Wednesday, December 31, 2014

Majlis Penyerahan Tugas dan Meraikan Pertukaran Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri

KUALA TERENGGANU - Hari ini Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah mengadakan majlis khas di Hotel Primula, Kuala Terengganu bagi upucara penyerahan tugas dan meraikan pertukaran En. Hashim bin Mohd Zin, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.

Majlis berkenaan dihadari oleh Ketua-Ketua Sektor, Timbalan Ketua Sektor, Ketua-Ketua Unit, Pegawai Pendidikan Daerah, BTPN Terengganu, Majlis Guru Besar Negeri Terengganu, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Cawangan Terengganu dan beberapa pegawai dari JPN dan PPD.

Majlis bermula dengan penyerahan dokumen tugas kepada En. Zakaria Husin, Pengarah Pendidikan Negeri daripada En. Hashim bin Mohd Zin. Selepas itu ucapan oleh En, Nasir Ismail, mantan Ketua Sektor ICT yang bertukar atas kenaikan pangkat di Mampu, dikuti oleh Timbalan Pengarah dan kemudiannya ucapan oleh Pengarah Pendidikan Negeri. Pengarah dalam ucapannya melahir rasa bangga kerana antara begitu ramai pegawai Timbalan Pengarah Terengganu yang dipilih oleh KPM.

En. Hashim Mohd Zin, Timbalan Pengarah Negeri ditukarkan ke Putrajaya sebagai Timbalan Ketua Nazir Sekolah (Dasar) di Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pendidikan. Sebelum itu Persatuan Pengelola Sekolah Terengganu telah meraikan beliau dalam majlis meraikan ahli-ahli pengelola yang bersara. Satu majlis perjumpaan dengan semua kakitangan jabatan telah diadakan di Lobi Jabatan Pendidikan sebelum majlis di Perimula Hotel.

Majlis diakhir dengan upacara bergambar kenang-kenangan dengan Timbalan Pengarah Pendidikan.

Siapakah penganti Timbalan Pengarah kita tunggu!!!

Tuesday, December 30, 2014

Kenyataan Rasmi USR Blogger Team

KENYATAAN RASMI USR BLOGGER TEAM

Kami telah menerima feedback dan maklumbalas dari pelbagai pihak
pagi tadi mengenai justifikasi pertukaran dua orang GPK dari daerah Hulu 
Terengganu iaitu Cikgu Shahidan bin Abu PK Hem Binjai Kertas yang ditukarkan
sebagai PK Hem SK Padang Setenge dan Cikgu Faizo bin Mat PK Hem Felda Jerangau 
Barat ditukar sebagai PK Hem SK Seri Buluh, H.Trg dan telah membuat semakan.

Apabila menyemak kami terkejut di atas kesilapan berkaitan kerana tidak pernah
justifikasi demikian dikemukakan oleh PPD Hulu Terengganu atau Jabatan. Kemungkinan 
berlaku kesilapan "copy and paste" dari isu atau kes lain semasa penyediaan borang sepadu ini.Lagipun adalah tidak logik  jika justifikasi demikian mereka digerakkan
ke sekolah yang lebih dekat dan di dalam daerah yang sama. Kami telah memperbetulkan kesilapan serta-merta.

Kami dari USR Blogger Team melahirkan rasa kesal atas kesilapan itu dan memohon
berbanyak maaf kepada dua GPK terbabit serta Ketua PPD Hulu Terengganu, Timbalan PPD Hulu Terengganu dan anggota Panel PPD Hulu Terengganu. Kami berjanji akan menyemak dengan teliti segala maklumat dan perkara yang dipostkan tepat dan betul.

Kami doakan PPD Hulu Terengganu akan lebin terbilang dengan kepimpinan PPD dan sekolah yang ada.

Terima kasih

Admin
USR Blogger Team





Puisi : Menyelak Tabir Musibah



MENYELAK  TABIR MUSIBAH

Setelah terkurung dalam kamar tanggapan
dan melihat titis hujan bah dari anjung tradisi
sebagai musibah kifarat dosa-dosa manusia
dan tanda murka pencipta pada sang durhaka
selakkan tabir musibah seluas sarwajagat
melihat kasih dari celah tragedi dasyat
dengan akal bijaksana seraut makrifat

Tidakkah kau dengar gemersik titis jatuh
pengucapan bahasa cinta-Nya kepada kita
dengan deru iradat mahakudrat meneriak
gelombang peringatan siapa mahaberkuasa
setelah kita sekian lama mabuk dan alpa
mencatur ego dan kuasa sementara

Musibah menerpa mencuci daki dunia
jua daki dosa bakhil kita kepada manusia
lalu Dia berikan kesempatan ini untuk kita
menebus peluang berbuat kebajikan
bersedekah dan berikan bantuan seikhlasnya
mereka mangsa itu adalah saudara kita

Selaklah di balik gelombang air bah itu
Dia menzahirkan kasih dalam tragedi
segala hedonisme tahun baru ranap
setidaknya tertutup satu pintu maksiat
tiada remaja bermukah dalam hanyir
tiada anak luar nikah yang lahir

Siapa duga masjid surau yang sunyi
tiba-tiba menjadi sibuk berwarna-warni
dengan solat hajat, bacaan yasin dan tahlil
Dia menghantar musibah buat kita mengerti
jangan menyisih amal untuk bekal kembali

Dengan kasih dan rahmat-Nya dalam musibah
semua pemimpin tanpa mengira parti siasah
turun dan turut sama membantu rakyat susah
menyatu gerak sehasrat kerjasama sehaluan
nasib rakyat diutama dan didahulukan
nanti rakyat juga menilai dan mengerti
siapakah pemimpin bakal kekal atau diganti

Demikianlah jika kita menyelak tabir musibah
dengan iman dan akal bestari yang indah
kita melihat kasih Allah di dalam susah
kita melihat cinta Allah pada kita dan negara
reda dan sabarlah dengan detik sukar
mungkin musibah ini ujian dari Azawajalla
untuk mengelak musibah yang lebih besar.

Lara MN
Kuala Terengganu.
29122014

Motivasi : 'Reset minda' pekerja yang hebat



Oleh : Dr. Muhaya Muhamad 

Bagaimanakah pemikiran ‘Reset Minda,’ yang memfokuskan kepada kekuatan minda bawah sedar/minda segar membantu dalam pekerjaan? Bayangkan de­ngan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’, kita bekerja dengan bersungguh-sungguh, sentiasa memberi perkhidmatan lebih daripada biasa, sebab kita bekerja dengan niat kerana Allah dan tempat kerja itu adalah ladang pahala kita. 

Sebagai pekerja, tiga perkara yang kita mesti elakkan jangan ada dalam hati kita. Pertama, jangan bersaing, sebab akan menimbulkan rasa iri hati, dendam dan cemburu. Kalau kita bersaing untuk mendapat sesuatu jawatan misalnya, kita akan kecewa apabila kita tidak dapat.

Kedua, jangan berasa kita penting. Kalau kita berasa diri kita penting, akan menimbulkan rasa bongkak dan keegoan yang tinggi. Kita akan marah apabila orang tidak memberikan penghormatan kepada kita, atau melayan kita dengan sepatutnya selaras dengan apa yang telah kita sumbangkan sebagai pekerja.

Ketiga, jangan mengharapkan penghargaan. Kita akan kecewa apabila sumbangan kita orang tidak nampak, orang melupakan dan tidak menyebutnya. Jangan mengharapkan penghargaan orang tetapi bekerjalah untuk mendapat keredaan Allah. Bekerjalah dengan ikhlas dan jujur, dengan niat kerana Allah, untuk membuatkan majikan kita gembira dan syarikat kita berjaya.

Kita sendiri akan berasa bahagia kerana kita menyumbang untuk membahagiakan dan memberikan kejayaan kepada orang lain. Jangan ragu-ragu untuk ‘memberi’ seberapa banyak idea/tenaga/pemikiran ketika bekerja, walaupun adakalanya kita berasa sesak dengan gaji yang tidak seberapa. Anggap semua itu sebagai pencen kubur kita. Allah ada, Allah akan ganti balik semua yang kita telah beri.

Seorang pekerja yang hebat, dia akan sentiasa bertanya apa yang boleh dia beri atau sumbangkan, dan bagaimana hendak pertingkatkan produktivitinya? Perkara yang selalu difikir hanyalah, yang melibatkan manfaat yang patut dia berikan kepada majikannya, bukan apa manfaat yang dia patut dapat daripada majikan untuk dirinya. Iaitu, contohnya “Apa hak saya?” “Berapa bulan bonus?” dan seumpamanya. Maknanya dia tidak akan sibuk bertanya, “apa yang saya boleh dapat dan apa yang anda akan beri?”

Bekerjalah lebih daripada sepatutnya. Insya-Allah Kalau kita tidak dinaikkan pangkat, Allah beri rezeki dalam bentuk yang lain pula; anak jarang-jarang sakit, diri sendiri susah demam, kereta yang ada tidak bermasalah - susah hendak rosak, makan rasa sedap sentiasa rasa enak, balik rumah rasa tenang dan rasa tenteram, dapat rakan yang baik - masa senang bersama masa susah tidak larikan diri. Nikmat mana yang Allah sembunyi, semua Allah beri. Jom ‘Reset Minda’ untuk gembira dan bahagia membahagiakan ketika bekerja.

 ‘Reset Minda’ adalah satu konsep pemikiran yang melibatkan proses mengubah cara kita berfikir atau memandang sesuatu perkara atau kejadian dengan sudut pandangan yang berbeza dan baharu. Iaitu perubahan secara total, daripada sesuatu yang negatif kepada positif; jika ia masalah – terima dan dilihat sebagai cabaran, jika suatu musibah dipandang atau diterima sebagai ujian Allah, dengan berlandaskan kepercayaan kepada Rukun Islam yang lima dan Rukun Iman yang enam.

Kita tidak mencari salah orang, sebalik kita banyak melihat di mana kelemahan diri dan bagaimana untuk mempertingkatkan prestasi kerja. Apa-apa yang berlaku kita percaya sebagai takdir dan qadak dan qadar Allah. Contohnya kita menghadiri temu duga untuk kenaikan pangkat. Sebagai pekerja; prestasi kerja kita sangat baik, kita seorang yang berpengalaman, kelulusan pun menepati syarat temu duga, kita pun boleh menjawab soalan penemu duga dengan baik, tetapi apabila keputusan temu duga keluar, kita gagal.

Panduan

Yang dapat jawatan kenaikan pangkat itu, pekerja yang lebih muda daripada kita, kurang pengalaman, dan dari segi kelulusan kita sama atau lebih baik daripada mereka yang berjaya dalam temu duga tersebut. Patutkah kita kecewa, patah semangat untuk terus menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang? Wajarkah kita terus menyalahkan dan mencari faktor luaran, mengapa mereka yang berjaya, dan kita tidak berjaya?

Sebagai pekerja kita mesti ada tiga sifat yang menjadi garis panduan untuk kita bekerja dengan hebat. Pertama, hubudiyah (kehambaan). Kita menjadi pekerja sebagai salah satu peranan kita sebagai insan untuk mendapatkan keperluan hidup, tetapi peranan utama kita ialah menjadi hamba kepada Allah.

Jangan sesekali dalam menjadi pekerja, kita menjadi hamba kepada manusia. Kita hanya boleh menjadi hamba kepada Allah. Jika dalam melaksanakan kerja, kita meninggalkan urusan kita dengan Allah, misalnya kerana sibuk mesyuarat hingga terlepas solat, bermakna kita telah menghambakan diri kepada manusia.

Kalau kita bekerja di sebuah institusi yang tidak membenarkan kita menutup aurat, kita patut lepaskan jawatan di institusi itu. Sebab kita tidak boleh mematuhi peraturan dan undang-undang manusia yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.

Kedua, mesti ada sifat masuliyah, bertanggungjawab. Apabila kita bekerja kerana Allah, kita akan sentiasa sedar bahawa kita telah aku janji dengan majikan kita akan melaksanakan segala tugas dengan penuh tanggungjawab kerana tempat kerja itulah ladang pahala kita, bukan tempat kita merungut, mengeluh, menyesal, menyalahkan dan mengumpat.

Ketiga, ifqan buat kerja sebaik-baik mungkin. Amanah dalam melaksanakan tugas dengan mengamalkan tiga perkara. Pertama, integriti dalam tempat kerja. Apa yang kita cakap itu yang kita buat. Kedua, kita melayan orang lebih baik daripada kita ingin dilayan. Ketiga, buat lebih daripada yang patut kita buat. Jangan buat kerja sikit tetapi hendak pulangan lebih dan berkira masa kerja.

Kalau kita pekerja terlalu berkira, nanti Allah juga akan berkira dengan kita, dan kita juga akan jumpa dengan orang yang berkira dalam perjalanan hidup kita.
Kita hanya akan dapat berdasarkan nilai yang kita beri, iaitu pertama, kita dibayar berdasarkan keperluan yang dibayar. Kedua, bagaimana bagus atau tidak kita melakukan kerja itu. Ketiga, berikan nilai tinggi hingga tidak ada orang boleh ganti tempat kita.

Setiap manusia akan dibayar berdasarkan nilai yang diberi kepada kerjanya. Kalau kita melakukan sesuatu kerja, hasilnya rendah tetapi kita mendapat pulangan yang besar bermakna Tuhan akan ambil balik dengan pelbagai cara; kereta rosak, duit hilang dan pelbagai musibah. Kalau kita bagi manfaat dengan keikhlasan bekerja di tempat kerja, Allah jaga keselamatan anak-anak, keluarga rumah yang kita tinggalkan ketika kita bekerja. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Sumber : Utusan


CUEPACS MOHON PERCEPAT BAYARAN BONUS PENJAWAT AWAM



KUALA LUMPUR 29 Dis. - Bagi meringankan beban kewangan akibat banjir yang melanda beberapa buah negeri, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan agar mempercepat bayaran bonus penjawat awam kepada awal bulan Januari 2015.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, memandangkan keperluan sekolah yang dibeli oleh penjawat awam untuk anak-anak mereka musnah akibat banjir, bayaran bonus amat diperlukan golongan berkenaan bagi membuat persiapan awal persekolahan.

 “Kami faham keprihatinan kerajaan melalui pengumuman bayaran awal Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penangguhan permulaan sesi persekolahan, jadi CUEPACS harap kerajaan boleh mempertimbangkan juga bayaran (awal) bonus kepada penjawat awam.
Jika bayaran bonus diawalkan, mungkin ibu bapa sempat membuat persediaan untuk persekolahan anak-anak mereka,” katanya dalam sidang media di Wisma CUEPACS di sini hari ini Semasa membentangkan Bajet 2015 Oktober lepas,

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kira-kira 1.5 juta penjawat awam dan ia dibayar bersama gaji Januari 2015.

Dalam pada itu, Azih berkata, CUEPACS bersama Yayasan Pekerja Malaysia akan turun padang untuk membantu mangsa-mangsa banjir dalam masa terdekat. CUEPACS juga telah berbincang dengan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapatkan beberapa doktor dan sebuah bas perubatan untuk membantu mangsa banjir di beberapa buah negeri bagi mengelak penularan wabak berikutan banjir.

Katanya, setakat ini CUEPACS telah menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri untuk turut memberi bantuan seperti menjadi sukarelawan dan membersihkan rumah yang musnah akibat banjir. Beliau turut meminta semua agensi kerajaan dan penjawat awam untuk tampil menghulurkan bantuan sama ada dalam bentuk makanan dan pakaian serta bantuan lain kepada mangsa banjir. Yang turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Pekerja Malaysia, Datuk Omar Osman. - Bernama



Sekolah buka 11, 12 Januari



PUTRAJAYA 29 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu ekoran banjir yang melanda khususnya di negeri-negeri Pantai Timur. 

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, sejajar dengan penangguhan itu, tarikh baharu bermulanya sesi persekolahan untuk tahun hadapan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad) manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).

“Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya sesi persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan.

“Mengikut jadual tarikh bermulanya persekolahan ialah pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 untuk negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan penangguhan itu mengambil kira dua perkara utama iaitu sekolah-sekolah yang terlibat sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau ditenggelami air dan mengambil masa untuk dipulihkan. 

Turut diambil kira katanya, keadaan guru-guru, ibu bapa serta murid-murid yang serba kekura­ng­an akibat menjadi mangsa banjir. Mereka memerlukan masa untuk pemulihan serta membuat persiapan persekolahan masing-masing. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta pihak pengurusan sekolah mengadakan gotong-royong bagi tujuan pembersihan kawasan sekolah sekiranya kea­daan banjir pulih.
“Langkah ini bertujuan memastikan murid-murid dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna,” ujar Muhyiddin. 

Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan sehingga semalam, sebanyak 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir sama ada dijadikan sebagai PPS atau sekolah berkenaan ditenggelami air akibat bencana tersebut.

sumber : Utusan Malaysia