Wednesday, September 22, 2010

23,533 calon Terengganu duduki UPSR di 371 pusat peperiksaan



Ragam calon UPSR dari SK Paya Bunga menduduki peperiksaan itu semalam di dalam sebuah kelas. Sekolah yang terletak di tengah bandar raya Kuala Terengganu itu hanya terdiri daripada 82 murid dari tahun 1 hingga tahun 6.



KUALA TERENGGANU 21 Sept. - Seramai 23,533 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menduduki peperiksaan yang bermula hari ini di 371 buah pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong berkata, sebanyak 359 pusat adalah sekolah rendah kebangsaan dengan calon seramai 22,813 orang manakala 11 pusat lagi adalah di Sekolah Jenis Kebangsaan China (472 calon) dan sebuah sekolah swasta (248 calon).

Menurut beliau, terdapat dua calon terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kerana menerima rawatan disebabkan demam.
Beliau memberitahu, bilangan calon yang menduduki peperiksaan itu kali ini sedikit berkurangan berbanding 23,945 calon tahun lalu.

UPSR yang dijalankan serentak di seluruh negara akan berakhir Khamis ini.
Katanya, hasil lawatan dan pemantauan pegawai pelajaran daerah dan penyelia kawasan di seluruh negeri, peperiksaan pada hari ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Ariffin menjangkakan Terengganu akan terus mencatatkan pencapaian yang cemerlang dalam UPSR sebagaimana tahun-tahun sebelumnya sejak sembilan tahun lalu.

''Lebih 27 peratus daripada jumlah calon yang menduduki peperiksaan tersebut mendapat 5A dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini,'' katanya

Menurut beliau, berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan itu, pihaknya menjangkakan anak-anak negeri ini berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 20 peratus atau kira-kira 4,500 calon UPSR mendapat 5A tahun ini.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment