru,ibubapa atau kaunselor.Semuanya kerana kita mahu semua calon yang akan menghadapi peperiksaan  mempunyai persediaan mental (ilmu),fizikal dan spritual serta mampu menjawab soal dengan tepat berkesan di mana akhirnya meraih kejayaan yang cemerlang. 

Sebagai peneguhan dan pengukuhan terhadap teknik dan petua sedia ada berikut saya perturunkan tujuh tips yang boleh dimanafaatkan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

1. Semak jadual 

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.
Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.
Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.
Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.

Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.
Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir. Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.

Sunday, September 12, 2010

Bersama bangunkan negeri

KUALA TERENGGANU 11 Sept. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta rakyat Terengganu yang tinggal di luar negeri untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam membangunkan negeri ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri memerlukan bantuan rakyat untuk menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat sendiri termasuk dalam membawa pembangunan di negeri ini.

‘‘Berilah kerjasama dan buah fikiran serta pandangan kepada kerajaan negeri dalam membantu membangunkan Terengganu selain menyediakan khidmat terbaik untuk rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Perantau di sini hari ini.

Beliau berkata, Terengganu telah berjaya mencatatkan beberapa kejayaan yang membanggakan sebelum ini terutama dalam bidang pendidikan.

‘‘Kita berjaya mencatatkan keputusan terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama sembilan tahun berturut-turut selain keputusan terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dua tahun berturut-turut.

‘‘Terbaru, kita buat pertama kalinya berjaya mencatatkan keputusan terbaik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berbanding negeri lain,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 7,654 anak Terengganu juga berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta pada tahun ini.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM140 juta untuk disalurkan dalam bidang pendidikan pada tahun ini.

Ahmad menambah, kerajaan negeri juga akan membiayai seramai 56 anak Terengganu ke Moscow, Rusia dan 48 lagi ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran pada tahun ini.

‘‘Jumlah pelajar yang akan dihantar ke luar negara pada tahun ini adalah meningkat berbanding tahun lalu iaitu seramai 49 orang,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM1.7 bilion untuk membina 12,000 rumah menjelang 2013.

‘‘Sebanyak 6,500 buah rumah akan mula dibina pada tahun ini manakala selebihnya dijangka dimulakan pada tahun depan,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Thursday, September 9, 2010

Sunday, September 5, 2010

Kisah Pengemis dan Isteri Cantik

AL-KISAH, pada suatu hari sepasang suami isteri yang hidup mewah didatangi seorang pengmis ketika mereka sedang enak menjamu selera di rumahnya. Pengemis yang berpakaian lusuh dan kelihatan tidak bersih itu merayu diberikan sedikit makan untuknya.

“Tolonglah encik, saya sangat lapar. Sejak kelmarin saya tidak menjamah sebarang makanan.”

Dengan muka bengis dan marah, si suami menjeling ke arah isterinya yang cantik sambil menghalau dan mengherdik lelaki meminta sedekah itu.

“Aku membina perniagaan hingga berjaya seperti sekarang ini bukan untuk orang lain melainkan untuk diriku dan keluargaku sahaja. Segalanya adalah kerana usahaku. Aku tidak malas seperti engkau yang hanya tahu meminta-minta. Pergi kau dari rumahku ini.”

Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa terhadap tindakan suaminya itu, walaupun di dalam hatinya ada rasa kasihan dan ada niat untuk bersedekah kepada lelaki ini. Dia takut dimarahi oleh suaminya jika memberikan makanan kepada lelaki itu.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami merosot dan dia jatuh muflis. Kehidupan keluarga itu jadi miskin. Kerana amat tertekan dengan kemiskinan yang menimpanya, si suami menceraikan isterinya yang cantik dan sangat dikashihinya itu kerana tidak mahu isterinya menderita sebab dirinya miskin.

Pada suatu hari, ketika si isteri bersama suami barunya sedang menghadap makanan di rumahnya, tiba-tiba datang seorang pengemis mengetuk pintu sambil bersuara meminta belas kasihan. Mendengarkan rayuan itu, si suami mempersilakan si pengemis masuk dan menyuruh si isteri menyediakan makanan yang sama seperti apa yang sedang mereka makan.

Setelah memberikan makanan kepada pengemis itu, si isteri menekup mukanya sambil menangis teresak-esak. Si suami berasa hairan. Belum pun sempat dia bertanya, si isteri mengadu kepada suami barunya bahawa lelaki peminta sedekah itu adalah bekas suaminya yang dahulu pernah menengking seorang pengemis.

Mendengarkan penjelasan isterinya, si suami dengan tenang berkata, “Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengkingnya dahulu.”

Kisah ini memberikan pengajaran bahawa kehidupan manusia di muka bumi ini bagaikan putaran roda. Ada masanya kita turun dan ada ketikanya kita akan naik semula.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “ Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan.”

Sementara hadis yang diriwayatkan Anas pula, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaanmu, barangsiapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barangsiapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya.”

Friday, September 3, 2010

Salam Aidil Fitri,Maaf Zahir Batin Daripada Kami


Renungan Jumaat - Zakat Fitrah

PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
 
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
 
Zakat Fitrah juga dikenali sebagai Zakat Diri dan Zakat Ramadan/Fitri. Zakat Fitrah diwajibkan pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun diwajibkan puasa dalam bulan Ramadan. 

Zakat Fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa dari perkataan-perkataan keji dan buruk yang mereka lakukan sewaktu berpuasa dan untuk menjadi makanan kepada orang yang miskin.

"Sesungguhnya Rasulullah (saw) telah mewajibkan Zakat Fitrah, pada bulan Ramadan satu sa’ kurma atau satu sa’ gandum pada setiap orang yangmerdeka, hamba, lelaki atau perempuan dari kaum Muslim." [Ibn Umar]

SYARAT WAJIB ZAKAT
 
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
 
Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
 
Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
 
Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
 
Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.


Zakat Fitrah adalah waji bagi seseorang dan orang-orang yang ditanggungnya seperti isterinya, anak-anak yang belum baligh dan ibu-bapanya. Jika dia mempunyai masalah dan tidak mampu membayar Zakat Fitrah untuk dirinya dan tanggungannya, tanggungannyaboleh menunaikan Zakat Fitrah untuk diri mereka dan juga untuknya dengan keizinannya.Yang penting adalah pembayaran Zakat Fitrah telah dilaksanakan untuk setiap individu







MASA UNTUK MEMBAYAR ZAKAT FIRAH

Zakat  Fitrah boleh ditunaikan sepanjang bulan Ramadhan tetapi sebelum bermulanya Sembahyang Hari Raya Aidil Fitri. Jika ia dibayar selepas solat Hari Raya Aidil Fitri dia telah menjadi sedekah biasa


8 GOLONGAN PENERIMA (ASNAF) ZAKAT

Tidak seperti sedekah secara biasa, penerima Zakat telah
ditetapkan oleh Allah (S.W.T) dalam Surah At-Taubah, ayat 60.
8 golongan penerima ini dikenali sebagai 8 asnaf:

Fakir 
Seseorang yang tidak mempunyai harta mahupun mata pencarian; yang sangat sengsara, yang tidak mempunyai apa-apa untuk menampung keperluan harian.

Miskin 
Seseorang yang tidak mempunyai mata pencarian yang mencukupi untuk menampung keperluan asas harian.

Amil 
Seseorang yang dilantik untuk memungut Zakat dan perbelanjaan yang berkaitan dengan urusan Zakat.

Muallaf 
Seseorang yang baru memeluk agama Islam.

Riqab
Seseorang yang mahu membebaskan dirinya daripada perhambaan. Di Singapura kategori ini dibelanjakan
untuk mereka yang memerlukan bantuan meneruskan pendidikan.

Gharimin 
Seseorang yang terpaksa berhutang untuk menampung keperluan asasnya.

Fisabilillah 
Seseorang yang berjuang kerana Allah demi kebaikan masyarakat.

Ibnussabil Musafir
yang terkandas dalam perjalanan.



Wednesday, September 1, 2010

Majlis Berbuka Puasa Sektor Pengurusan Sekolah

Petang tadi Sektor Pengurusan Sekolah,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Kafeteria,JPN Terengganu. Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Pelajaran Terenganu dan isteri,Ketua Sektor Pengurusan Sekolah,KPP Sektor dan isteri ,semua ketua unit,pegawai dan staf unit-unit di bawah Sektor Pengurusan Sekolah bersama ahli keluarga masing-masing.Sambutan ahli keluarga Sektor Pengurusan Sekolah sungguh memberangsangkan hingga tempat duduk kafeteria tidak mencukupi.Pada hemat saya inilah satu aktiviti warga JPN yang dikira sangat berjaya. Tahniah.

Sebelum majlis itu,bacaan yasin dan tahlil telah diadakan di surau JPN Terengganu. Pegawai dan staf bersama ahli keluarga telah turut sama mengambil bahagian. Majlis bacaan yasin dan tahlil telah dipimpin oleh En.Ibrahim bin Abdul Rahman,Guru Besar,SK Merang yang merupakan bekas pegawai di Unit Penyeliaan Sekolah Menengah.Beberapa bekas kakitangan yang bertukar ke tempat lain turut dijemput memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Sesungguhnya majlis ini bukan sahaja dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan antara anggota keluarga Sektor Pengurusan Sekolah tetapi lebih bermakna lagi Majlis Berbuka Puasa Sektor Pengurusan Sekolah ini adalah majlis berbuka puasa terakhir Pengarah dan Ketua Sektor bersama anggota Sektor Pengurusan Sekolah kerana pada bulan Oktober depan kedua-dua mereka akan bersara wajib daripada perkhidmatan.
Bagi pihak Sektor Pengurusan Sekolah kita merakam setinggi penghargaan terima kepada Pengarah dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah yang sudi bersama kita di majlis yang amat bermakna ini.