Thursday, September 30, 2010

MESYUARAT PENILAIAN PERANCANGAN PENGURUSAN 2010 DAN PERANCANGAN 2011 SEKTOR PENGURUSAN SEKOLAH

Bermula 27 hingga 29 September 2010, Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) telah mengadakan Mesyuarat Penilaian Perancangan Pengurusan 2010 dan Perancangan 2011 bertempat di Rumah Peranginan Persekutuan, Pulau Sah Besar, Tasik Kenyir. Mesyuarat selama 3 hari ini telah dipengerusikan sendiri oleh Tuan Ketua Sektor, YM Tengku Anuar bin Tengku Dalam. 

Kesemua empat unit di SPS terlibat dalam mesyuarat penting ini. Pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun 2010 dinilai semula dan dibuat pengubahsuaian berdasarkan pelaksanaan sebenar. Manakala perancangan tahun 2011 dirangka dalam sesi perbengkelan yang dipecahkan mengikut unit.

Selain daripada itu, setiap orang pegawai diwajibkan merangka 3 Key Performance Indicator (KPI) yang akan menjadi instrument ke arah mencapai Sasaran Kerja Tahunan. Mesyuarat ini juga dihadiri oleh 2 orang pegawai dari setiap PPD dan mereka juga turut terlibat dalam perbengkelan merancang aktiviti tahun 2011 di peringkat masing-masing.

Yang berbahagia Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu turut serta bersama Tuan Ketua Sektor menyampaikan ucap utama pada slot pertama mesyuarat. Dalam majlis yang juga berupa pertemuan rasmi terakhir warga SPS bersama Tuan Pengarah ini, kesempatan digunakan oleh kedua-dua pemimpin ini untuk mengimbau kembali sejarah zaman mereka bergelar pelajar dan mahasiswa. Tidak ketinggalan laluan kerjaya masing-masing dikongsi bersama dengan ahli mesyuarat yang disampaikan dalam bentuk renungan dan dorongan kepada semua warga SPS.

Antara pesanan penting yang disampaikan oleh Pengarah ialah:
1.       Menyeru kepada semua warga SPS sentiasa berada dalam arus perdana. Tindak tanduk sengaja mengelakkan diri daripada terlibat secara bersungguh-sungguh dalam tugas utama dan sampingan pada heirarki tugas dan fungsi masing-masing bakal menggagalkan keberkesanan jabatan.
2.       Sentiasa meletakkan diri masing-masing untuk melaksanakan tugas dan fungsi sebagaimana dinyatakan dalam Fail Meja setiap pegawai.
3.       Mengingatkan semua warga SPS bahawa semua kerja dan tugas yang dilaksanakan bakal berdepan dengan rintangan atau cabaran.
4.       Sentiasa mengamalkan tindakan yang betul dengan cara yang betul.
5.       Sentiasa menjunjung maruah organisasi  jabatan pelajaran, Sektor Pengurusan Sekolah dan unit masing-masing.

Manakala Tuan Ketua Sektor begitu bersemangat menyampaikan mutiara pesanan yang diterjemahkan daripada hasil pemikiran tajam beliau. Lalu mesyuarat kali ini menjadi medan bagi beliau menggarapkan kembali strategi dan gaya  pengurusan SPS di bawah pimpinannya. Melatari ruang ucapannya, prinsip taqwa dan berserah kepada Allah s.w.t dijadikan medium ucapannya. 

Beliau membuka minda semua warga SPS dengan maksud CINTA ALLAH yang sepatut-patutnya dicari oleh semua orang dalam melaksanakan tugas. Semua ini dilontarkan kepada semua ahli mesyuarat  hasil daripada pemikiran mendalam beliau selama tempoh menerima ujian daripada-Nya. Tidak lupa mengajak kepada semua anak buahnya supaya mengamalkan budaya berfikir. Berfikir tentang nikmat yang Allah kurniakan. Menurut beliau, berfikir sehari lebih baik daripada beribadat setahun. 

Beliau juga tidak putus-putus menzahir rasa bersyukur kepada Allah s.w.t kerana diberi para pengikut atau pegawai yang amat kuat member sokongan khususnya semasa sakit tidak lama dulu. Mengimbau kembali sejarah perkhidmatan selama lebih 34 tahun dalam dunia pendidikan dan memegang pelbagai jawatan, falsafah mudah yang dititskan ialah ‘be the best, do the best’.


Dicatat oleh:
En.Kamal bin Abdullah
PP Guru,Unit Pengurusan Sekolah Rendah

No comments:

Post a Comment