Sunday, September 12, 2010

Bersama bangunkan negeri

KUALA TERENGGANU 11 Sept. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta rakyat Terengganu yang tinggal di luar negeri untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam membangunkan negeri ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri memerlukan bantuan rakyat untuk menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat sendiri termasuk dalam membawa pembangunan di negeri ini.

‘‘Berilah kerjasama dan buah fikiran serta pandangan kepada kerajaan negeri dalam membantu membangunkan Terengganu selain menyediakan khidmat terbaik untuk rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Perantau di sini hari ini.

Beliau berkata, Terengganu telah berjaya mencatatkan beberapa kejayaan yang membanggakan sebelum ini terutama dalam bidang pendidikan.

‘‘Kita berjaya mencatatkan keputusan terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama sembilan tahun berturut-turut selain keputusan terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk dua tahun berturut-turut.

‘‘Terbaru, kita buat pertama kalinya berjaya mencatatkan keputusan terbaik dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berbanding negeri lain,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 7,654 anak Terengganu juga berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta pada tahun ini.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM140 juta untuk disalurkan dalam bidang pendidikan pada tahun ini.

Ahmad menambah, kerajaan negeri juga akan membiayai seramai 56 anak Terengganu ke Moscow, Rusia dan 48 lagi ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran pada tahun ini.

‘‘Jumlah pelajar yang akan dihantar ke luar negara pada tahun ini adalah meningkat berbanding tahun lalu iaitu seramai 49 orang,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM1.7 bilion untuk membina 12,000 rumah menjelang 2013.

‘‘Sebanyak 6,500 buah rumah akan mula dibina pada tahun ini manakala selebihnya dijangka dimulakan pada tahun depan,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment