Friday, September 17, 2010

Keputusan UPSR dijangka terbaik


KUALA TERENGGANU 15 Sept. - Terengganu percaya ia mampu mencatatkan pencapaian kemuncaknya dalam tempoh 10 tahun bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila lebih 27 peratus daripada 22,799 calon pada tahun ini mendapat 5A dalam ujian percubaan baru-baru ini.Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia merupakan pencapaian ujian percubaan UPSR tertinggi sejak 2007 iaitu sebanyak 21.46 peratus calon mencapai 5A.

Katanya, hanya 18.11 peratus calon UPSR mencapai 5A dalam ujian percubaan bagi 2009 manakala 19.08 peratus pada tahun sebelum itu.

Menurut beliau, berdasarkan keputusan ujian percubaan baru-baru ini, pihaknya menjangkakan anak-anak negeri berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 20 peratus atau kira-kira 4,500 calon UPSR mencapai 5A tahun ini.

''Keputusan UPSR tahun ini dijangka merupakan yang terbaik dengan lebih 6,000 calon UPSR mencapai 5A dalam ujian percubaan.

''Insya-Allah dengan keputusan itu, kita berharap dapat mengekalkan kejayaan yang dicapai sebelum ini iaitu pencapaian keputusan terbaik berbanding negeri lain sebanyak sembilan kali berturut-turut," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai selepas kerajaan negeri melaksanakan beberapa program tambahan dalam bidang pendidikan termasuk pelaksanaan penggunaan komputer bimbit e-Book di sekolah rendah.

''Semua perancangan kerajaan negeri dalam bidang pendidikan terutama program e-Book kini membuahkan hasil. Keputusan UPSR ini akan menunjukkan segala usaha kerajaan negeri bukan sia-sia kepada rakyat.
Kerajaan negeri juga sedang merangka beberapa program baru dalam meneruskan meningkatkan pencapaian dalam semua peperiksaan utama pada tahun depan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga menjangka bakal mencatatkan kecemerlangan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Tambahnya, ini kerana mereka yang mencapai kecemerlangan dalam UPSR pada 2007 akan menduduki pula PMR pada tahun ini.

''Para pelajar yang sama juga akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi yang akan membolehkan Terengganu mencatatkan pula kejayaan cemerlang dalam peperiksaan itu.
''Dengan kejayaan ini, Kita akan terus mencapai kecemerlangan dalam SPM buat kali ketiga berturut-turut," katanya.

Justeru, katanya, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri dalam bidang pendidikan dengan memberi penekanan dari sekolah kini membuahkan hasil.

''Melalui pendekatan ini, dengan kecemerlangan dalam bidang pendidikan, kita yakin dapat mempercepatkan usaha mengubah sosioekonomi rakyat Terengganu,'' ujarnya

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment